PERISTIWA pencerobohan pengganas dari Sulu Filipina telah membuka mata rakyat bahawa mereka tidak boleh lagi mengambil mudah terhadap soal keselamatan negara.

Sememangnya sebelum ini kerana keadaan keselamatan dalam negara tidak pernah digugat dan rakyat sentiasa dalam suasana aman damai, ramai ambil mudah terhadap persoalan keselamatan negara, malah tidak terfikir ia boleh digugat.

Walaupun keadaan kini tidak setegang pada awal pencerobohan berkat tindakan pasukan keselamatan untuk menghapuskan mereka itu, tetapi suasana keselamatan belum dapat dipulihkan sepenuhnya.

Apa pun daripada reaksi dan dakwaan berterusan ketua kumpulan pengganas itu, Jamalul Kiram dan kini tuduhan melulu bekas pemimpin rakyat Moro selatan Filipina, Nur Misuari yang sudah pun kehilangan pengaruh, menunjukkan soal keselamatan di Sabah sudah tidak boleh diambil mudah lagi.

Apa yang dilakukan Nur Misuari ini seolah-olah suatu usaha terdesaknya hendak kembalikan kedudukannya dahulu sebagai pemimpin bangsa Moro di Mindanao selatan Filipina. Pertubuhannya (MNLF) kini sudah kehilangan pengaruh dengan diambil alih Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang telah menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Filipina yang diusahakan Malaysia bulan lalu.

Usaha mengisi perjanjian itu akan berlangsung di Kuala Lumpur akhir bulan ini dan nyata ia tidak disenangi Nur Misuari yang menuduh kononnya perjanjian itu hanyalah helah Malaysia memperkuatkan pengaruh di Sabah.

Sungguh pelik alasan tidak masuk akalnya itu kerana Sabah sudah pun menjadi sebahagian dari negara ini sejak penubuhan Malaysia pada 1963 lagi.

Demikian juga perkembangan terakhir ini menunjukkan puak pimpinan pengganas Jamalul Kiram tidak akan membatalkan hasratnya, lebih-lebih lagi apabila sudah pula mengisytiharkan perang gerila di Sabah.

Justeru, tuduhan melulu sesetengah puak yang taksub dengan pimpinan parti pembangkang sehingga tergamak berterusan memperlekeh tindakan pihak keselamatan untuk mengembalikan suasana aman di kawasan-kawasan yang dicerobohi tidak masuk akal.

Apakah mereka ini tidak mahukan keadaan aman dan damai berterusan dalam negara? Ia seolah-olah mereka ini tidak mahukan perdamaian dan kedaulatan negara dipertahankan.

Sebenarnya soal keselamatan negara dan perasaan patriotisme terhadap negara tidak harus dipolitikkan jauh sekali dijerumuskan ke kancah politik membenci.

Apa yang berlaku di Sabah sudah tidak lagi suatu perjuangan politik kepartian, tetapi bersangkutan dengan maruah, keutuhan dan kedaulatan negara. Ia menghendakkan sokongan padu semua rakyat yang cintakan negara tanpa mengira apa pun pegangan politik mereka.

Apa pun hasil daripada pencerobohan itu jika dilihat dari satu sudut lain ada juga manfaatnya kerana ia telah membuatkan kita lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap pencerobohan dan betapa perlunya kawasan-kawasan persisiran pantai khususnya di timur Sabah yang hanya beberapa kilometer saja dari puluhan pulau di Filipina dilindungi dengan kawalan lebih ketat.

Maka itu penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dialu-alukan. Demikian juga pihak imigresen kini sudah tidak lagi membenarkan kapal kumpit Filipina yang menjalankan perniagaan pertukaran barang masuk ke mari sewenang-wenangnya seperti dahulu.

Kelonggaran tersebut telah digunakan pengganas Sulu untuk meresapi ke Lahad Datu dan kawasan-kawasan lain di timur Sabah dengan begitu mudah hingga boleh pula menyusup masuk pelbagai kelengkapan senjata.

Sebelum ini kapal kumpit itu dibenarkan mendarat hanya dengan menggunakan Kad Pengesahan Pelaut tanpa tekong atau pun anak-anak kapal perlu memiliki pasport antarabangsa.

Malah sekarang ini pun mereka masih dibenarkan mendarat hanya dengan mempunyai buku pelaut. Sepatutnya kelonggaran ini juga dimansuhkan dan imigresen hanya membenarkan mereka ke mari dengan pasport antarabangsa sebagaimana pelawat asing lain ditambah Kad Pengesahan Pelaut itu.

Kelonggaran demikian itulah yang menyebabkan kenapa kini sudah terdapat hampir satu juta rakyat Filipina menetap di Sabah dengan ada di kalangan mereka boleh pula mempunyai nama berlainan di Filipina dan di Sabah.

Inilah juga yang menyebabkan kenapa pihak keselamatan sukar untuk mengenal pasti siapa pengganas dan siapa tidak.

Keadaan ini tidak sepatutnya dibenarkan berterusan lagi.