SEPULUH hari yang lalu rakyat Malaysia dikejutkan oleh tindakan berterus-terang Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Katanya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail tiada kelayakan untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Beberapa akhbar bertarikh 7 September 2014 menyiarkan alasan oleh Hadi. Bagi sesetengah pihak, sikap berterus-terang Hadi membantutkan langkah Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Bagi pihak lain, pernyataan yang jujur lebih baik daripada penyembunyian sampah di bawah tikar.

Wan Azizah tahu tentang tingkat tahap dirinya sebagai pemimpin. Oleh sebab itu, beliau tidak berasa marah kepada Hadi. Beliau sedar, Pas telah banyak berkorban untuk pencapaian PKR, bukan sebaliknya. Selaku pemimpin atasan pembangkang, Azizah dan mereka yang lain tahu bahawa kerjasama DAP, Pas dan PKR besar kemungkinan akan sia-sia akhirnya.

Hala tuju mereka berlainan. Sejauh yang diketahui oleh pemikir politik, dan juga oleh ahli politik yang berfikiran tinggi, kerjasama ketiga-tiga parti itu hanya bertujuan menjatuhkan Barisan Nasional.

Secara keseluruhan, rakyat Malaysia mungkin bersetuju apabila Datuk Nik Abdul Aziz mengatakan PKR tidak wajar dilayan sangat. Ayat Nik Aziz tegas. Rakyat Malaysia tahu bahawa PKR, sama seperti Semangat 46, ialah serpihan daripada Umno.

Selaku serpihan Umno, kaedah Umno tidak akan ditinggalkan jauh.

Perhatikan, walaupun Tengku Razaleigh dan Anwar memiliki perwatakan yang berbeza, hasrat mereka sama. Pada masa lepas, Tengku Razaleigh ialah pencabar Tun Mahathir, dan beliau mahu menjadi Perdana Menteri. Kemudian, Anwar Ibrahim yang juga berasal dari barisan kepimpinan Umno, mahu menjadi Perdana Menteri.

Melalui pandangan noe-Freudianisme, adalah biasa tokoh yang di bawah akan menentang tokoh yang di atas. Tokoh yang berada di bawah Mahathir, malah pernah dididik oleh Mahathir, akhirnya menentang Mahathir. Anwar dan watak-watak lain yang menentang ketua lama,  memaparkan diri dan parti barunya seakan-akan amat berlainan malah bertentangan dengan Mahathir dan Umno.

Hal yang begini sukar difahami oleh pengikut fanatik mana-mana parti dan tokoh, namun pengkaji dan peninjau politik dapat melihatnya dengan jelas.

Kini, Hadi Awang telah menyelak tirai helah politik sekular itu. Hasilnya, ada pengikut fanatik yang kembali sedar bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (seperti Datuk Seri Najib Razak juga) ialah murid Tun Mahathir.

Dalam kalangan orang politik, perkara ini dan yang sebegini amat mudah ditanggapi. Misalnya, perihal Wan Azizah tidak layak menjadi menteri besar dikesani banyak pihak. Namun, perkara yang berlaku membawa dua makna.

Pertama, sejumlah ahli politik suka jika Wan Azizah menjadi menteri besar, kerana beliau ialah isteri Anwar. Isteri Anwar akan membawa imej dan cita-cita Anwar. Kedua, ‘tokoh’ tertentu mahu Wan Azizah menjadi menteri besar untuk masa yang singkat sahaja. Tanpa bakat yang cukup Wan Azizah akan berhenti, dan ‘tokoh’ itu akan mengambil empatnya.

Pendekatan Freudian memang menarik dalam melihat tingkah laku manusia, terutama orang politik. Sejumlah mereka tiada ketulusan hati untuk berbakti kepada rakyat, kerana semua itu ditindih di bawah hasrat mahu melonjak.

Itu biasa saja, dan rakyat boleh menerima sesiapa saja yang melonjak naik jadi menteri besar, asalkan prosesnya diperhalus. Wan Azizah pernah mengatakan Anwar ialah anugerah ALLAH untuk rakyat Malaysia, dan dalam ‘Langkah Kajang’ Anwar pula mengatakan Wan Azizah layak menjadi MB.

Demikianlah mutual admiration antara mereka berdua, dan itu masih tidak mengapa, kerana jalan politik adalah pelbagai. Sesetengah orang berasa kesal kerana kes pemilihan MB telah menyebabkan PKR bermasam muka dengan Pas. Mungkinkah masam di Selangor akan menjadi manis di Pengkalan Kubor?

Walau apa pun, eloklah ‘masam manis Pakatan Rakyat’ ini diperhatikan oleh rakyat pada tahap kini. Jika PKR, Pas dan DAP sudah membina kerajaan bersama, dan pertelingkahan tentang hala tuju berlaku, rakyat akan terlalu serba salah dan susah.
Politik ialah seni segala kemungkinan.


*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award dari Kerajaan Thailand (2007) dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.