KETIKA pihak Pakatan Rakyat, terutama PKR, memutuskan untuk bertanding semula di Kajang, rata-rata rakyat biasa tidak faham. Mereka yang mengaku faham pun, sebenarnya tidak faham.

Mereka hanya tahu “Langkah Kajang” ialah strategi yang dikemukakan oleh Rafizi Ramli, dan disetujui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Strategi itu, kata mereka, akan membolehkan Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor. Ketika itu tidak semena-mena muncul kajian Umcedel. Menurut kajian itu, orang Kajang mahukan Anwar menjadi menteri besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar berulang kali dikatakan bagus oleh pemimpin PKR. Orang PKR seluruh negara ada yang menyatakan Selangor bergerak maju di bawah Khalid.

Di samping itu ada juga orang Selangor sendiri yang merasakan Selangor biasa-biasa saja. Itu ialah persepsi.

Dalam keadaan begini, mengapakah Menteri Besar perlu diganti? Adakah pemimpin PKR sudah sedar bahawa Selangor biasa-biasa saja? Mengapakah kesedaran lambat timbul? Mengapakah Anwar atau isterinya tidak bertanding di Kajang dalam pilihan raya umum 2013?

Khalid ada menyatakan jawatan Menteri Besar Selangor hanya satu, manakala tokoh PKR yang menghendakinya ada beberapa. Konflik timbul kerana perkara itu, bukan kerana perkara lain. Kata-kata Khalid ini boleh kita terima dalam kaitan dengan politik mengejar kuasa.

Namun, bukankah Pakatan Rakyat selalu menyuarakan hasrat mereka untuk berbakti kepada rakyat? Mengapakah tidak diberikan ruang kepada Khalid untuk terus berbakti sampai pada tahap terpuji?

Saya fikir, tinjauan elok dibuat oleh Umcedel di bawah ketua baharu tentang kepuasan rakyat berada di bawah pemerintahan parti.

Soalan yang perlu dikemukakan ialah: Adakah rakyat Perlis dan Johor berpuas hati berada di bawah Barisan Nasional, dan adakah rakyat Selangor dan Pulau Pinang berasa puas berada di bawah Pakatan Rakyat? Kemudian kajilah negeri lain juga.

Kajian perlu dibuat dalam suasana tenang, bukan dalam kepedasan cili ‘lawan tetap lawan’ atau kemanisan sirap ‘janji ditepati’. Memang sukar untuk melaksanakan kerja ini secara objektif, tetapi Umcedel di bawah ketua yang baik pasti dapat mengharungi kesukaran itu.

Rakyat daripada segala fahaman politik perlu faham, bahawa ciri utama politik ialah anjakan, atau perubahan. Beberapa tahun yang lepas, PKR menyayangi Zaid Ibrahim dan Khalid, kemudian Zaid berundur, manakala Khalid masih bergerak aktif menolong memperkuat kedudukan Anwar.

Dengan menyusun nama anak-anak Ibrahim, penyair yang berwibawa pasti dapat menghasilkan puisi epifora.

Apabila Anwar gagal menjadi calon untuk mengambil alih tempat YB Kajang, orang kepercayaan untuk menggantikannya ialah tidak lain daripada Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Rafizi Ramli tentulah menyokong pemilihan Azizah, kerana jika wanita menjadi Menteri Besar Selangor, besarlah kemungkinan beliau akan cepat naik ke tempat itu. Sebagai ahli strategi, Rafizi berupaya melihat segala peluang, walaupun pintu peluang tidak selalu terbuka.

Kenyataan di atas ialah tanggapan saya apabila meninjau kebagusan Rafizi dalam hal strategi. Beliau ialah ialah ahli politik yang paling tangkas melihat kilatan ikan di air.

Tanggapan politik secara keseluruhan ialah Khalid telah berjasa, itulah sebabnya Selangor masih di tangan Pakatan Rakyat. Adatnya, setelah tempat itu elok, orang lain akan berebut-rebut naik.

Jika tempat itu sentiasa merosot, ketua yang ada pun akan lari. Hal ini dapat kita lihat pada Parti Rakyat Malaysia. Bukankah Dr Syed Husin Ali dan Hassan Karim telah meninggalkan parti yang tidak berupaya naik?

Anak-anak muda elok tahu, bahawa Hassan Karim ialah tokoh yang menghidupkan semula PRM setelah Syed Husin dan beberapa orang kawannya bergabung dengan PKR.

Anak-anak muda juga elok dijelaskan bahawa Syed Husin berjaya menjadi senator setelah berada dalam PKR, sebagaimana Anwar berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah berada dalam Umno. Belajarlah memahami anjakan begini sebelum berazam menjadi politikus yang berjasa.


* Datuk Rahman Shaari ialah mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Beliau menerima Sea Write Awards dari Kerajaan Thailand pada tahun 2007.