PERGOLAKAN politik Malaysia, walaupun sesekali tegang, hanyalah separuh sungguhan dan separuh olok-olok. Pada masa lepas, mendiang Karpal Singh dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, biarpun berbeza pendapat hingga ’terbalik’, masih boleh berbaik-baik.

Dua orang tokoh itu bersungguh-sungguh berjuang ke arah yang berlawanan, namun dalam hal menentang Barisan Nasional, mereka terus menerus menghiburkan kita.

Frasa ‘menghiburkan kita’ di atas mungkin tidak dapat difahami, tanpa tinjauan dari sudut Teori Anjakan Makna. Sekarang, Karpal Singh sudah tiada, dan perhatikan kata-kata anaknya Gobind Singh, “I thank God for giving me the best father in the world and I would like to tell everyone, the fight continues.” (Malay Mail, 25 April, 2014).

Makna perkataan fight dalam konteks itu ialah penentangan terhadap hasrat Pas melaksanakan hukum hudud. Sebelum itu, Gobind Singh menyatakan, usaha melaksanakan hukum hudud adalah tidak mengikut perlembagaan.

Mungkin perkataan fight juga membawa makna perjuangan secara umum. Terdapat beberapa ungkapan Karpal Singh yang terkenal, dan sebahagiannya mungkin akan menjadi aforisme untuk dijadikan pegangan pihak pembangkang.

Malaysia ialah negara istimewa, dan pernyataan tentang impian rakyat pelbagai kaum dan agama ialah bukti keistimewaan itu. Ada yang mengimpikan pelaksanaan hudud, dan ada yang mengimpikan keadilan universal.

Berita yang lebih baharu ialah bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan kerajaan tidak menentang hukum hudud, tetapi mendapati ada kekangan untuk pelaksanaannya. Kenyataan Najib berlawanan dengan pandangan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw yang menolak pelaksanaan hukum hudud. Kenyataan Pang Chaw dikesali Datuk Mohammad Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan. (Berita Harian 25 April 2014)

Wujudnya perbahasan yang berbagai-bagai adalah tanda keistimewaan. Sebelum ini kita tidak menjangka Najib akan menyebutkan rasa selesa terhadap hukum hudud.

Kita belum ada sebuah buku tentang kandungan hudud. Buku hudud yang ada di pasaran terlalu umum, iaitu yang menyatakan hudud semakna dengan had. Dalam buku tersebut, terdapat petua bahawa manusia hendaklah melakukan sesuatu tanpa berlebih-lebihan.

Manusia mesti memikirkan had (limit) agar segala-galanya berlaku dalam kadar yang munasabah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, menyebutkan bahawa hukum hudud dapat dilaksanakan jika badan kehakiman syariah dan pihak berkuasa sudah bersedia.

Dalam hal hukuman potong tangan untuk kesalahan tertentu, Datuk Dr Mah Hang Soon, Pengerusi MCA Perak mengatakan ketidaksetujuannya terhadap saranan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan agar doktor ditugaskan memotong tangan pesalah. (Malay Mail, 25 April 2014).

Perbincangan tentang hukum hudud tampaknya telah tiba pada tahap pertengahan. Saya bersetuju dengan saranan Musa Awang agar kerajaan dan pihak berkuasa agama terus menerus memberikan keterangan kepada umat Islam dan bukan Islam tentang hukum hudud.

Dalam bidang politik, tentulah ada tokoh lain selepas Datuk Nik Abdul Aziz untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam perkara ini.

Jika pada masa ini hukum hudud tidak difahami dengan mendalam, terutama kerana ketiadaan buku khusus dan kursus intensif, rakyat Malaysia bersedia menunggunya, biarpun lama.

Pada masa lampau, kita tidak mendengar usaha yang bersungguh-sungguh dibuat oleh ulama dan ahli politik agama dalam perkara ini. Jika itu dilakukan mereka, mungkin kini hukum hudud telah dilaksanakan di Malaysia dengan jayanya.

Saya kira, elok kita memikirkan jangka masa sekurang-kurangnya 50 tahun untuk maksud ini. Ketika itu, Pas mungkin (dengan takdir ALLAH) telah bersatu hati dengan Umno, dan PKR mungkin telah memilih jalan yang dipilih oleh Parti Semangat 46.

Jika itu berlaku, dan ahli-ahli serta pengikut DAP, MCA, MIC dan lain-lain telah berkursus tentang hukum hudud, masalah tidaklah dirasai besar. Dalam politik, kita tidak mengatakan masalah akan padam, kerana kehidupan parti politik dan tokoh politik sentiasa bergantung pada masalah.

Dramatis Sharif Shaary selalu mengucapkan ‘Terima kasih, masalah.’

Jika benar agakan saya, maka anak muda yang kini berusia 20 tahun akan dilingkungi hukum hudud ketika mereka berusia 70 tahun.