SETELAH mempelajari segi-segi tertentu falsafah, saya menyenangi falsafah masalah. Falsafah masalah selalu disebut-sebut dramatis Sharif Shaary. Antara lain, masalah menyebabkan orang sastera menjadi kian kreatif.

Bagi saya, ‘terima kasih masalah’  ialah satu aforisme yang berkesan.

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh tahun 2008, muncul masalah. Pelbagai pihak ketika itu perlu bersedia dan sejumlah besar wang perlu dibelanjakan untuk melaksanakan pilihan raya kecil.

Saya berjaya hasilkan dua rangkap pantun. Pantun-pantun itu bersifat soalan dan jawapan:

Ini ialah soalan pihak lelaki:

Berseluar putih berbaju batik,
Pergi ke pasar membeli roti;
Benarkah kasih padaku adik,
Kalau benar apakah bukti?

Pantun itu dijawab oleh pihak perempuan:

Pungut selasih waktu rembang,
Tempatnya jauh di tepi hutan;
Kerana kasih padamu abang,
Permatang Pauh adik  serahkan.

Pantun-pantun di atas kini terdapat dalam buku Tingkah Politik, terbitan Buku Prima.  

Dalam politik pengorbanan bersifat kekeluargaan boleh dianjak menjadi pengorbanan untuk kepentingan rakyat. Itu berada dalam lingkungan Teori Anjakan Makna. Terpulanglah kepada pembaca, adakah pantun di atas dapat melukiskan peristiwa pilihan kecil 2008.

Penekanan saya ialah, masalah yang ditimbulkan oleh orang politik berpotensi untuk memperkaya kreativiti.

Sekarang, Anwar akan berbuat hal yang sama. Jika tahun 2008 aksinya di Permatang Pauh, tahun ini di Kajang.

Bezanya, wakil rakyat yang menyerahkan kawasannya kali ini bukanlah anggota keluarganya. Saya mencipta dua rangkap pantun lagi. Kali ini pantun-pantun saya bukanlah berbentuk soal jawab.

Setiap pantun yang baharu saya cipta ini memuatkan pertanyaan.

Pantun pertama memuatkan persoalan untung rugi yang diperhitungkan orang politik.

Asyik berenang anak buaya,
Dilihat sotong bersama ikan;
Chin Cheh menang pilihan raya,
Apakah untung meletak jawatan?

Mantan wakil rakyat Selangor, iaitu Marwilis Yusuf memberikan jawapan agak panjang lebar terhadap soalan di atas.

Secara ringkas, tiada sesiapa mahu menanggung kerugian. Apa-apa yang dibuat tentulah diperhitungkan buruk baiknya, dan apabila tindakan dibuat pada satu ketika, tindakan itu adalah terbaik baginya ketika itu. Kata-kata ini juga inti falsafah. Bagi Marwilis, Chin Cheh menang dulu kerana tsunami pengundi.

Pantun kedua lebih langsung melukis peristiwa. Rakyat Malaysia terperanjat besar apabila wakil rakyat Kajang meletakkan jawatan tanpa alasan munasabah. Sejumlah pembicara politik dan orang ramai beranggapan seseorang yang diberi mandat tidak elok permain mandat itu.

Apa melilit batang berduri,
Ada akar panjang-panjang;
Adakah Khalid mengundur diri,
Jika Anwar menang di Kajang?

Sesuatu pasti akan berlaku di Kajang. Ada anggapan ini ialah lanjutan usaha Anwar untuk ke Putrajaya. Kata-kata bombastik  tentang jalan ke Putrajaya telah agak lama berlegar dalam masyarakat kita.

Jadi, hasrat Anwar menjadi menteri besar, jika benar, bukanlah sesuatu yang asing. Walau bagaimanapun -berbalik pada kreativiti- peristiwa sengaja dilakukan kini dapat dilihat sebagai bahan penglipur lara mengubat kesepian sasterawan, dan mengilhamkan mereka.  

Berkaitan dengan penglipur lara, teringatlah saya pada novel terbaharu Yahaya Ismail, Beruk Tua. Yahaya ialah penulis satira politik yang berbisa. Beruk Tua, sebuah penglipur lara moden. Ini mungkin mengatasi novel Shit karya Shahnon Ahmad, tetapi  Yahaya tidak menujukan kritikan terhadap pihak yang sedang memerintah. Dikritiknya pihak yang bercita-cita besar.

Saya sebutkan Beruk Tua, kerana selaku pengarang, Yahaya juga  menjadi kian kreatif kerana banyaknya masalah politik dalam negara. Yahaya berani menyatakan apa-apa yang difikirkannya betul, tanpa ambil kira penolakan sesetengah pihak.  

Selain Yahaya, terdapat lagi beberapa pengarang yang menghasilkan karya sebagai respons kepada masalah politik.

Buku-buku mereka berupa memoir dan kompilasi makalah. Antara lain, Syed Husin Ali menghasilkan Memoir Perjuangan Politik, Kassim Ahmad menghasilkan Jalan yang Lurus, Dr Asri Zainul Abidin menghasilkan Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat, dan banyak lagi.