Akhir-akhir ini, beberapa penyair menghasilkan sejumlah sajak politik.

A Samad Said bersajak puitisdan bermatlamat. Dinsman dan Khalid Salleh juga menghasilkan sajak-sajak demikian. Di belakang mereka ialah Nahmar Jamil.Politik dalam sajak Nahmar Jamil adalah umum. Dia berkata tentang sesuatu yang dia tidak pasti, dan tamat di situ. Ini berkaitan dengan wataknya.

Untuk memahami cebisan perwatakan Nahmar Jamil, eloklah kita tatap dua bahagian daripada sebuah sajak Nawawee Mohammad dalam buku berjudul Setelah. Judul sajak Nawawee ialah “Setelah Nahmar Jamil Tiada Lagi Lain Penyair”. Bagus juga, penyair berbicara tentang penyair.

Bahagian pertama sajak Nawawee yang perlu ditatap berbunyi: sebenar tujuan berkereta ke Kangar/ sematamata bertemumu Nahmar. Tinggi sungguh minat Nawawee kepada Nahmar. Dia dari Jertih, Terengganu, berkereta ke Kangar semata-mata kerana mahu bertemu Nahmar. Namun sesuatu telah berlaku, dan Nawawee berasa sedih.

Ujarnya: sebaik-baik pengalaman berperi/ pertemuan harus didahului temu janji.

Saya sendiri tidak menyangka Nawawee boleh tersinggung. Alasannya tidak perlu saya nyatakan. Itu ada di baris keempat rangkap pertama sajak berkenaan.

Ternyata Nawawee berbicara tentang perwatakan penyair.

Watak penyair tidak semestinya sejajar atau sejalan dengan sajaksajak yang dihasilkannya. Ini penting untuk difahami. Marilah kita perhatikan sajak Nahmar Jamil sendiri. Judul sajaknya “Kerusi Kehilangan Kaki”, tersiar dalam Harakah, 6-8 Disember 2013.

Rangkap pertama sajak menyebutkan pokok, iaitu tanda dirinya yang tidak ke mana-mana, hanya berada di Kangar. Perhatikan “duduk bersandar di atas pokok/ bertasbih Anjakan Makna/ teori disenangi daripada teori lain”.

Nahmar berbeza daripada A Samad Said yang aktif ke sana ke sini. Samad memperoleh maklumat melalui pengalaman yang padat, manakala Nahmar pula duduk-duduk di atas pokok imaginasi. Dalam keadaan bertapa di atas pokok itu, Nahmar mencuba memahami teori Anjakan Makna. Hal ini tentulah sukar baginya, kerana teori hanya dapat difahami melalui perbandingan pemerhatian dan pembacaan secara akademik.

Saya kira, Nahmar memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun menelaah tulisan akademik yang berkaitan Anjakan Makna, barulah dia dapat memahaminya secara yang memuaskan.

Sajak Nahmar ini menyentuh perubahan politik Kedah yang berubah ke Barisan Nasional.

Dia menurunkan kalimah-kalimah bermaksud “sesiapa yang dikehendakiNya ditumbangkan/ sesiapa yang dikehendakiNya dimenangkan”. Seterusnya, dikatakan bahawa jatuh bangun manusia terbuka peluang membaiki kesilapan. Pesanan itu tentulah baik.

Titik tolak sajak Nahmar ini ialah perbualan antara A Samad Said dengan sahabatnya, tentang tempat berdiri. Dalam bahasa figuratif, tempat berdiri mungkin ideologi, dan mungkin juga pegangan hidup. Dalam bahasa anti-metafora, tempat berdiri ialah tempat berdiri. Itu membawa kejenakaan.

Selepas menyebut Anjakan Makna secara tidak pasti, Nahmar menyebutkan teori Nicolo Machiavelli. Ini tentulah terlalu jauh daripada pemahaman Nahmar, malah di Malaysia idea dan gagasan Machiavelli masih pada tahap awal penilaian semula. Kita semua sebenarnya sedang menunggu bicara lengkap daripada Dr Azizan Bahari tentang perkara besar tersebut.

Pada awal bicara, saya telah menyebutkan bahawa Nahmar Jamil bersajak tentang politik secara terlalu umum. Ini berbeza daripada A Samad yang memiliki pandangan yang mantap, hasil pengalaman yang luas. Perhatikan bahagian ini: Di luar ribut politik dunia dan negeri/ penyelewengan dan kezaliman menikam diri/ berterusan perlawanan manusia dan alam/ alam semesta tak terbanding pemikir saintis.

Soal ribut politik, penyelewengan dan kezaliman ialah perkara universal. Ini ialah bicara jalan selamat, atau bicara cari makan, sambil melarikan diri daripada masalah. Secara tak sedar, Nahmar sendiri menyebutkan “Melarikan diri dari hutan tebal/ mencari pesisir pantai indah selamat”.

Judul “Kerusi Kehilangan Kaki” elok dijadikan judul cerita jenaka. Bagaimanakah ceritanya? Saya berjanji, saya akan bercerita.