DI mana-mana kita mendengar pidato. Siapakah pemidato, dan adakah pidato mempengaruhi kehidupan kita?

Seseorang yang bersedia dengan tiga kemahiran asas, akan menguasai bidang pidato. Kemahiran pertama, gaya bahasa badan. Kemahiran kedua, bahasa pertuturan. Kemahiran ketiga ada ilmu dan maklumat yang cukup.

Gaya bahasa badan berkaitan dengan tubuh badan. Pemidato hendaklah tahu mengangkat tangan ke arah yang berkaitan dengan makna disampaikan.

Dia juga hendaklah selesa memuncungkan mulut pada masa menyebutkan kata-kata yang memuatkan huruf ‘u’ (misalnya rules, buku, bulu, dan banyak lagi), dan tahu membeliakkan mata ketika mengutuk musuh, serta beberapa gerakan badan lain, yang dipadankan dengan kandungan pidato. Tegasnya, setiap yang disebutkan perlu ditegaskan dengan gerakan badan.

Kemahiran pertuturan memerlukan nada dan intonasi tepat. Selalunya pidato yang bagus dimulakan dengan kata-kata yang sengaja diperlahankan, kemudian suara menjadi kian jelas.

Pidato yang dimulakan dengan penyebutan ‘salam’ secara nyaring ialah pidato masak karbat. Kita dapati, penceramah-penceramah masak karbat melaungkan semua perkara dengan nada tinggi. Penceramah yang memahami ilmu retorika hanya akan memilih nada tinggi ketika kandungan syarahan membawa makna berat.  

Kemahiran ilmu dan maklumat mampu bertahan lama. Jika pemidato bermaksud menyampaikan mesej tentang perubahan masyarakat dan transformasi, ilmu dan maklumat amat penting. Ilmu dan maklumat yang banyak akan menyebabkan pemidato dapat menyatakan sesuatu dengan tepat dan berwibawa.

Sebagai analogi, jika kekurangan maklumat, musuh yang mencuri lembu mungkin dikatakan mencuri kerbau! Kesilapan maklumat akan menyebabkan pemidato dipersoalkan, kerana lembu tidak sama dengan kerbau!

Di alam Melayu, pemidato terhebat ialah Presiden Sukarno. Beliau muncul pada zaman pertentangan hebat antara rakyat terjajah dengan pihak penjajah.

Kandungan pidatonya tebal dengan maklumat. Sukarno berupaya menggabungkan gaya bahasa badan dan gaya bahasa pertuturan dengan maklumat yang diyakini oleh peminat dan pengikutnya.

Bagaimanapun, beliau gagal membawa Indonesia ke tahap yang dimaksudkan oleh pidatonya. Untuk maju, Indonesia memerlukan pemimpin jenis lain.

Ahli politik yang mahir berpidato tidak semestinya berjaya membawa pembangunan dan kemajuan. Di Indonesia, H.J Habibie juga bagus berpidato, tetapi berjaya mencapai tahap selaku presiden selama satu tahun lima bulan (21 Mei 1998 – 20 Oktober 1999).  

Pada tahap tertentu, pidato memang membantu dalam menentukan kemajuan tokoh dan parti politik. Tiada parti politik yang ketiadaan ahli pidato.

Pada masa lepas, pemidato dalam Umno ialah Tun Dr Mahathir, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka berempat berpadu tenaga menghadapi Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan beberapa orang lagi di sebelah pembangkang.

Pada akhir dekad 1990-an, Anwar tidak lagi bersama Umno, dan kemudian beliau berada di sebelah Mohamad Sabu dan Hadi Awang menentang kerajaan.

Pidato Anwar menjadi kian mantap dan terlatih apabila berada di luar kerajaan. Ini membuktikan, dalam sesetengah keadaan, pemidato menjadi hebat jika berada di sebelah pembangkang.

Kita tentulah tidak menafikan Datuk Seri Najib Razak juga mempunyai keahlian dalam berpidato. Umno akan kembali mantap jika gabungan Najib dengan tokoh Umno lain diperkukuh untuk melancarkan siri pidato. Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno hebat berpidato, selari dengan Rafizi Ramli dari PKR. Mereka hendaklah diberi peluang untuk memaparkan kebolehan masing-masing.

Kemahiran berpidato akan dapat dicapai oleh sesiapa yang berbakat, berminat dan rajin berlatih. Jika golongan anak muda mahu mahir ke peringkat nasional, jadikanlah tokoh dunia, bersama tokoh Malaysia, sebagai contoh (idola).

Pelajarilah kaedah pidato Winston Churchill yang dianggap the great orator itu. Beliau ialah Perdana Menteri Britain dua kali, iaitu 1940–1945, dan 1951–1955. Beliau terkenal kerana memberi tafsiran orang fanatik, iaitu orang yang tidak berupaya menukar fikirannya, dan tidak mahu menukarkan perkara (can’t change his mind and won’t change the subject).