KP
$entry.content.caption.value

Seronok dan takut. Itu kata-kata diluahkan seramai 18 kanak-kanak, pelajar dan penuntut universiti setelah ditanya pengalaman menaiki kepala kapal terbang atau dikenali sebagai simulator di CAE Pusat Penerbangan dan Simulator Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

Seronok kerana diberi peluang belajar dan memandu serta mengendali pesawat setaraf Boeing 737-800 di bawah penyeliaan. Takut, apabila mengendalikan pesawat ketika mahu berlepas dan memastikan ia berada di landasan yang betul serta mendarat dengan baik supaya penumpang tidak ‘mabuk’ kerana di berhenti dengan tergesa-gesa.

Ini menunjukkan, bukan semua orang boleh menjadi juruterbang kerana ia memerlukan bukan sahaja kemahiran mengendalikan pesawat, akademik yang bagus, malah ketahanan mental yang tinggi.

Menceritakan tentang perkara ini, Presiden Persatuan Astronautik Malaysia, Faiz Kamaludin berkata, setiap enam bulan, juruterbang perlu mengikuti dan lulus ujian memandu Simulator.

Menurutnya, setiap hari perlu menghabiskan ujian selama empat jam dan dalam tempoh tiga hari, mereka perlu lulus, jika tidak, dilarang untuk memandu kapal terbang.

“Lesen mereka tidak sama dengan lesen kenderaan darat di mana ujiannya dilakukan sekali seumur hidup.

 “Malah, semasa menjalani latihan itu, juruterbang diuji pelbagai cabaran seperti cara mengatasi kebakaran di dalam dan luar pesawat, masalah penerbangan, apa perlu dilakukan semasa berada di udara sekiranya berlaku masalah tekanan dan mengendali situasi kecemasan lain,” katanya.

Acara tahunan

Faiz yang merupakan bekas pelatih angkasawan ketiga selepas Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Mejar Dr Faiz Khaleed berkata, perkara paling utama, juruterbang perlu menyelamatkan keadaan itu supaya semua penumpang dan dirinya selamat mendarat.

Berada dalam simulator yang mempunyai enam kaki menggunakan tekanan minyak atau Hidrolik, kata Faiz, sekiranya juruterbang muda mahu keadaan kapal terbang terbalik, pandulah cara begitu dan semua penumpang lain termasuk pemandunya akan terbalik kerana Simulator akan berpusing hampir 300 darjah.

“Ini bererti semua penumpang akan berpusing dan terjatuh. Begitu juga untuk memastikan kapal terbang yang dibawa tidak tersesat memandangkan di udara tidak ada sebarang petunjuk, justeru, kompas dan peralatan komputer perlu dijadikan teman,” katanya.

Selain itu, beliau turut menceritakan program tersebut adalah acara tahunan persatuan itu bersama Syarikat Penerbangan Malaysia (Mas). Peserta didedahkan tiga jam termasuklah taklimat dan melawat bangunan Mas serta melihat sistem pengkomputeran dan bilik latihan atau dipanggil FMS Trainer. Beliau berkata, ia bertujuan untuk memberi pendedahan bidang aeroangkasa kepada pelajar sekolah dan menanam minat mereka terhadap bidang ini.

“Kita tidak perlu ke luar negara untuk melatih Pilot kerana di negara ini terdapat pelbagai kemudahan. Malah juruterbang dari Malaysia telah diiktiraf seluruh dunia dan menjadi tenaga pengajar.

“Ambil contoh Kapten Faidzul Tahir. Beliau telah terbang ke seluruh dunia. Pengalamannya selama 18 tahun mengendalikan pelbagai pesawat dan jet terbaru serta tercanggih seperti Boeing 737-800 satu pencapaian luar biasa kepada juruterbang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, di mana program ini tidak mengenakan sebarang pembayaran, boleh melayari laman sesawang: www.angkasawan.org.my.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.