INI ialah lontaran idea tentang pemimpin. Makna pemimpin ialah sesiapa yang berpengaruh, yang menyebabkan hadirnya pengikut. Jika ada pengaruh, seorang penasihat pun akan dianggap pemimpin, dan mungkin digelar ketua umum.

Jika tiada pengaruh, presiden pun berada jauh di belakang ketua umum. Walaupun disebut ketua umum, pemimpin bukan sekadar ketua.

Pemimpin seharusnya berupaya – atau dipercayai berupaya – membawa pengikut ke arah kecemerlangan. Pemimpin ada bidangnya - politik, ekonomi, budaya, agama dan lain-lain. Dalam banyak keadaan, keselesaan hidup ialah matlamat pemimpin (matlamat tersembunyi), namun dalam realiti, ada pemimpin yang hidup dalam ketidakcukupan.

Jika itu berlaku, mereka dikatakan berkorban demi kebahagiaan pengikut.

Bicara ini akan memberikan tumpuan kepada dua bidang, iaitu politik dan ekonomi. Dalam politik, akal para pengikut tahu bahawa pemimpin mencari kuasa, manakala perasaan mereka mengetepikan hakikat.

Pengikut dalam bidang politik selalunya dicengkam oleh anggapan bahawa pemimpin mereka ialah pejuang. Mereka melupakan kenyataan bahawa sesetengah pemimpin adalah Machiavellian.

Pengikut dalam bidang ekonomi jarang sekali mengatakan pemimpin mereka pejuang. Mereka amat sedar pemimpin mereka ialah pencari wang. Dalam hal ini, pengikut ekonomi jauh lebih rasional. Sikap rasional mereka bergantung pada ketelusan pemimpin ekonomi sendiri yang selalunya bersikap transaksional.

Generalisasi di atas mungkin tidak menyenangkan. Namun, setiap kita dapat melihat pemimpin-pemimpin di sekeliling. Orang yang handal dalam ekonomi – iaitu para pengusaha – berupaya mengambil ribuan pekerja, dan menjaga kebajikan mereka.

Tentulah itu merupakan hasil timbal balik, iaitu pekerja memperoleh rezeki setelah mereka menjaga kebajikan majikan.

Pemimpin politik juga menyediakan rezeki untuk para pengikut mereka. Namun, pengikut tokoh politik kadangkala menghadapi kesusahan, kerana terpaksa berteriak di tepi jalan bagi menentukan pemimpin mereka naik. Sebahagian mereka menerima nasib lebih malang, iaitu  ditahan dan didapati bersalah kerana melanggar undang-undang.

Berbanding dengan pemimpin politik, pemimpin ekonomi bersikap lurus dan telus. Mereka tidak berbelit-belit dalam kerjaya. Mereka menyediakan kemudahan hidup untuk pekerja mereka.

Kebajikan untuk pekerja akan meningkat jika syarikat memperoleh keuntungan besar. Pemimpin ekonomi tidak membawa pengikut mereka ke arah bahaya melalui pidato dan propaganda.

Saya cenderung menyatakan hal ini kerana pemimpin politik dan pemimpin ekonomi berada di sekitar kita. Jika di tempat kenduri, pemimpin politik akan membantu petugas kenduri, misalnya  turut mengacau gulai kawah. Pemimpin ekonomi berasa tidak perlu berbuat demikian.

Pemimpin ekonomi tidak perlu berlatih memberikan syarahan berapi-api. Bahkan ada yang berasa tidak selesa dengan syarahan begitu. Mereka lebih gemar bercakap dengan cermat, tidak tergesa-gesa demi menjaga hujah agar tidak terlepas cakap.

Pemimpin politik membiarkan kata-kata terbit di luar logika. Peratusan yang besar masalah perpecahan dalam masyarakat adalah akibat pandangan-pandangan pemimpin politik. Mereka berbicara seolah-olah mahu menjaga rakyat, tetapi kehendak mereka tidak lebih dan tidak kurang: Kuasa!

Namun, pemimpin politik ada keistimewaan. Mereka dapat mengekalkan pengaruh. Mereka boleh meminta seseorang wakil rakyat meletak jawatan, dan digantikan dengan calon lain daripada parti yang sama, dan rakyat tetap menyukainya.

Dalam politik, karisma amat penting. Karisma dalam politik selalunya bertolak daripada kebolehan berpidato. Walaupun ada perbezaan yang ketara antara pemimpin politik dengan pemimpin ekonomi, keikhlasan dan kejujuran adalah ciri penting pemimpin yang baik.

Dalam kedua-dua bidang, pemimpin baik ialah yang bersikap transformasional. Pemimpin transformasional sentiasa berniat baik untuk memajukan pihak yang dipimpinnya.

Jika pemimpin berhati kotor – baik pemimpin politik mahupun pemimpin ekonomi – hasilnya buruk. Mereka akan jadi penipu dan penindas.

Oleh sebab kedudukan istimewa, mereka berupaya menyembunyikan kecurangan untuk satu jangka waktu. Namun kecurangan tidak akan terlindung untuk selamanya. Oleh itu, pemimpin perlulah berazam bagi melaksanakan tugas kepemimpinan dengan sebaik-baiknya.