SAYA tertarik dengan keterangan Subky Latif tentang kehadiran orang Syiah dalam Pas, dalam kolumnya baru-baru ini. Bagi beliau, tidak perlu diselindungi bahawa Pas pernah disertai atau dianggotai oleh orang Syiah.

Menurut Subky, “Antara yang pernah menjadi ketua Syiah pernah jadi ahli Pas malah pernah menjadi calon.” (Harakah, 20 Disember, 2013).

Kisah disampaikan Subky itu wajar difahami betul-betul.  Pegangan Subky akan hal ini ialah orang Syiah boleh sokong dan boleh tolong Pas. Pas tidak menolak orang Syiah menyokong mereka. Walau bagaimanapun, Pas tidak serasi dengan Syiah.

Subky dapati, orang Syiah menentang Umno, jadi tidak wajarlah Pas menentang mereka.

Tidak perlu saya panjangkan hal yang di atas, kerana sudah ketara maksudnya. Kita boleh ketepikan hal yang berkaitan Timbalan Presiden Pas, kerana jika hal itu dilangsung, perbalahan akan berlarutan sama seperti isu Kalimah ALLAH. Isu-isu begini akan padam sendiri apabila hadir keadaan ‘jemu mengganti rindu’. (‘rindu dimaksudkan, ‘rindu perbalahan’.)

Kini isu Kalimah ALLAH telah sampai ke tahap tepu, manakala isu Syiah baru berada pada tahap awal. Tidak disedari umum, terdapat kumpulan tertentu mahu mengiktiraf Syiah sebagai mazhab kelima.

Mungkin hasrat kumpulan ini akan terpendam begitu saja, kerana keriuhan yang berlaku kini.

Jika saya diminta pandangan untuk menyelesaikan perkara ini, idea saya mudah sahaja. Kita memiliki sarjana yang rajin menyelidiki perkembangan agama Islam sejak zaman awal hingga ke zaman moden.

Ajaklah mereka berbincang secara akademik. Adakan seminar yang jelas matlamat akademiknya. Kita ada Prof Dr Chandra Muzaffar, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Dr Faizal Tehrani, dan jangan lupa kita telah lama memiliki Dr Kassim Ahmad yang kontroversial.

Jangan kita libatkan ahli politik yang ketara kedudukan partisannya.
Jika perbincangan mantap dan matang diadakan tanpa adanya syak wasangka dan kepentingan diri, kita akan beroleh fakta sejati.

Menurut Subky, Pas tidak berbalah dengan Syiah, sama seperti mereka berbaik-baik dengan orang Buddha, Kristian dan Hindu. Ini ialah pegangan yang bertolak daripada ajaran Islam, bahawa tiada paksaan dalam beragama. Saya dapati, Kassim Ahmad juga memegang sikap demikian dalam perkara ini.

Walau bagaimanapun, perkara ini berbeza pada tahap sosiopolitik. Orang Pas menyenangi kehebatan dan ketegasan pemimpin Iran, Ayatollah Khomeini.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan sejarah Iran akhir dekad 1970an, pasti menyimpulkan bahawa kejayaan Khomeini menjadi pendorong terhadap perjuangan pihak lain. Di Malaysia, pemimpin dan ahli-ahli Pas memilih memulakan agenda kepimpinan ulama.  

Elok disebutkan tentang Khomeini. Pada usia 62 tahun, beliau ditangkap kerana melawan Shah Iran yang berat ke Barat. Dua tahun kemudian beliau mula terbuang ke Turki, ke Iraq dan kemudian ke Perancis.

Perjuangannya tidak tamat dalam buangan. Pada 1979,  Shah Iran kehilangan rasa hormat rakyatnya, kerajaannya jatuh, dan Khomeini balik ke Iran, dan berkuasa.

Selain kejayaan di atas, Khomeini juga menjadi hebat kerana mengarahkan tindakan berat ke atas Salman Rushdie pengarang novel The Satanic Verses. Seluruh dunia Islam tidak menyenangi Salman, tetapi hanya Khomeini yang menjatuhkan hukuman.

Populariti Khomeini membangkitkan semangat pemimpin Islam di sana sini, biarpun tokoh itu Syiah. Pemimpin-pemimpin Pas sedar akan hal itu, dan mereka berusaha agar ahli-ahli Pas menerima semangat revolusi Iran, tetapi tidak berfikir untuk menjadi Syiah.

Ketika makalah ini ditulis, terdapat ceramah dan tulisan di sana sini, menyuarakan rasa tidak senang terhadap kumpulan Syiah. 

Antara yang aktif ialah Ustaz Ismail Mina Ahmad dan Ibnu Umar. Hujahan mereka tentang segi-segi tertentu Syiah dapat kita terima, tetapi keterangan yang menyeluruh tetap diperlukan. Sekali lagi saya cadangkan agar diadakan seminar.