SEJUMLAH orang sastera kini menitikberatkan lapangan politik. Penyair berbakat dari Kelantan, Leo AWS, agak risau akan kemunduran kritikan sastera masa kini. Baginya, kemunduran kritikan sastera ialah kemunduran bicara kesenian.

Saya tidak risau, kerana saya melihat politik juga berteraskan kesenian. Memang elok kita membaca cerita rekaan (novel, cerpen dan skrip drama) yang mencerminkan kehidupan masyarakat, tetapi dari segi tertentu, elok juga kita melihat kehidupan masyarakat itu sendiri.

Tingkah orang politik satu cabang yang menarik diberi perhatian.

Orang yang mengkaji novel telah sedia maklum bahawa perwatakan dapat ditinjau melalui pendekatan psikologi dan sosiologi. Watak yang dilukiskan pengarang mungkin anggota masyarakat yang diperhatikannya, dan mungkin juga dirinya sendiri.

Orang yang mengkaji politik juga demikian. Dia dapat melihat perwatakan orang politik yang berdarah daging. Dirinya sendiri mungkin juga terlibat. Apabila perwatakan ditinjau secara saksama, akan ditemukan kesenian.

Kita perhatikan isu hudud yang terhenti seketika. Tidak kita jangka sebelumnya orang Pas dan Umno akan bersetuju untuk menyerahkan perkara yang diheboh-hebohkan ini kepada jawatan kuasa teknikal.

Kemudian, setelah mendinginkan isu yang panas, Pas boleh pula kembali berbaik-baik semula dengan DAP dan PKR yang tidak menyokong hudud.

Mereka berkumpul di Bukit Gelugor. Umno dapat kembali menjenguk MCA dan MIC yang juga menentang pelaksanaan hukum hudud. Seseorang yang berpemikiran rapi akan dapat melihat segi keseniannya.

Perhatikan, isu hukum hudud telah merenggangkan dan juga merapatkan hubungan. Pada masa isu itu heboh, DAP renggang dengan Pas, manakala MCA juga renggang dengan Umno. Pas dengan Umno menjadi rapat, dapat berbaik-baik, berpakat buat sementara. Hasilnya, perkara hudud diserahkan kepada jawatankuasa teknikal.

Dalam kempen 2013, bukankah kita mendengar Pas berjanji akan mewujudkan Negara Berkebajikan, dan DAP percaya akan janji itu? Negara Berkebajikan kemudiannya dicanangkan oleh DAP sendiri, sebagai negara impian mereka. Kebajikan secara umumnya ialah keluasan kemudahan bagi rakyat.

Ternyata politik bertahap kesenian, bersyaratkan peneliti politik bersikap terbuka dan berlapang dada. Sebahagian daripada peristiwa politik tidak terfikir oleh kita sebelumnya. Terlalu banyak peristiwa yang dapat dilihat sebagai plot yang berkesenian.

Perhatikan sokongan Pas terhadap calon Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor. Lenggangnya berlainan daripada lenggang mempertahankan hukum hudud. Dalam politik, kesenian bergantung pada keupayaan berkata sesuatu waktu pagi, berbeza tengah hari, dan berubah lagi  ketika petang.

Oleh sebab maksud bicara ini ialah untuk memperlihatkan kesenian, kita beralih ke Terengganu. Perhatikan unsur absurditi apabila Datuk Ahmad Said mengumunkan keluar parti (buat sementara) bersebabkan penamatan jawatannya tidak melampaui hari kenduri kahwin anaknya.

Perdana Menteri bertegas bahawa kenduri kahwin anak seseorang menteri besar tidak diambil kira dalam keputusan politik dan pentadbiran. Daya tarikan unsur kesenian  ada di situ. Ahmad balik ke Umno.

Kita ambil contoh lain. Pada masa lepas, anggota-anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dididik agar patuh pada idealisme. Tumpuan PKR ialah reformasi.

Walau bagaimanapun, hal itu ialah pelukisan sementara. Episod-episod pemilihan pucuk pimpinan baru-baru ini memperlihatkan kecenderungan politik PKR mengaplikasi konsep realpolitik.

Kekacauan dalam pengundian PKR dapat diramalkan. PKR telah kelihatan besar, dan jawatan penting yang dipegang oleh seseorang akan menjadikan dirinya hebat. Peluang akan terbuka luas bagi pemenang.

Hishamuddin Rais selalu mengatakan, bahawa tujuan politik tidak lain daripada ekonomi. Perebutan jawatan dalam PKR bersebabkan jawatan menjanjikan masa depan dari segi ekonomi. Ini sama saja dengan perebutan dalam mana-mana parti politik.

Politik berdiri atas paradigmanya, sejajar paradigma skrip drama. Para anggota akan mengikut pola paradigma itu. Pembicara politik yang arif tidak akan membezakan antara tujuan PKR, MIC, Umno, DAP, Pas dan MCA. Perbezaan perincian memang ada, namun tujuan sama.