KINI, sebahagian rakyat sedang memikirkan dua pemilihan, pertama di  Sungai Limau dan kedua di dalam Umno.

Siapakah yang akan menjadi calon-calon dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, Kedah, pada 4 November nanti?

Agak menarik juga, apabila Umno berhasrat untuk memilih tokoh yang berperwatakan seperti Tan Sri Azizan Abd Razak untuk menjadi calon. Azizan amat disenangi dan disayangi oleh sejumlah orang Umno.

Adalah diketahui umum, antara lain, beliau  akrab dengan pemimpin-pemimpin Umno. Bagi saya, Azizan ialah watak contoh, baik bagi Umno, mahupun orang Pas.

Kemenangan Azizan di Sungai Limau dalam pilihan raya  lalu agak besar. Memikirkan hal itu, pihak pembangkang mungkin berasa lega.

Namun, oleh sebab Azizan pernah menampakkan sikap menolak permusuhan dengan Umno, maka peluang untuk Barisan Nasional juga besar.

Pilihan raya kecil di situ mungkin akan benar-benar terlihat sebagai pertandingan menawarkan khidmat bakti, dan tiada permusuhan.

Jika pengundi di kawasan tersebut dapat memahami pandangan hidup Azizan secara menyeluruh, besar kemungkinan mereka akan memikirkan mutu calon.

Azizan selalu menyebutkan, “Di samping orang Pas, orang Umno juga baik.” Di kawasan itu, jumlah pengundi muda agak besar. Dalam keadaan tenang, mereka akan turut menjadi penentu yang berkesan.

Bicara ini tidak bertujuan meramalkan pemenang. Dalam keadaan sekarang, sukar untuk sesiapa  menyatakan telahan yang mendekati ketepatan.

Kita tahu, sejumlah pemimpin politik suka merenggangkan Umno dari Pas.

Kini, kesedaran muncul untuk kesekian kali. Buktinya, kini  wujud polemik tentang keakraban olok-olok antara Pas dengan DAP.

Sejumlah tokoh dalam Pas menyatakan bahawa sikap tegas diperlukan, dan
keakraban olok-olok tidak  diraikan.  

Politik mengizinkan cara berfikir yang terbuka, dan dalam keterbukaan itu muncul pula pandangan segelintir orang Melayu, bahawa DAP lebih bagus daripada Umno. Ini aneh, namun agak sering disebut-sebut, baik secara terang mahupun berkias. 

Kita tidak perlu merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlalu diketahui itu, sebaliknya rujuklah pandangan tokoh baru yang memakai nama pena Sakmongkol.

Walaupun kita tahu dalam politik, hasutan sering menjadi-jadi, tidaklah kita ketepikan keseluruhan perlakuan politik.

Sebahagian daripada dakwaan Pas terhadap Umno mungkin betul, demikian juga sebahagian anggapan Umno terhadap Pas. Sejak berpuluh tahun dahulu,  politik kita berkisar di sekitar ‘bulatan’ ini.

Kita pergi ke perkara kedua, iaitu pertandingan dalam Umno.

Kita melihat para calon naib presiden, ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Puteri, bersungguh-sungguh memaparkan hasrat untuk menang. Namun, syarat berkempen amat ketat, dan ini ialah perkembangan terbaru.

Sesetengah pihak anggap peraturan ketat adalah tidak demokratik.

Dalam hal ini, demokrasi itu sendiri perlu direnungi, dan difikirkan secara mendalam. 

Demokrasi yang terbuka luas akan melebarkan peluang saling menghasut.  Ingatlah kata-kata seorang pembicara politik, “Demokrasi yang dijaja ke hulu ke hilir oleh Amerika sebenarnya sistem ekonomi kapitalis”.

Tentulah kata-kata itu  dianggap terlalu berliku-liku, namun ada faedahnya kita fahami bahawa  layanan demokrasi jangan keterlaluan. Amerika pun bermasalah!

Untuk jawatan naib presiden, tiga yang bertanding berusia atas 60 dan tiga lagi bawah 60 tahun. Tokoh yang atas 60 ialah Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Tokoh bawah 60 - Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Adakah pengundi akan memutuskan gabungan tokoh veteran dengan tokoh muda akan berikan kekuatan kepada Umno?

Kita tahu, Isa ada kekuatan tersendiri. Kita juga tahu Zahid yang diasuh oleh Anwar hampir 20 tahun dulu, sudah menjadi tokoh Umno yang hebat.

Mukhriz juga kuat, selain beliau dikenali sebagai anak lelaki yang amat filial kepada bapanya. Berbeza pemimpin-pemimpin PKR dan DAP, Mahathir dan Mukhriz tidak menjadi pemimpin dalam masa yang sama.