$entry.content.caption.value
Dilahirkan sebagai generasi ketiga dalam sebuah keluarga campuran bersulur galur dari India dan Pakistan, tradisi memakai inai sudah sebati dalam diri Shaheen Ikbal, 30, sejak kecil lagi. Malah menjadi budaya keluarganya pemakaian inai tidak hanya eksklusif buat mempelai sahaja tetapi juga lambang kegembiraan apabila menyambut hari raya dan menghadiri jemputan majlis perkahwinan.
Apabila Shaheen dan saudara mara berkumpul bersama, memakai inai merupakan salah satu cara yang merapatkan hubungan mereka. Justeru sejak berusia 15 tahun lagi, dia sudah mahir mengukir inai setelah diajar sepupunya yang datang berziarah dari India.
Shaheen yang amat meminati seni ukiran inai kemudiannya mula menumpahkan bakat secara percuma setiap kali diminta saudara mara atau kawan-kawan yang ingin berkahwin. Meskipun kadangkala khidmatnya ini bermakna dia perlu pergi sehari lebih awal dan bermalam di rumah orang, dia tidak kisah kerana puas apabila hasil kerjanya berjaya menyerlahkan lagi seri pengantin.
Lama kelamaan, Shaheen terdorong untuk menjadikan inai sebagai sumber pendapatan. Tanpa ralat dia meninggalkan kerjaya dalam bidang perbankan dan mula serius menjalankan perniagaan mengukir inai dan membuat hantaran perkahwinan menerusi syarikatnya, Alcazar Event Management.
“Segala-galanya bermula apabila saya menggubah hantaran untuk majlis perkahwinan sendiri tiga tahun lalu.
"Kemudian apabila adik lelaki berkahwin, saya bertindak selaku perancang perkahwinan majlisnya yang bertemakan Bollywood.
"Hasilnya membuatkan ramai yang bertanya dan galakan suami tambah menguatkan keyakinan untuk saya membuka perniagaan sendiri,” ujar pemilik Ijazah Sumber Manusia daripada Universiti Terbuka Malaysia ini.
BEZA BUNGA ARAB, INDIA
Menurut Shaheen, ukiran inai bermotif bunga paling popular dalam kalangan pengantin tetapi terbahagi pula kepada rekaan yang mendapat tempias Arab atau pun India.
“Motif bunga daripada Arab biasanya bercorak lebih besar dan berjarak agak jauh sementara rekaan inai dengan pengaruh India lebih halus dan rumit,” jelasnya yang turut mengambil kira saiz dan bentuk tangan pelanggan sebelum mengesyorkan ukiran paling sesuai.
Stok inai yang digunakan Shaheen diimport dari India dan berasal daripada daun inai yang dicampurkan sedikit bahan kimia yang tidak membahayakan sebelum dikisar hingga halus.
Dia kurang menyarankan inai hitam kepada pelanggan kerana sesetengah inai jenis itu dipercayai menggunakan bahan kimia yang lebih banyak berbanding inai merah dan boleh merosakkan kulit.
Sebelum digunakan, serbuk inai ini dibancuh terlebih terlebih dahulu dengan minyak mahendi, air gula, perahan limau nipis dan air tapisan teh sebelum disaring menggunakan kain hingga benar-benar halus.
Air gula digunakan agar inai lebih mudah melekat pada kulit sementara air limau nipis dan teh mampu menaikkan lagi warna yang terhasil agar kelihatan lebih menarik.
“Biasanya saya akan bertanya dahulu pada pelanggan jenis merah yang diinginkan; sama ada cerah, pekat atau kehitaman. Kemudian barulah sukatan minyak mahendi ditentukan kerana lebih banyak minyak digunakan, warnanya menjadi lebih gelap.
"Sesetengah pengantin pada hari ini turut gemarkan kelainan apabila meminta agar inai mereka ditambah elemen glamor seperti pewarna berkilat dan batu perhiasan.
“Saya menggunakan inai segera hanya pada kuku kerana inai bancuhan agak sukar melekat pada kuku,” kata Shaheen.
Tempoh bagi menyiapkan ukiran inai hanya sekitar setengah jam bagi rekaan biasa dan mencecah hingga empat jam bagi rekaan lebih rumit terutama melibatkan pengantin.
Merah inai pada kulit biasanya tahan antara empat hingga lima hari tetapi jika kulit tidak terlalu sering dibasahkan atau terkena sabun, ia boleh tahan hingga seminggu.
Mengenakan harga serendah RM150 termasuk kos pergi ke rumah pengantin, Shaheen sudah pergi ke merata tempat untuk mengukir inai pengantin termasuk Pulau Pinang, Seremban, Melaka dan Singapura.
“Saya amat meminati seni ukiran inai jadi duit bukanlah keutamaan,” ujar Shaheen yang kini turut berjinak-jinak membuat lilin inai (henna candle) yang sesuai dijadikan cenderahati buat tetamu pada majlis perkahwinan.
Maklumat lanjut tentang perkhidmatan ditawarkannya boleh dilayari di laman http://alcazareventmgt.com.














