Dalam sehari berapa kali kita bercermin? Setiap ketika apabila memandang cermin, tidak lain doa yang patut dibaca ialah: “Ya ALLAH, sebagaimana Engkau telah mengelokkan kejadianku, maka Engkau elokkan juga akhlak diriku.”

Tidak mahulah kita dikata orang, muka sahaja cantik tetapi perangai hodoh. Begitu juga, untuk punya bibir cantik, bisikkan kalimat-kalimat ALLAH, tidak berbohong atau menyakiti hati orang lain, tidak menyombongkan diri atau takabbur.

Malah lebih manis lagi apabila saya terkenang nasihat seorang ustazah katanya, agar wajah selalu segar, berseri-seri dan cantik, cucilah minimum lima kali sehari dengan air wuduk.

Kata alim ulama, air sembahyang jangan langsung dikeringkan, biarkan menitis dan kering sendiri. Saya setuju tentang fadilat ini dan tidak payah untuk diamalkan. Lalu ambillah sejadah, solat, berzikir dan berdoa pada waktu-waktunya.

Sekarang dalam dunia moden ini pesan-pesan sebegini senang sahaja untuk dibaca. Boleh ditemui di mana-mana bukan sahaja dalam buku, ada dalam Facebook, blog, video, bahkan ada juga kita terima pesanan tiga para di atas dalam talian telefon.

Namun apakah tindakan kita seterusnya? Apakah mendengarnya dan membacanya sahaja? Kemudian pesan-pesan itu berlalu begitu sahaja, hingga entah bila-bila pesan itu akan datang lagi kepada kita?

Harapnya apabila pesan kali kedua sampai, kita sudah berubah tidak seperti yang dulu lagi. Kehidupan ini memang penuh dengan tekanan demi tekanan. Kadang kala kerana itulah juga muka kita selalu kelihatan kelat sahaja.

Banyak kedut sudah melingkar di wajah. Muka yang dulu ceria, perlahan-lahan sudah pudar dimakan masa. Bukanlah tulisan ini hendak menyalahkan sesiapa, namun wajar juga sesekali kita menyesali diri sendiri.

Apabila menoleh semalam dan kelmarin yang tidak akan datang semula, diri kitalah yang wajar dipersalahkan jika ada pahala yang tercicir. Atau ada dosa yang kita angkut untuk hari-hari mendatang.

Tuntutan hidup dan pekerjaan kadangkala menenggelamkan serba sedikit rasa kekeluargaan. Dalam masa sama juga urusan dengan jiran juga selalu kita abaikan. Inilah antara punca stres. Maka jumlah pesakit mental juga terus meningkat kepada 15.6 peratus pada 2011 dan semestinya semakin bertambah menjelang akhir 2012.

Kadang-kadang timbul pertanyaan dalam hati apabila melihat status-status kematian pada rakan-rakan di Facebook. Ramai sangat yang menulis Al-Fatihah pada hujung tulisan mereka. Lalu timbul pertanyaan, apakah Al-Fatihah itu hanya pada tulisan?

Betulkah ada bacaan Al-Fatihah yang sempurna dan lengkap sebaik sahaja kita meletakkan noktah pada ucapan itu? Adalah wajar kita ikhlaskan hati tatkala kita melakukan kebaikan. Al-Fatihah kita biarlah sempurna. Jika tidak, jangan tulis kalimat itu!

Sekarang ini, semuanya mahu cepat. Memberi salam pun sekadar `Salam’ atau `Akum’ sahaja. Kebaikan yang kita hendak ternyata hanya senipis kulit bawang sahaja.

Kata seorang ustaz; jika engkau letih melakukan kebaikan, sedarlah, keletihan itu akan hilang. Namun pahalamu sudah tersimpan dan kekal. Jika engkau berlazat dan berseronok berbuat dosa, seronok dan lazat itu juga akan berlalu. Namun dosa dan azabnya masih kekal.

Ini samalah juga kalau kita sakit dan kena berpantang makan namun kita makan juga, sedapnya hanya seketika. Sakit pula bertambah-tambah. Tuhan itu adil. Apa yang positif tetap positif. Begitu juga negatif tetap negatif.

Tidak mengapa jika anda ingin berlama-lama melihat cermin pada hari ini. Lihatlah bibir yang selalu berkata… buruk atau baik. Lihatlah mata yang selalu memandang… perbuatan keji atau pahala. Renunglah tangan, apa yang kita dapat dan ke mana wang kita keluarkan.

Lihatlah seluruh tubuh, sudah cukupkah kita berterima kasih atas kewujudan kita atau kita hidup hanya untuk memenuhkan dunia. Untuk menumpang saja tanpa memberi sedikit pun kebaikan.

Jangan pula kita lihat cermin dan bertanya; wahai cermin hikmat dan berkuasa, siapakah yang paling cantik di dunia ini selain aku yang berada di hadapanmu ini.