DALAM ruangan ‘Bicara Selasa’ yang lepas (Sinar Harian 3 September 2013),  saya menyebutkan perihal aneka tema perbahasan di Malaysia. Saya simpulkan, ada perbahasan yang berguna, tetapi kebanyakannya sia-sia.

Dalam tulisan itu saya tidak sebut perbahasan tentang bendera Sang Saka Malaya.

Rupa-rupanya pada tarikh sama, Sinar Harian memuatkan pandangan Prof Madya Dr Lim Swee Tin tentang bendera tersebut. Dr Lim Swee Tin mengatakan  pengibaran bendera Sang Saka Malaya ialah hasil ‘kenakalan melampau’.

Seterusnya, beliau secara sinikal menyuarakan kebimbangan kalau-kalau  masyarakat antarabangsa anggap negara kita ada dua bendera.

Dr Lim ternyata serius apabila beliau mengatakan anak-anak muda mungkin terpengaruh dengan perbuatan orang tua. Beliau juga sebut kebimbangan kalau-kalau rasa hormat terhadap  Jalur Gemilang hilang disebabkan perkembangan begini.  Perkara ini perlu diberi perhatian.

Ahli sejarah mengatakan bendera Sang Saka Malaya muncul di Tanah Melayu dalam tahun 1938.  Bendera itu, menurut mereka, digunakan oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM).  

Namun, seperti ditegaskan oleh Profesor Ramlah Adam, bendera itu bukan asal Tanah Melayu. Hal ini elok juga dijelaskan dengan baik, sekurang-kurangnya untuk maksud pemahaman umum tentang sejarah.  

Tidak besar jumlah rakyat yang tahu bendera rekaan dekad 1930an itu pernah ditolak oleh beberapa tokoh kiri apabila dicadangkan kemasukan keris dan warna kuning. Kini, keris dan warna kuning ada pada bendera Umno.

Pertimbangan pada masa ini pasti tidak akan membawa penerimaan meluas oleh rakyat Malaysia.

Daripada nama Sang Saka Malaya, tersirat makna bahawa itu ialah untuk Malaya, bukan Malaysia. Ertinya, bendera itu sesuai dikibarkan pada masa lampau, di majlis ceramah Dr Burhanuddin Helmi atau Datuk Ahmad Boestamam.

Ketika itu mereka menjadi orang penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Kini, itu semua bernilai nostalgia.  

Malaysia wujud dalam nyata, bukan mimpi. Jalur Gemilang ialah bendera Malaysia kini, walaupun sesetengah pihak bersikap negatif terhadapnya. Selama ini, sebelum ditimbulkan Sang Saka Malaya,  Jalur Gemilang amat dihormati.

Semoga rasa hormat ini kekal. Sesiapa merindui Sang Saka Malaya, hayatilah bendera Umno. Seninya tidak kalah!

Ada yang menyatakan Jalur Gemilang tidak asli. Saya mahu mengatakan, apa-apa pun milik peribadi  kita tidak asli, termasuk tali leher, stoking, seluar, seluar dalam dan topi. Kita tidak perlu mencari-cari asal-usul sesuatu secara keterlaluan.

Kita tidak perlu ‘terlalu’ memikirkan dari mana datangnya pencapaian masa kini, tetapi berikan tumpuan terhadap pencapaian hari esok.

Kita sudah lama mempunyai bendera tanah air. Bendera itu bagus, sebagus lagu kebangsaan kita: Negaraku, juga sebagus Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Inilah yang dimaksudkan oleh Dr Lim Swee Tin apabila beliau mengatakan hasutan untuk menduakan bendera Malaysia adalah satu kenakalan. Keadaan damai akan bertukar kacau-bilau. Meninjau sejarah memanglah elok, tetapi janganlah dengan maksud mewujudkan porak peranda.

Dalam usaha menulis semula sejarah –  jika ditemani ‘hasutan’ – akan terdapat sejumlah rakyat yang tidak menerima tarikh 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan. Sekarang pun kemerdekaan ditolak oleh sesetengah mereka.

Kata mereka, keadaan di Malaysia kini  ialah neokolonialisme. Dalam hal ini, sesetengah kita tertanya-tanya: mengapakah Sang Saka Malaya dikibarkan oleh mereka pada akhir Ogos?  Mereka membawa bendera yang mereka iktiraf untuk menyambut kemerdekaan yang mereka tidak iktiraf.

Pemikiran progresif ala dekad 1940an  ditimbulkan untuk disesuaikan dengan segi-segi realpolitik mutakhir. Kata-kata yang dulunya ditujukan kepada penjajah Inggeris, kini ditujukan kepada kerajaan sendiri. 

Seperti yang telah dibayangkan di atas, penolakan bukan hanya terhadap  Jalur Gemilang, tetapi juga  lagu kebangsaan, malah  segala hal yang berkaitan dengan  perjuangan kemerdekaan oleh Umno dan parti-parti yang akrab dengannya.  

Kita perlu konsisten untuk menerima apa-apa yang baik untuk negara dan rakyat Malaysia.