BANYAK akhbar memberi tumpuan kepada calon yang mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.

Ia dipaparkan di muka depan kebanyakan akhbar arus perdana, dan dinyatakan 15,793 calon tahun lalu mendapat gred A bagi semua mata pelajaran diambil, meningkat 0.13 peratus berbanding 15,079 calon pada 2011.

Penulis bukan hendak mempersoalkan tumpuan akhbar kepada keputusan cemerlang ini, tetapi ia hendaklah tidak menjadi suatu yang dimegahkan dalam mana pelajar lain juga mendapat keputusan baik atau lulus.

Apa perlu dipertimbangkan juga ialah kedudukan murid-murid yang gagal dalam peperiksaan itu, termasuk yang hanya memperoleh kelulusan ‘borderline’.

Apakah mereka ini harus diabaikan sahaja untuk berusaha sendiri menghadapi masa depan yang tidak menentu atau apakah tidak boleh dilakukan usaha untuk memberi mereka ini peluang kedua bagi mencapai kejayaan.

Mereka ini juga adalah rakyat yang boleh memberi sumbangan berguna kepada negara sekiranya diberi bimbingan baik. Maka itu usaha perlu diberikan kepada mereka yang tercicir ini.

Pelbagai usaha boleh difikirkan supaya aset muda-mudi yang gagal atau lulus tahap biasa ini tidak terus menghadapi kegagalan dalam kehidupan hingga akan membebankan keluarga dan akhirnya negara sendiri.

Memang murid yang mencapai tahap kecemerlangan patut diberi pengiktirafan. Tentunya ibu bapa, sekolah dan guru-guru berbangga dengan pencapaian tersebut.

Dalam mengiktiraf pelajar-pelajar demikian, keputusan baik dalam peperiksaan tidak harus dianggap satu-satunya pengukur terhadap kecemerlangan pelajar.

Banyak lagi pencapaian lain perlu mendapat perhatian seperti berakhlak mulia walaupun pencapaian di bidang ini sukar diberikan markah secara objektifnya.

 Apa pun salah satu tujuan persekolahan mengikut apa yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, selain berusaha melahirkan suatu bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu ialah juga untuk melahirkan pelajar beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.

Falsafah pendidikan seperti diterapkan kementerian tidak ada cacat celanya kerana sememangnya usaha untuk memperkembangkan potensi individu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan kepercayaan kepada Tuhan diterima ramai.

Juga tiada kekurangan dengan matlamat melahirkan rakyat berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri bagi menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

Persoalannya apakah hasrat ini dapat diterapkan ke dalam sanubari semua murid setelah meninggalkan dunia persekolahan? Kiranya wujud sebilangan besar di antara mereka yang masih tidak dapat memenuhi kehendak itu tentunya ada kekurangan dalam usaha sekolah melaksanakan apa telah ditetapkan itu, kalau pun tidak dianggap suatu kegagalan.

Malangnya buat masa ini belum ada sebarang usaha untuk menilai tahap pencapaian itu atau diwujudkan suatu sistem untuk mengukur tahap pencapaian yang subjektif demikian ini. Mungkin kini sudah tiba masanya Jabatan Pelajaran memikir bagaimana pencapaian perkara subjektif demikian boleh diukur.

Sememangnya akhlak mulia dan keterampilan sesetengah lulusan sekolah kelihatan tidak menyenangkan dan perlu dibaiki. Benar usaha memupuk akhlak mulia bukan tanggungjawab sekolah dan guru sahaja. Tidak kurang penting adalah peranan ibu bapa dan penjaga untuk membimbing anak-anak mereka mencapai matlamat dikehendaki.  

Akhbar sendiri juga berperanan membantu usaha demikian supaya tidak lagi akan wujud cerita-cerita menyayat hati bagaimana bayi hasil keterlanjuran seseorang murid dibuang dalam tandas atau tong sampah. Dan dalam pada itu yang menghadapi padah tindakan hasil keterlanjuran itu ialah murid perempuan yang sudah pun menghadapi trauma perlu pula menghadapi tuduhan membunuh.

Padahal mereka ini telah mengambil keputusan nekad demikian kerana sudah buntu pemikiran sebab tiada tempat mengadu dan terpaksa menghadapi tekanan emosi dan kepahitan. Mereka ini sebenarnya memerlukan bimbingan untuk mengubah sikap supaya insaf dengan perlakuan terlampau mereka itu, bukannya menghadapi kemungkinan dihukum bunuh.