DALAM arena politik masa kini, kita dapat meninjau 4H. Keempat-empat H itu amat mudah difahami. H yang keempat ialah hasil. Sebelum tiba pada hasil, kita menemukan 3H : hasad, hasutan dan hiasan.

Hasad disebut juga dengki, dan kerap disebutkan bercantum: hasad dengki. Hasad berpunca daripada rasa benci kerana orang lain berjaya. Seseorang yang menganggap dirinya cukup baik akan membenci pihak lain yang berjaya mengatasi kejayaannya. Kita dapati, hasad mungkin berlaku antara dua pihak dalam parti yang sama, tidak semestinya antara tokoh yang berbeza parti politik.

Hasutan berbeza daripada hasad, kerana hasutan ialah tindakan. Kita melihat dengan terang munculnya tuduhan demi tuduhan untuk maksud hasutan. Tokoh dari parti A berhabishabisan mendapatkan maklumat, sah atau tidak belakang kira, untuk memburukkan tokoh parti B. Hal yang sama dilakukan tokoh parti B.

H yang ketiga ialah hiasan. Hiasan terutamanya dalam pidato, retorik. Kedua-dua belah pihak berusaha menyatakan kebaikan parti sendiri. Dalam hal ini, hiasan berlawanan tetapi bergandingan dengan hasutan. Hiasan memuji diri, hasutan memburukkan orang lain. Hal ini berjalan serentak, iaitu ketika mengatakan diri sendiri baik, sempurna, membahagiakan rakyat, pihak lawan dianggap pengacau, penderhaka, tidak beragama, penindas rakyat dan banyak lagi. Kedua-dua pihak ialah penghasut dan penghias, berbalik pada keadaan dan kesempatan.

Rakyat biasa tidak perlu berhasad dengki dalam politik. Di sana sini, hatta kalangan pelajar sekalipun, ada yang menyangka satu-satu pihak itu terlalu buruk, padahal maklumat yang diperolehnya adalah daripada pihak yang bermusuhan.

Hasad datangnya daripada peribadi yang bercita-cita tinggi, tetapi cita-citanya disekat. Orang ini mahu melawan pesaingnya, dan dia tidak berkeupayaan jika tidak menghasut pihak lain agar menyokongnya.

Perhatikan bahawa hasad menjadi punca hasutan. Pihak yang berhasad dengki akan mencari cerita dan mungkin mencipta cerita, untuk meyakinkan orang ramai mengenai keburukan musuh politik. Jika kita mahu mencari ketenangan dalam politik, mahu hidup berbahagia sebagai pemilih yang matang, ketepikan hasad dan hasutan.

Hiasan bersifat puji diri, masuk bakul, angkat. Ahli politik akan mengatakan dirinya dan partinya akan membawa kesempurnaan dalam pentadbiran. Itu selalunya tidak terlalu buruk, tetapi hiasan sana sini, menjadi negatif kerana berganding dengan hasutan. Ertinya, seseorang yang memuji diri dan parti sendiri tidak berhenti tahap itu. Dia menyebutkan keburukan pihak lawan sebagai pelengkap.

Seharusnya, bahkan sewajibnya, rakyat mencari hasil. Rakyat tidak usah mengambil berat tentang hasad, kerana itu datang dari daerah kejahatan. Jika orang politik menyebutkan keburukan musuh atau pesaing secara berlebih-lebihan, rakyat biasa hendaklah bersuara dalam fikiran: Ini ialah hasad.

Apabila seseorang ahli politik menghampiri rakyat biasa dengan kempen memburukkan orang lain dengan cara menunjukkan bukti konkrit, dan tidak dinyatakan bahawa ada juga bukti yang menunjukkan pihak lawan memiliki kebaikan, maka fahamlah bahawa itu ialah hasutan. Perhatikan bahawa hasutan negatif, namun tidak senegatif hasad. Kesyaitanan lebih tebal dalam hasad.

Perkara yang dibincangkan di atas boleh tiba ke fikiran rakyat melalui percakapan dan juga perbuatan. Dalam keadaan biasa, hasad, hasutan dan hiasan hadir secara yang tidak begitu disedari. Jika emosi meninggi, unsur-unsur di atas amat ketara.

Dalam lingkungan hasad, timbul keji mengeji yang tidak berbatas. Dalam hal hasutan, ahli politik amat aktif mencari bukti, siapakah yang ada simpanan empat bilion Ringgit Malaysia, siapakah yang terbabit dengan skandal terbesar, siapakah yang mendapat untuk besar kerana pembelian kapal, siapakah yang menyokong Yahudi, siapakah jaguh pengamal seks bebas, siapakah yang menolak Islam, siapa itu dan siapa ini.

Adakah semua itu berfaedah untuk rakyat? Rakyat sebenarnya menunggu hasil. Sejauh ini, atas sokongan pihak pembangkang juga, PTPTN membantu pelajar untuk berjaya. Itu hasil. Kerajaan telah memberikan keselesaan kepada rakyat melalui BR1M. Itu menyenangkan rakyat. Pembangkang pun menjanjikan kebaikan. Itulah yang diharapkan rakyat yang memahami politik matang.