PEMBICARA politik boleh menyokong parti dan tokoh politik, boleh juga menentangnya, atau sekadar menyatakan kehadirannya. Itulah tanggapan  saya selama diberi peluang menulis dalam kolum “Bicara Selasa”,  Sinar Harian.

Bagi saya, Sinar Harian cukup baik, kerana di dalamnya termuat pandangan-pandangan yang cocok dengan pembaca dari pelbagai fahaman.  Besar kemungkinan setiap pembaca akan bersua dengan berita dan makalah yang menyenangkannya. Sinar Harian menghormati semua pihak.

Saya sendiri memilih untuk menyatakan pendirian dan pandangan mengikut aliran tertentu yang saya yakini. Semasa saya belajar di universiti, dekad 1970an, Anwar Ibrahim ialah tutor yang bagus, yang memperjelas isi kuliah Profesor Syed Naquib Al-Attas, iaitu kuliah  “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.” Anwar juga ketika itu ialah pemimpin belia yang berwibawa.

Dalam dekad 1980an tokoh itu menyetujui pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad. Beliau menyertai Umno dan kemudian menjadi tokoh dalam kerajaan.

Orang selalu menyebutkan bahawa Mahathir dan Anwar bersama-sama memperjuangkan rakyat, dan mereka menjadi cukup popular dan hebat dalam dua dekad, kecuali pada  akhir tahun 1998 apabila Anwar tertolak oleh peristiwa politik yang amat dramatik.   

Peristiwa tertolaknya Anwar dari Umno ialah peristiwa penting,  kerana itu membawa Anwar kembali ke jalan lamanya. Kita dapati, tokoh belia yang bangkit bersekali dengan Anwar dalam dekad 1970an, iaitu  Hishamuddin Rais, turut menebalkan huruf yang telah kian tipis semasa Anwar aktif dalam Umno.

Itulah kisah politik yang kukuh dalam kenangan pemerhati politik.  Zaman baru bagi Anwar lebih berliku-liku. Ketika DAP dan Pas tidak mungkin berkawan, Anwar muncul menghubungkan kedua-duanya, kecuali dalam hal hukum hudud yang tidak disenangi oleh parti yang berideologi sosialis.

Anwar sendiri berada dalam parti lain, iaitu PKR, memegang jawatan Ketua Umum, atau secara gurauan manis disebut Ketum. Gelaran sedemikian ialah kegemaran sejumlah peminat politik Malaysia.

Mereka menyebutkan Umporno, ABU, dan berbagai-bagai lagi bagi menyatakan sikap politik benci (politics of hatred)  masing-masing.

Apabila kita berhasrat menyatakan sikap sendiri melalui akhbar Sinar Harian, bagi saya, pertama-tamanya kita mestilah jelas arah tuju diri sendiri, dan faedah untuk rakyat Malaysia. Saya berpegangan bahawa penyatuan orang Melayu-Islam ialah asas kekuatan kita semua.

Pemimpin Pas tidak wajar terlalu keras mengatakan Umno satu masa  telah menipu Pas, dan pemimpin Umno perlu menghormati suara Pas dalam hal kefahaman agama.

Ini perlu sekurang-kurangnya untuk ambil hati.   Kita tahu bahawa “politik ialah politik”, dan agama dalam beberapa banyak kes hanyalah alat untuk mendapatkan kemenangan politik.

Ahli-ahli PKR pun eloklah memerhatikan peluang untuk berbaik sangka dengan Umno, di samping teruslah berbaik-baik dengan Pas.

Cadangan ini rumit untuk direalisasikan, biarpun masing-masing berjanji akan memperjuangkan agama, prinsip keadilan dan menentang kemiskinan. 

Kita tahu betul, bahawa tidak perlu pencerahan daripada sesiapa yang terlalu pandai. Pencerahan boleh menjadi “penggelapan” jika orang pandai terlalu cepat mahu menerapkan dan menyerapkan ilmu politik yang asing bagi Malaysia.

Dalam politik, penyanjungan dan kemarahan adalah hasil persepsi.  Saya mengemukakan Teori Anjakan Makna (The Meaning Shift Theory)  untuk maksud menyatakan bahawa makna tidak pernah tetap. Sanjungan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim, diikuti penyingkiran beliau daripada kedudukan tinggi.

Itulah bukti nyata bahawa makna tidak tetap. Kini, kritikan Dr Mahathir terhadap kaedah pentadbiran Najib Tun Razak sedang ditafsirkan, dan tafsiran itu pun tidak tetap.

Selain itu, makna pemberian BRIM untuk rakyat Malaysia yang bertahap ekonomi tertentu juga selalu ditafsirkan. Kini, hal di sekitar GST pula sedang dibicarakan dengan mesra dan radang, terpulang pada tafsiran dan hasutan.

Pembacaan makalah politik dengan akal jernih akan banyak membantu.  Penulis makalah politik kita akan terus menyatakan sesuatu yang baik dan menunjukkan yang buruk untuk maksud kesejahteraan Malaysia.  Salam sejahtera.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013).   Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.