Mac 2010 masih lagi segar dalam kenangan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Model Ekonomi Baru (NEM); sebuah rancangan pengurusan ekonomi negara yang memberikan sebuah jalan penyelesaian kepada masalah ekonomi negara.

Pengenalan NEM merupakan bukti kerajaan bukan sahaja menyedari ekonomi Malaysia rosak, malah, mereka juga mengetahui cara-cara menyelesaikannya.

Sayang seribu kali sayang, harapan rakyat untuk melihat Malaysia lebih sejahtera punah dengan satu lagi program diperkenalkan pada tahun sama, iaitu Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menggantikan NEM.

ETP secara amnya cuma memperkenalkan kembali sistem ekonomi berasaskan kroni era 90-an, dengan projek-projek mega yang belum tentu akan memberi manfaat kepada rakyat secara amnya.

ETP tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia, kerana masalah ini  memerlukan reformasi ekonomi melalui penstrukturan radikal dan bukan transformasi kosmetik.

Agenda reformasi ekonomi dapat diperjelaskan menggunakan Prinsip 5D Decentralisation, Divestment, Diversification, Discipline (Fiscal)  dan Democratisation:


Decentralisation (Pengagihan semula kuasa serta sumber)

Kerajaan perlu mengagihkan semula kuasa dan sumber-sumber yang ada kepada peringkat lebih rendah seperti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Perkongsian hasil cukai dengan nisbah 60:40 antara kerajaan Pusat dengan negeri akan dapat merangsang aktiviti-aktiviti dan pertumbuhan ekonomi setempat untuk berlaku dengan lebih pantas.


Divestment (Penyahmilikan saham)

Kerajaan harus melepaskan atau mengurangkan pegangan saham kerajaan kepada sektor swasta, dengan menjual syarikat berkait kerajaan (GLC) kepada pihak pengurusan atau staf syarikat tersebut. Ini akan menaikkan produktiviti, inovasi dan seterusnya keuntungan syarikat tersebut.


Diversification (Mempelbagaikan sumber ekonomi)

Malaysia berkembang dari pertanian ke industri pengilangan dalam era 80-an dan ke sektor perkhidmatan dalam era 90-an. Seterusnya kita mestilah berusaha untuk mengembangkan lagi kepada sektor sains kehidupan dan teknologi nano. Fokus mestilah diberikan kepada pelaburan sektor swasta dalam pembinaan modal insan serta penyelidikan dan pembangunan, bukannya dalam pembangunan infrastruktur fizikal.

Kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malaysia juga kaya dengan sumber asli biodiversiti yang berpotensi untuk memberikan hasil yang lumayan.


Discipline (Disiplin fiskal)

Perkara utama yang mesti ditumpukan kerajaan ialah pelaksanaan disiplin fiskal  sebagai usaha untuk mencapai bajet seimbang, sebagai persediaan menghadapi krisis kewangan. Kerajaan perlu mensasarkan untuk mengurangkan defisit bajet kita dari 4% ke 2%. Disiplin dan sebuah azam politik yang jitu juga diperlukan untuk mengurangkan hutang kebangsaan termasuk contingent liabilities dari 65% KDNK ke 40% KDNK.

Sebagai langkah awal untuk merakyatkan ekonomi, kerajaan wajib melaksanakan konsep Bajet Terbuka yang menjadikan proses merangka bajet lebih telus dan terbuka serta inklusif bukan sahaja untuk rakyat tetapi Parlimen juga. Segala maklumat, perbincangan dan laporan-laporan prestasi bajet secara berkala di awal, pertengahan dan penghujung pelaksanaan bajet diumumkan secara terbuka.


Democratisation (Pendemokrasian)

Rakyat wajib menuntut reformasi demokrasi bermula dengan membersihkan proses pilihan raya agar telus dan adil. Reformasi sistem Parlimen- termasuk penubuhan jawatankuasa tetap Parlimen memantau semua kementerian termasuk penggubalan dasar dan akta-akta, serta peluang mengusulkan perundangan oleh pembangkang agar prinsip pemisahan kuasa untuk fungsi timbang-tara pentadbiran berjalan lancar. Badan kehakiman mesti bebas dan berdikari. Kebebasan media sebagai saluran suara
rakyat mesti diwujudkan.

Menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi sesudah lebih 40 tahun barah dibiarkan menular ke setiap rongga penjanaan ekonomi negara. Tetapi, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.