Tokoh muncul dalam semua lapangan. Kita tahu dalam politik ada tokoh. Demikian juga dalam agama, seni, sukan dan banyak lagi. Lapangan-lapangan itu pula dapat  dipecah-pecahkan.

Tokoh politik terbahagi dua - kerajaan dan pembangkang. Dari segi ideologi pula pecahannya banyak, ada yang sosialis, nasionalis, memperjuangkan agama, anarkis, bahkan ada yang tidak tahu arah perjuangan.   

Tokoh agama juga pelbagai, malah ada yang bertentangan. Sama juga tokoh politik dan agama yang memihak kepada pemerintah dan sebaliknya.

Memang aneh, dalam memperjuangkan kebenaran orang saling tuduh-menuduh, bahawa orang lain sesat, pihak diri sendiri benar dan bagus. Itu tidak dapat dielakkan, kerana pelbagai pengaruh masuk ke dalam kegiatan agama.

Selain perpecahan akibat kepentingan diri, ada tokoh agama yang berasa nikmat mengajarkan tahyul dan khurafat. Perkara ini akan dapat ditunjukkan melalui bicara khusus.

Tokoh seni banyak cabangnya. Seni sastera, seni lukis, seni filem, seni pentas, seni nyanyian, seni tarian dan banyak lagi, memunculkan tokoh masing-masing.

Bidang sukan pun pelbagai, dengan deretan tokoh masing-masing. Jadi, di sekitar kita ada sejumlah tokoh yang kita beri perhatian.

Tokoh tetap tokoh walau  bidang apa pun diceburi mereka. Saya tertarik pada pembahagian tokoh dikemukakan Prof Dr Syed Husein Al-Attas. Menurut beliau, tokoh terbahagi tiga.

Tokoh paling berwibawa dan diperlukan masyarakat ialah tokoh ukuran. Tokoh ukuran yang mahu diteladani orang ramai. Namun amat sukar untuk seseorang mencapai tahap dimaksudkan.

Tidak mudah untuk seseorang mencapai tahap negarawan atau seniman agung, ahli ekonomi yang hebat, atau ahli sukan yang menang di tahap dunia. 

Mereka ini dinamakan tokoh ukuran, kerana anggota masyarakat mengukur diri: di manakah kedudukan diri?

Jika diberi peluang kepada seseorang ahli parti politik biasa, dia tidak akan mencapai tahap yang dikuasai oleh tokoh ukuran. Tokoh ukuran naik kerana ketokohan sejati.

Agar hal ini menjadi jelas, eloklah kita sebutkan contoh dan contoh ini bukan dalam bidang politik.

Tidaklah mudah pelukis mencapai kedudukan Latiff Mohidin. Oleh sebab itu, Latiff ialah tokoh ukuran. Dalam bidang puisi, Usman Awang ialah tokoh ukuran, kerana penyair lain terpaksa mengukur diri untuk mencapai kedudukannya.

Dalam bidang bola sepak, badminton dan lain-lain, terdapat beberapa tokoh ukuran. Dalam bidang ekonomi juga demikian.

Tokoh ukuran diiktiraf oleh pakar dalam bidang masing-masing, bukan oleh sejumlah orang yang menyukainya kerana populariti tahap biasa.

Tokoh jenis kedua ialah tokoh siaran. Tokoh jenis ini jauh berada di bawah tokoh ukuran. Tokoh siaran dikenali oleh masyarakat kerana pihak media selalu menyiarkan berita tentangnya.

Mereka tidak terlalu hebat, tetapi pihak media menonjolkan nama disertai gambar, hingga masyarakat kerap melihat lalu mengenali mereka.

Jawatan tertentu yang dipegang memungkinkan mereka jadi terkenal. Jika ‘tokoh’ itu menteri, maka kegiatan kementeriannya akan menyebabkan dia  terkenal.  

Orang yang mempunyai kebolehan sederhana akan dikenali jika memegang jawatan  penting. Namanya sering disiarkan akhbar, majalah dan televisyen, maka jadilah dia tokoh siaran.

Setelah kita memahami konsep tokoh ukuran dan siaran, maka kita pergi ke tokoh jenis ketiga- tokoh sialan. Prof Syed Hussein menamakannya tokoh sialan kerana mereka membawa ‘sial’  kepada masyarakat.

Tokoh sialan dipercayai oleh masyarakat kerana kepintaran mereka dalam pelbagai hal. Mereka pandai menyembunyikan hasrat sebenar di sebalik tindakan. 

Mereka kelihatan seperti manusia yang mahu menolong masyarakat, tetapi sebenarnya membawa mala petaka. Mereka membawa masalah sehingga masyarakat menjadi susah dan menderita, tetapi mengatakan mereka membawa kebahagiaan.

Tokoh sialan eloklah diketepikan. Namun, itu tidak mudah kerana mereka  pandai menyamar. Kita tidak menyedari niat sebenar mereka kerana mereka ialah con artists yang amat mahir.

Oleh itu, kita semua hendaklah berhati-hati dalam menghadapi dan memilih tokoh-tokoh.