TEORI sains sosial bermula daripada perenungan oleh pemikir terhadap sesuatu fenomena. Semua teori memuatkan asas atau prinsip untuk pembentukan subjek dalam cabang ilmu pengetahuan. Jika perenungan tidak berlaku, teori tidak muncul.

Pada dasarnya, teori tidak lain daripada rumusan pemerhatian terhadap fenomena di sekitar. Rumusan itu bersifat intelektual. Rumusan emosional, misalnya DAP atau PKR ialah parti terburuk atau terbaik dalam Malaysia adalah terpesong.

Rumusan bahawa parti yang memuatkan kata ‘Islam’ menandakan keimanan ahli-ahlinya adalah tidak bernilai. Rumusan emosional selalu meleset kerana semua parti politik mempunyai kelebihan dan kekurangan yang dapat dijelaskan melalui pembuktian.

Oleh sebab pemilihan parti politik adalah bebas, maka setiap rakyat akan membina persepsi. Persepsilah yang menyebabkan sejumlah rakyat berada dalam parti tertentu. Orang yang mencintai Umno jangan bertanya mengapakah kawannya menjadi penyokong Pas, demikianlah sebaliknya.

Ini dapat disamakan dengan hal kesukaan orang kepada makanan, kesukanan dan kesenian.Jika seseorang tidak menyukai badminton, jangan dipaksa agar dia berminat. Jadi Sakmongkol dan Dyana memang berhak memilih DAP.

Seseorang yang mengkaji sejarah politik dunia dengan teliti akan membina tanggapan akademik. Konsep politik akan tegap di akalnya. Dia akan melihat segi yang menyebabkan timbulnya tiga cabang kuasa dalam pemerintahan, iaitu cabang-cabang yang dicadangkan Baron de Montesquieu. Politik moden ialah politik yang mengatur dan menentukan keadilan dalam negara melalui pengasingan kuasa.

Oleh sebab kuasa diasingkan maka pemerintah tidak akan dapat menyalahgunakannya. Tiga cabang kuasa yang dimaksudkan ialah perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Seseorang yang menyertai politik pada tahap popular hanya akan melihat perebutan. Di sinilah timbulnya teori ringan dalam berpolitik. Datuk Jaafar Hassan, Menteri Besar Perlis dekad 1970an mendefinisikan politik sebagai kehendak orang ramai. Jika orang ramai tidak menerima beliau, maka beliau tidak akan berada di tempat Menteri Besar. Demikianlah mudahnya teori Datuk Jaafar.

Tokoh politik Selangor dekad 1980an, Marwilis Haji Yusof, mendefinisikan politik sebagai kegiatan libas melibas. Teori Libas Melibas ini berasaskan pada perlakuan ahli politik perkelilingan. Dalam kempen politik, tokoh Pas akan melibas Umno seakan-akan Umno tiada jasa, dan tokoh Umno melibas Pas sebagai parti yang tidak berupaya masuk ke era baru.  

Apabila hanya niat melibas yang muncul di akal, krisis dan konflik terbina dan terus berkembang.  Saya telah membicarakan Teori Libas Melibas oleh Marwilis ini dalam beberapa kesempatan. Ia untuk memperlihatkan segi positif politik baru melalui Teori Anjakan Makna. Dalam politik baru, libas melibas tidak diperlukan. Teori Orang Ramai oleh Jaafar Hassan pula terlalu umum dan bersahaja.

Bagaimanapun, semua teori berguna jika kita faham, pemilihan orang ramai ialah penentu dan orang politik jangan melanggar batasan.

Adakah libas melibas itu tidak baik sama sekali? Jika kita mengaitkan komentar atau perbahasan dengan bahasa kritikan (critical language), libas melibas adalah biasa dan berguna. Sebagai contoh, Pas dan Umno bukanlah asing, hanya beberapa perkara sahaja yang membezakan perjuangan kedua-duanya.

Kedua-dua parti itu berjaya mempengaruhi masyarakat Melayu-Islam sejak dahulu. Oleh itu, dalam kegiatan libas melibas, mereka perlu memberikan perhatian terhadap segi yang berbeza itu sahaja tanpa melanggar batasan. Batasan utama dalam hal Pas dan Umno ialah akidah, kerana kedua-dua parti dianggotai oleh rakyat seagama.

Jika kita perhatikan suasana politik di negara kita kini, kita akan dapati kata kuncinya ialah percaya. Sejumlah rakyat percaya kerajaan sedia ada, iaitu Barisan Nasional, dapat membawa kemajuan, ditandai dengan pencapaian sejauh ini. Sejumlah lagi rakyat percaya pembangkang atau Pakatan Rakyat akan berbuat lebih baik.  Mereka membuat pertimbangan berdasarkan agakan.

Dalam hal di atas, golongan pertama bersikap realis, iaitu melihat segala yang ada, manakala golongan kedua pula romantis atau idealis, iaitu mengharapkan kebaikan yang belum tiba. Kegiatan libas melibas eloklah dihadkan pada persoalan realisme dan idealisme itu.