SEPERTI yang difahami umum, dalam sistem demokrasi, rakyat berkuasa. Kuasa utama rakyat ialah memilih pemimpin. Rakyat perlu menjaga kuasa tersebut.
Golongan pemimpin dalam sistem demokrasi, berada dalam parti politik.

Apabila pilihan raya diadakan, rakyat secara keseluruhannya memilih parti, walaupun terdapat peratusan tertentu yang memilih pemimpin. Jika rakyat menyukai pemimpin yang baik, tetapi pemimpin itu berada dalam parti yang tidak disukai, maka rakyat selalunya memilih pemimpin lain.

Ini tentulah didahului kempen yang tebal dengan tuduhan.

Dalam musim pilihan raya, latar kehidupan pemimpin dikemukakan dengan hasrat tertentu. Bersandarkan kedudukan dalam parti, latar boleh jadi baik atau buruk.

Pemimpin yang baik menjadi buruk jika berada dalam parti yang berlawanan. Di samping itu, berlaku juga keadaan sebaliknya. Ada pemimpin yang tidak baik, tetapi penyokong tetap mengatakan dia baik, kerana berada dalam parti yang disukai. Baik buruk bukan kerana peribadi, tetapi kerana parti.

Rakyat sebenarnya berada dalam keadaan serba salah, tetapi menjadi yakin oleh pelbagai cara dan corak kempen.  Lebih malang lagi, rakyat bercakaran, kerana pemimpin yang dianggap baik oleh satu kumpulan dianggap cemar pula oleh kumpulan yang lain.

Pergaduhan berlaku dalam kalangan rakyat. Ini menjadikan demokrasi bukan saja sia-sia, malah beracun. Apa tidaknya, anak saudara memusuhi bapa saudara, bukan kerana salah seorang bersikap buruk, tetapi kerana masing-masing berada dalam kumpulan berbeza.

Analogi untuk menjelaskan kesia-siaan begini dapat kita ambil daripada bidang sukan, terutama bola sepak. Perlawanan bola sepak tidak melebihi permainan anak-anak di dalam rumah, cuma usia dan kaedahnya berbeza. 

Di rumah, anak-anak berebutan barang mainan, dan orang dewasa berusaha menenteramkannya. Di medan permainan bola sepak pula, orang dewasa bergaduh, dan anak-anak tidak dapat berbuat apa-apa.

Tidak perlu saya perincikan perlawanan antara pasukan negeri A dengan pasukan negeri B yang menimbulkan perkelahian, kerana semua orang tahu telatah demikian.

Adalah elok kita semua sedari bahawa baik pilihan raya, mahupun perlawanan bola sepak, emosi yang menyebabkan gangguan.

Pilihan raya bertujuan mendapatkan pemimpin, dan apabila pemimpin sudah dipilih, kita seharusnya kembali pada kehidupan biasa. Permainan bola sepak mencari pemenang.

Sesudah ada yang menang, bertepuklah dan bercakap-cakaplah tentang kemenangan itu. Demikianlah mudahnya perkara, dan semua harmonis, seharusnya.  

Untuk mencapai tujuan, golongan pemimpin parti berusaha dengan aneka strategi. Jadilah pilihan raya sebagai peperangan yang strategik. Strategi ialah penentu kalah menang.

Apabila strategi berada di atas, kebenaran merangkak di bahagian bawah. Dalam hal ini, rakyat eloklah disedarkan pemimpin parti sendiri tidak sebaik yang dipuji, dan pemimpin parti lawan tidak seburuk yang dikeji.

Memihak tidak mengapa, asalkan kesopanan dan sikap sporting terjaga. Tetapi, bagaimanakah sikap lapang dada akan dapat disemai, jika ahli strategi parti menganggap penulisan fitnah di internet itu bagus, dan maki hamun menjadi nyanyian kegemaran?

Parti-parti yang kuat dalam negara kita ialah Umno, Pas,  MCA, MIC, DAP, PKR , Gerakan, dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak. Kemolekan parti-parti itu telah dibuktikan oleh sejarah. Setiap satunya ada sejumlah pengikut yang memuaskan. Tidak mengapa kita memilih mana-mana parti, kerana itu diizinkan oleh demokrasi.

Dari segi lain, rakyat perlu tahu bahawa kegoncangan amat disukai oleh pemimpin politik. Namun, demi keselesaan hidup, rakyat janganlah terlalu melayan kegoncangan.

Jika kita sentiasa waras, kegoncangan politik akan kita anggap krisis biasa dalam karya kreatif. Kita akan segera sedar bahawa kegoncangan itu ialah ciptaan pemimpin, sama seperti konflik kreatif ciptaan pengarang skrip drama.

Perhatikan kegoncangan parti tertentu hasil ura-ura pihak atasan mahu menggantikan Menteri Besar di sebuah negeri. Urutannya ialah pilihan raya kecil yang berjaya menaikkan seorang daripada ahli keluarga pemimpin.

Demokrasi ialah pilihan rakyat, tetapi penggantian wakil rakyat ialah hasil percaturan pihak atasan. Itu ialah hasil pemikiran strategik, bukan hasil pemikiran untuk kebajikan rakyat.

Dalam hal seperti ini rakyat perlu berfikir lebih jauh. Fikirlah, adakah betul pemimpin tertentu itu mengutamakan rakyat, atau beliau lebih mementingkan strateginya?