SETELAH membaca keseluruhan kertas ucapan Dr Kassim Ahmad yang disampaikan dalam majlis penilaian pemikirannya (16 Februari 2014), terdapat beberapa hal yang wajar dibawa ke perbincangan.

Bagi sesetengah pihak, pandangan Kassim perlu diketepikan saja, malah ada yang marah-marah seolah-olah kemarahan boleh menyelesaikan masalah. Saya berpegang pada ajaran “Dengar semua pandangan, dan pilih yang terbaik.”

Antara lain, Kassim menimbulkan perkara syahadah kedua, dan merujuk hal itu pada al-Quran ayat pertama surah 63. Prinsip Kassim ialah al-Quran mentafsirkan dirinya, satu prinsip yang agak sukar diterima oleh Dr Shafii Anuar, tokoh agama dari Indonesia yang turut membentangkan kertas kerja.  

Masih ada lagi perkara lain yang menimbulkan kontroversi, tetapi mungkin perkara yang sedang saya sebutkan ini paling hangat. Apabila hal ini dibicarakan secara khusus, kita bolehlah mengemukakan hujah tentangnya. Masalah aurat wanita elok dibicarakan secara berasingan.

Dalam bicara ini, saya tidak akan menekankan hal besar yang mengejutkan itu. Bagi penganut sesuatu agama, jika perubahan pandangan terhadap hal yang asas dikemukakan, kontroversi pasti terjadi. Hal asas ialah hal yang diterima semua.

Syahadah kedua dalam Islam bukanlah syahadah yang diucapkan oleh orang Islam di Malaysia sahaja. Dalam beberapa hal Kassim tidak sejalan dengan penganjur majlis. Oleh itu, penganjur mengharapkan perbezaan pandangan dikemukakan untuk penilaian.

Perkataan penilaian itulah yang utama.  Rupa-rupanya Kassim dianggap terlalu kuat, dan sebarang kata-katanya perlu diserang. Jika kata-kata Kassim tentang syahadah kedua tidak disenangi, maka kritikan seeloknya disuarakan dengan jelas dan terperinci. 

Teman saya yang berada jauh di utara tanah air menghantarkan SMS kepada saya, mengatakan penolakan kerasulan Nabi Muhammad adalah serius dan amat tidak wajar dilakukan oleh orang Islam.

Saya menanggapi isi SMS itu tiada kaitan dengan subjek yang dibicarakan. Kassim menjunjung kerasulan Nabi Muhammad menyamai sanjungan Muslim lain, cuma beliau, seperti yang dikatakan oleh Profesor Chandra Muzaffar, mungkin tersilap tafsir ayat pertama surah 63.

Bagi saya, jalan penyelesaian hal ini ialah mempertemukan Kassim dengan tokoh agama yang bijak dalam diskusi. Diskusi antara tokoh ialah amalan yang dapat menambahkan maklumat, malah dapat mematangkan masyarakat untuk menerima dan menolak sesuatu gagasan secara sopan dan bertamadun.

Saya membuat cadangan ini, kerana dalam pemerhatian saya, Kassim tidak mempunyai kepentingan. Seminar sempena 80 tahun usia beliau telah dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir, dan itu pun atas dasar persahabatan, bukan apa-apa kepentingan.

Oleh sebab Tun Mahathir juga telah merasmikan majlis bicara buku Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, atau Dr Maza beberapa tahun lalu, eloklah Kassim dipertemukan dengan Asri.

Diskusi ialah wacana intelektual bukan majlis untuk bertepuk tangan menyanjung pemenang. Jika itu berlaku, ternyata politik yang mendominasikannya, bukan ilmu. Dalam majlis diskusi intelektual, ilmu yang penting. Hadirin akan membawa balik fakta dan kebenaran. 

Kita sekarang terlalu letih menanggung beban labelling, iaitu seseorang sering digelar dengan kata-kata yang menyakitkan hati.  Tokoh-tokoh dilabelkan dengan kata-kata ‘katak’, ‘firaun’, ‘wahabi’, ‘anti-hadis’, ‘gila kuasa’, dan banyak lagi.

Kesemua label yang dikemukakan itu membawa satu maksud, iaitu mengetepikan keseluruhan sumbangan tokoh. Keseluruhan sumbangan negarawan akan dipadamkan melalui sepatah kata, misalnya ‘firaun’, dan keseluruhan sumbangan tokoh-tokoh lain dipadamkan melalui label-label lain dalam senarai di atas, atau kata-kata yang lebih negatif dari itu.

Jika seseorang sarjana membawa satu idea baharu, dan idea itu dianggap salah, janganlah kita terlalu pesimis dan negatif, seolah-olah orang Islam di Malaysia mudah disesatkan.

SM Zakir, sasterawan muda kita telah mengulang kata, bagi orang Islam Malaysia, penyelesaian berlaku di rumah atau di surau. Bersolatlah  di atas sejadah yang sedia ada, nescaya keresahan dan kekeliruan akan terubat.

Kita boleh berbicara tentang Al-Farabi, Jalaluddin al-Afghani hingga kepada Ali Shariati dan Muhammad Naquib Al-Attas, tetapi kedamaian jiwa akan hadir dalam diri melalui ibadah yang tulus dan khusyuk.