DALAM kalangan kita, ada beberapa banyak cabang pemikiran. Dalam politik arus perdana, sekurang-kurangnya ada empat aliran pemikiran. Aliran pertama berlandaskan nasionalisme, kedua yang berlandaskan Islam, ketiga yang berlandaskan sosialisme dan keempat ialah aliran serba mungkin. Perkara ini, jika dikupas, akan menghasilkan wacana yang cukup panjang.

Aliran nasionalisme dalam negara kita bukan sekata. Antara kita, ada yang memikirkan tumpuan kepada satu-satu kaum tertentu adalah nasionalisme. Tafsiran nasionalisme yang lebih dikehendaki ialah rasa cinta kesemua kaum kepada Malaysia. Secara umum rakyat di negara ini menganggap Umno, MCA dan MIC ialah parti-parti yang memperjuangkan nasionalisme, dengan pemberatan yang berbeza-beza.

Dari segi parti politik, kita kenali Pas selaku pejuang aliran Islam. Pas dalam Pakatan Rakyat, iaitu pakatan yang mendukung cabang-cabang pemikiran yang berbeza-beza. DAP adalah parti sosialis dengan cara gayanya. Parti itu tidak dapat menarik minat kaum di Malaysia secara saksama. Parti sosialis yang didominasikan oleh satu-satu kaum tidak dapat kita anggap parti sosialis tulen.

PKR ialah parti serba mungkin. Penubuhan PKR didorong rasa simpati terhadap seseorang. Agak lama dahulu, penubuhan Parti Semangat 46 pun demikian juga.

Beberapa tahun dahulu, rakyat ternanti-nanti tarikh 16 September untuk pertukaran pucuk pemerintahan. Baru-baru ini kita temukan peristiwa pemimpin parti berusaha menukarkan menteri besar yang sedang melaksanakan tugas. Semua yang di atas adalah lain daripada yang lain.

Itu berlaku bertolak daripada corak pemikiran yang serba mungkin. Pengaruh PKR dapat dikatakan besar membolehkan berlakunya peristiwa di atas. Pemikiran tersendiri oleh tokoh kerap menampakkan tokoh itu terasing daripada partinya.

Inilah punca yang menjadikan arah parti amat bercabang-cabang. Dalam Umno, kita temukan Datuk Saifuddin Abdullah yang sesuai dengan reformasi. Cara Saifuddin berfikir dapat dikatakan jauh daripada cara tokoh-tokoh Umno lain umumnya. Saifuddin merestui malah memperjuangkan politik baru. Dalam Pas, Timbalan Presidennya, Mohammad Sabu juga memaparkan kelainan.

Sebenarnya, Mohammad Sabu dapat digandingkan dengan Hishamuddin Rais aktivis media alternatif. Hishamuddin ialah pemimpin pelajar yang muncul dalam dekad 1970-an, bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bukanlah maksud saya menyamakan keseluruhan pemikiran Mohamad Sabu dengan pemikiran Hishamuddin Rais. Kita tahu, jika aliran pemikiran Hishamuddin diikuti secara sepenuhnya oleh Mohammad Sabu, tidak mungkin beliau akan menjadi

Timbalan Presiden Pas. Pemikiran Hishamuddin Rais pula, bukanlah sama dengan pemikiran keseluruhan orang kuat PKR, walaupun beliau mempunyai tempat dalam akhbar parti tersebut.

Dalam PKR, kita temukan Nurul Izzah, anak muda yang berani menyatakan kelainan. Beliau antara lain, telah memberikan tahniah kepada penganjur I Want to Touch A Dog. (Sinar Harian, 20 Oktober 2014). Sebelum itu pun beberapa kali kita temukan suara peribadinya yang tidak terkejar oleh ayah dan ibunya. Hal ini dapat dibandingkan dengan suara Chegubard, anak muda yang pernah dianggap tokoh penting PKR.

Chegubard tidak sealiran dengan Azmin Ali, malah mengikut laporan yang yang agak terkini, beliau mengkritik cara gaya Azmin berusaha hingga berjaya menjadi Menteri Besar Selangor. (New Straits Times, 24 Oktober 2014).

Bagi tokoh dalam kem Azmin pula, kehebatan YAB itu berpolitik ialah hasil latihan Anwar Ibrahim. Namun, walaupun Anwar ialah guru Azmin, adalah kelaziman politik, Anwar sendiri tidak terkejar kehebatannya. Langkah Kajang yang sering dikaitkan dengan Rafizi Ramli, menjadi langkah tuah bagi YAB Azmin.

Di luar lingkungan politik, kita temukan pemikiran-pemikiran yang antaranya amat mengejutkan. Seperti yang telah disentuh, polemik tentang program I Want to Touch A Dog bukanlah hal terpencil. Ada yang mengatakan program itu tidak bertentangan dengan hadis, seperti yang dikemukakan oleh Dr Fathul Bari. Seorang pelacur masuk syurga kerana memberikan air kepada anjing yang kehausan. (Sinar Harian, 20 Oktober 2014). Ada pula yang menganggap program itu ialah cara halus orang luar mahu menjatuhkan Islam. Pemikiran di Malaysia memang pelbagai.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima S.E.A Write Award 2007 dan penerima Anugerah Penyair Gapena 2013. Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.