TIBA - tiba penamatan tugas seorang dekan Universiti Malaya, yang juga pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) dihebohkan di pelbagai akhbar. Jadilah ribut di dalam cawan.

Ahli akademik itu, iaitu Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman menjadi popular, bagaikan ahli politik yang outspoken. Datuk Seri Anwar Ibrahim membela Redzuan dengan menyelitkan kata-kata, “Prof Redzuan mangsa penguasa angkuh.” (Suara Keadilan, 1 Julai 2014.)

Dijangka populariti Redzuan akan berlangsung selama dua minggu. Selepas itu diam, dan beliau mungkin akan popular semula jika menyertai pilihan raya.

Populariti Redzuan dibantu juga oleh tindakan Datuk Saifuddin Abdullah, pembicara ‘politik baharu’ Umno, yang menyatakan sokongan kepadanya. Sebagai tanda sokongan, Saifuddin meletak jawatan Felo Penyelidik Kanan.

Sebenarnya sokongan itu tidak diperlukan, kerana Redzuan tidak melaksanakan jasa bakti melebihi pensyarah lain. Redzuan memang baik atau sekurang-kurangnya berada di tahap pertengahan.

Kini jawatan dekan dipegang oleh Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak yang berkeupayaan. Jawatan Redzuan di Umcedel pula digantikan oleh Dr Amir Saifude Ghazali dengan alasan yang mantap, seperti dinyatakan oleh Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Peristiwa Redzuan kehilangan dua jawatan ini membangkitkan aneka reaksi dan respons. Seperti biasa, bicara tentang hal begini tidak disandarkan pada fakta yang jelas.

Penamatan tugas atau jawatan ialah perkara biasa. Kegiatan Umcedel bukanlah istimewa, kerana matlamatnya ialah penyuaraan pandangan untuk memikat khalayak.

Perhatikan, ketika ahli politik mula berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Kajang, Umcedel di bawah Redzuan tiba-tiba membuat kajian, dan mengumumkannya. Isi pengumuman itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim disokong oleh pengundi Kajang untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Mengapakah dilaksanakan kajian yang demikian, di tempat demikian, dan pada masa demikian? Isi, tempat dan masa membayangkan maksud!

Perbincangan tentang perkara kecil begini adalah diperlukan untuk kesedaran umum, kerana di Malaysia banyak sekali peristiwa kecil yang diheret-heret hingga menjadi punca kacau-bilau.

Sebagai contoh, bacalah tulisan kritis Karim Raslan dalam kolumnya (Sinar Harian, 1 Julai 2014). Secara tidak langsung Karim menegur pihak tertentu yang menghebohkan perkara yang wajar didiamkan, hingga menjadi haru-biru.

Kajian politik tidak dapat lari daripada mainan politik. Maksud saya, kajian politik akan condong ke arah pegangan politik pengkaji.

Dalam melaksanakan persampelan berstruktur, sampel itu sendiri boleh dipilih-pilih. Jika pun tiada manipulasi, selalu ada kecenderungan ke kanan atau ke kiri. Secara subliminal pengkaji akan terbawa-bawa ideological baggagenya.

Subjektiviti kajian politik melebihi subjektiviti sains sosial yang lain. Selain pegangan ideologi, faktor persahabatan dan ketaksuban juga boleh mengganggu keikhlasan kajian.

Subjektiviti bertaburan di lantai analisis, hingga sukarlah pengkaji bersikap saksama. Jika pengkaji tersebut anak si tokoh, akan terkesan nada filial piety, dan jika pengkaji itu kawan, maka terbayanglah kroni.

Dengan menyebutkan hal ini, saya bermaksud berbicara tentang bidang. Kita tahu, bidang yang didukung oleh Umcedel adalah mudah, cuma menuntut kerajinan.

Ketua Umcedel tidak perlu bertahap profesor, kerana kajian populariti seseorang atau sesebuah parti politik dapat dilaksanakan dengan peralatan yang biasa-biasa. Bekalan ilmu statistik pun boleh dikesampingkan.

Kajian yang dibuat oleh Umcedel di bawah Prof Redzuan boleh dipermaju, bersyaratkan niatnya hendaklah akademik sepenuhnya. Namun, kelemahan yang ada itu bukanlah punca jawatannya digantikan.

Penamatan jawatan ialah satu perkara. Sokongan kepada pembangkang ialah perkara lain. Kebanyakan bicara di akhbar atau di media sosial, mengheret dua hal yang dikhayalkan berkaitan.

Kajian populariti pemimpin parti politik, baik pemimpin kerajaan mahupun pembangkang memanglah menarik.

Kajian itu menyamai kajian populariti artis, iaitu adakah populariti Datuk M Nasir mengatasi populariti Datuk Jamal Abdillah. Walaupun tarafnya sama, jika artis yang dikaji, tamatnya jawatan pengarah tidak mungkin diheboh-hebohkan.

* Datuk Rahman Shaari ialah Penerima Sea Write Awards daripada Kerajaan Thailand (2007), dan Penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau merupakan mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.