SAMA seperti aneka persembahan pentas, pidato ialah cabang seni. Cuma, kerap sekali pidato dipaparkan sebagai cabang seni popular. Kemahiran utama dalam pidato ialah keupayaan dalam gerak badan.

Pemidato yang berdiri tegak sejak awal hingga akhir – laksana pokok kelapa tanpa tiupan angin – tidak akan diminati. Kemahiran kedua ialah keupayaan menaik-turunkan suara. Ini disebut kemahiran intonasi.

Seterusnya diperlukan kemahiran menerbitkan suara yang berpadanan dengan perasaan. Ini disebut nada. Selain itu, diperlukan kemahiran berjenaka, dan seterusnya pemidato yang baik hendaklah tahu membina suspens dan kejutan.

Segala yang saya sebutkan di atas ialah perkara yang merupakan  persediaan perlu dikuasai pemidato. Apabila mereka menguasai kesemua kemahiran, mereka dianggap cemerlang.

Hadirin mengharapkan  pemidato membawa kebenaran, tetapi itu tidak selalunya terjadi. Pemidato yang hebat mungkin berbohong separuh, dan jujur separuh.

Persembahan half-truth mereka dipercayai oleh hadirin, kerana mereka mahir dalam hal-hal yang disebutkan itu.

Pidato yang menentang pemerintah selalunya mendapat sambutan.  Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar pemerintahan, kemudian  menganggotai kerajaan, seterusnya beliau berada di luar semula. Pidatonya digemari semasa beliau berada di luar.

Dalam perkembangan masa kini, muncul pemimpin pelajar yang  bernama Fahmi Zainol. Fahmi ditahan polis ketika berpidato pada 9  November, 2014. (New Straits Times, 10 November, 2014). Ini menarik,  kerana benarlah sejarah berulang. Pada tahun 1974, iaitu 40 tahun yang lalu, Anwar Ibrahim ditahan polis.

Jika sejarah politik Anwar kita ambil kira, beliau menyertai Umno pada tahun 1982, iaitu lapan tahun setelah beliau ditahan. Adakah Fahmi juga akan bertindak demikian? Dalam politik semua yang tidak diduga boleh berlaku.

Datuk Ramlah Adam menasihati para pelajar, termasuk Fahmi, agar jangan terhasut, dan berikanlah tumpuan kepada pelajaran. Beliau tidak melihat bahawa Fahmi merupakan lanjutan keghairahan berpidato yang lama berlangsung. (Utusan Malaysia, 20 November, 2014).

Bicara ini tidak akan membawa sokongan kepada satu fahaman politik.

Memadailah soal pidato politik difahami, dan dibawa ke pemikiran. Penulis cerpen, Ahmad J Husein, ada mengisahkan perihal peminat tegar pidato (beliau menyebutkan “ceramah”) politik. Dalam buku yang berjudul Tiada Rahsia Lagi, terdapat cerpen Ahmad yang berjudul

Malam Ceramah di Jernang. Tumpuan cerpen ini ialah kesungguhan watak Mat Isa yang mahu mendengar ceramah politik.

Ahmad J Husein tidak membina plot yang rumit. Tampaknya, dia  bertujuan melukiskan kegilaan ceramah golongan tertentu. Watak Mat  Isa sanggup meninggalkan isterinya yang menunggu masa untuk bersalin  semata-mata mahu mengikuti ceramah.

Baginya mendengar ceramah politik ialah perjuangan. Katanya, “Abang ni orang perjuangan, Mah. Orang macam abang ni bukan boleh duduk di rumah tengok muka bini.” Hanya si bahlul sanggup berkata begitu kepada isteri yang sarat!

Dia ke tempat ceramah politik yang dikatakan ada permit. Sebenarnya,  dia ditipu oleh watak Yasak yang tiga suku. Yasak beria-ia mengatakan ceramah itu mendapat permit polis, padahal yang ada ialah permit lori tanah. Demikianlah Ahmad J Husein berlawak sakan.

Mungkin Ahmad bermaksud menyampaikan mesej bahawa kegilaan pada ceramah politik menyebabkan fikiran terbenam di bawah perasaan, hingga sesiapa pun boleh menjadi bodoh. Ketika Mat Isa ditahan  dan dibawa ke balai polis kerana hadir di majlis ceramah tanpa permit itu, isterinya sakit kuat dan meninggal dunia.

Di luar cerpen itu, kita dapati politikus berasa lega jika di sekitarnya ada sejumlah peminat tegar ceramah politiknya. Peminat tegar yang menyamai watak Mat Isa tidak memerlukan kefahaman. Mereka menyukai pidato kerana gaya pidato itu sendiri, dan juga populariti pemidato.

Terdapat pemidato politik yang seolah-olah ‘tidak berkata apa-apa’ selain berjenaka dan memaki hamun, namun peminatnya kekal menyukainya.

Saya tidak bersama-sama Datuk Ramlah Adam menasihati pelajar yang terhasut. Itu gejala biasa sepanjang zaman. Manalah tahu, lapan tahun lagi pemuda yang terhasut bertukar haluan, dan kemudian jadi menteri.

 
*Dato Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award 2007 dan penerima Anugerah Penyair Gapena 2013. Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.