ISU perpecahan bukanlah baru. Pesanan dalam agama agar kita jangan berpecah-belah, menunjukkan perpecahan merupakan satu masalah besar.  Al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 103, menegaskan hal ini.

Namun, orang Islam tetap berminat untuk berpecah, menyamai minat terhadap hal-hal lain yang dilarang oleh agama.

Kini sejumlah antara kita mulai berfikir panjang, kerana mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, menyebutkan golongan majoriti akan kalah kerana perpecahan. (Berita Harian, 15 Disember 2014). Analogi Tun Hamid menarik sekali, iaitu jika kita tidak menyukai nakhoda, jangan kita membakar kapal. Kapal masih elok, dan perlu dijagai sambil kita memikirkan siapakah yang layak menjadi nakhoda.

Sejak kita merdeka, negara kita diperintah dengan cara yang mantap. Kita berada di landasan yang betul, tetapi peluang untuk sejumlah orang yang tidak puas hati kian melebar. Sebenarnya, dalam politik dan ekonomi, orang tidak akan berasa puas. Telah diteorikan sejak dahulu bahawa kemahuan manusia tidak terhad.

Izinkan saya memilih contoh mudah. Bukankah pemimpin-pemimpin politik menghendaki kedudukan tertinggi? Jika benar, maka adalah perkara biasa mereka beraksi di pentas politik. Apa-apa saja akan dilakukan demi mencapai matlamat.

Di bawah pemimpin besar, berderetan pula tokoh-tokoh pembantu yang memikirkan jalan masing-masing. Dalam Umno, terdapat Datuk Seri Najib Razak diikuti sejumlah tokoh termasuk Khairy Jamaluddin. Dalam Pas terdapat Datuk Seri Hadi Awang diikuti tokoh lain termasuk Nasrudin Hassan Tantawi, demikian juga dalam PKR apabila Rafizi Ramli kian memaparkan kehebatannya, setelah Azmin Ali berjaya sampai ke seberang.

Impian tokoh pasti diikuti strategi. Dalam melaksanakan strategi, kita akan melihat tindakan-tindakan yang tidak disangka-sangka. Pada tahun 2013 misalnya, tiada sesiapa menyangka Tan Sri Khalid Ibrahim akan diketepikan oleh para pemimpin PKR.

Pertelingkahan dalam parti-parti politik berlaku dari masa ke masa, kerana tindakan yang tidak disangka-sangka itu.

Pesanan mantan Ketua Hakim Negara adalah berasas, kerana perpecahan dalam kalangan orang Melayu memungkinkan golongan majoriti dikuasai  minoriti. Malah golongan majoriti akan bersuara seperti golongan minoriti. Suara majoriti orang Melayu kurang berwibawa kerana masing-masing berada dalam kumpulan-kumpulan yang kecil.

Sekarang berlanjutan isu kalimah ALLAH dan isu pelaksanaan hukum hudud. Anwar Ibrahim dan Azmin Ali telah mengemukakan pandangan mereka, manakala sejumlah tokoh lain tidak menyetujuinya. Selaku rakyat biasa, kita tertanya-tanya, mengapakah persoalan itu berpanjangan? Akhirnya, kesimpulan yang mantap ialah orang politik memperbesar perkara demi mempertingkat pengaruh.

Bukan tiada jalan langsung untuk Pas dan Umno duduk bersama-sama,  berbicara tentang hal-hal yang mempunyai titik persamaan. PKR pun demikian. Namun, masing-masing mencari kaedah untuk saling menjatuhkan. Orang Melayu berpecah kerana keengganan pemimpin mereka berunding secara mesra dan berbudaya.

Ketiadaan kemesraan satu hal, manakala penyebaran kebencian ialah hal yang lebih dahsyat. Penyebaran kebencian menyebabkan rusuhan, yang selalunya bermula dengan demonstrasi. Untuk memahami hal ini, elok kita bertanya: Mengapakah dalam perlawanan bola sepak berlaku rusuhan? Jawapannya tentulah akibat emosi tak terkawal (uncontrollable emotion). Jadi, jika perhimpunan bola sepak pun membangkitkan emosi yang tinggi, apatah lagi dalam perhimpunan politik yang kaya dengan pidato dan aneka kempen.

Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pada dasarnya diperlukan di Malaysia kerana kebimbangan kita pada rusuhan akibat pemanasan emosi. Bukan Malaysia saja memiliki akta sedemikian. Ini  menunjukkan akta-akta itu bukannya ketinggalan zaman. Masalah yang timbul ialah penggunaannya. Akta itu jangan digunakan untuk maksud politik kepartian. Hal inilah yang perlu dikawal, bukannya penghapusan akta yang juga ada di Singapura.

Orang Melayu perlu memahami kedudukan mereka dalam negara ini. Kekurangan pemahaman membawa makna kekurangan kekuatan.

Malaysia ialah negara untuk kesemua rakyatnya, namun asas sebenar penubuhannya bukanlah dalam zaman moden ini. Dulu, Tuah yang setia menjaga rajanya dengan gaya Melayu. Demikian juga Jebat yang derhaka. Kisah itu pun memuatkan ilmu.


Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007). Beliau mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.