JIKA di Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh menang untuk melanjutkan kerja bapanya, Dyana Sofya di Teluk Intan tidak demikian. Calon DAP dari keluarga Umno itu tewas. Datuk Mah Siew Keong kembali ke Parlimen.

Arah perjalanan Dyana selepas ini tidak dapat dipastikan. Aktif selaku calon DAP di Teluk Intan adalah biasa saja bagi anak muda yang dibungai idealisme. Pemikir politik tentu dapat meninjau jauh, bahawa pada masa depan, Dyana akan tahu memilih parti yang tepat dengan realiti di Malaysia.

Dyana diiklankan menyertai pilihan raya kecil bagi merealisasikan impian untuk melihat politik baharu. Namun, jika difikirkan makna politik baharu yang dihuraikan Dyana sendiri, Siew Keong dari parti Gerakan juga berjuang di landasan yang sama. Politik baharu ialah politik yang tidak berasaskan perkauman, dan ini ialah hala tuju Barisan Nasional dengan konsep 1Malaysia.

Kemunculan Dyana  tahun ini sebenarnya dapat dibandingkan dengan kemunculan seniwati Dayang Sofiah, dalam dekad 1960an. Dulu Dayang Sofiah menyertai filem, kini Dyana Sofya menyertai pilihan raya. Dayang Sofiah memiliki wajah yang menarik, dan tidak hairanlah dia terpilih berlakon dalam filem Bujang Lapok dan filem-filem lain seterusnya.

Dalam politik, jika kemudaan dan kecantikan diambil kira, maka peranannya disebut sebagai window dressing oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perbandingan antara Dayang Sofiah dengan Dyana Sofya saya kemukakan agar peminat politik dapat memahami bahawa untuk memilih wakil rakyat hanya jasa bakti yang diutamakan.

Bakti yang lalu amat diambil kira, ditambahi kempen yang menyatakan sesuatu yang meyakinkan. Dalam hal Dyana Sofya, akhbar Keadilan 27 Mei mencatatkan bahawa gadis itu minat makan coklat dan menyanyi di dalam kereta.

Pentingkah itu? Memang banyak sekali catatan tentang kegemaran artis, dalam akhbar arus perdana. Misalnya ada artis yang suka membaca buku sambil meniarap, ada yang suka mengorek telinga dan lain-lain. Mengapakah pengenalan Dyana Sofya disejajarkan dengan pengenalan artis? Adakah ini  tuntutan politik baharu?

Memang ada janji Dyana, iaitu dia akan komited menyelesaikan masalah rakyat, tetapi itu terlalu umum. Terasa pada kita, ada satu mainan emosi yang mahu disampaikan oleh Dyana dan orang-orang di belakangnya. Dia menyebutkan hal-hal yang menyamai kegemaran remaja dan anak muda.

Inilah jenaka anak muda, “Antara Karim dengan Hasan, Suraya memilih coklat.” Maknanya, bagi wanita kini, lelaki kurang penting berbanding dengan coklat. Itulah sebabnya coklat yang didapati ada DNA babi sangat dibisingkan.

Perkara lain yang menarik dalam hal Dyana di Teluk Intan ialah keyakinannya yang melampau hakikat. Dia terlalu yakin, hingga apabila kalah dia tidak tertahan lalu menitiskan air mata kerana sebak. (New Sunday Times, 1 Jun). Sepatutnya dia tahu bahawa pertandingan di Teluk Intan ialah a close fight.

Ertinya, tiada sesiapa dapat mengagak tentang kemenangan atau kekalahan. Amat menghairankan Lim Kit Siang terlupa berpesan tentang perkara tersebut kepada Dyana.

Isu di sekitar Dyana ialah dia pernah menyebutkan bahawa dia tidak bersetuju dengan usul pelaksanaan hukum hudud yang akan dikemukakan oleh Pas. Secara teori, orang Pas tidak dapat menerima sikapnya itu.

Pada realitinya pula beberapa tokoh besar Pas menyatakan sokongan mereka kepada Dyana, walaupun mereka tahu sikap Dyana. Inilah kepelikan politik. Keadaan ini dapat dipadankan dengan peribahasa ‘membakar air mengambil abunya’.

DAP mustahil akan menolong Pas melaksanakan hukum hudud. Kerjasama Pas dan DAP tidak akan membawa hasil diimpikan, seperti air tidak akan menjadi abu. Dalam beberapa ceramah agama yang tiada kaitan dengan parti politik, ustaz-ustaz mengatakan bahawa orang Islam wajib percaya bahawa hukum hudud ialah hukum Islam.

Namun ustaz-ustaz tulen tidak menyamakan hukum hudud tulen dengan hukum hudud anjuran parti politik. Oleh itu, ketika Dyana bercakap tentang perkara ini, dia seharusnya berbicara panjang, bukan sekadar menolak hukum hudud. Sekurang-kurangnya, elok dia menyatakan bahawa (seperti kebanyakan orang) dia belum memahami hukum hudud tulen.