DALAM satu majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985), Ustaz Abu Bakar Hamzah ada  berkata “Pengetahuan orang tentang diri saya, melebihi pengetahuan saya sendiri.” Kata-kata itu bernilai jenaka, dan dalam jenaka ada kebenaran. Kebenaran itu akan menonjol jika seseorang berfikir panjang.

Abu Bakar tentulah tahu tentang dirinya, tetapi orang lain lebih tahu. Sekarang kita bawa kenyataan itu untuk dikenakan kepada orang lain, khususnya tokoh-tokoh dalam masyarakat.

Setiap tokoh mungkin berasakan dirinya berada pada tahap tertentu, namun ukuran orang lain tidak demikian. Tidak sedikit jumlah orang yang merasakan dirinya cemerlang, tetapi orang lain melihatnya sebagai manusia yang penuh kelemahan, dan sebaliknya ada pula berasakan dirinya serba kekurangan, manakala orang lain melihatnya sebagai tokoh hebat.

Sanjungan orang terhadap tokoh politik bergantung pada keupayaannya membina persepsi positif. Pada masa tokoh A berusaha membina kehebatan, pihak musuh atau rivalnya berusaha untuk menggerhanakannya, malah melemparkan lumpur kecemaran kepadanya. 

Ertinya sentiasa ada pihak yang berusaha membina persepsi negatif terhadap si tokoh. Pihak musuh mungkin berada dalam parti berlawanan, tetapi mungkin juga berada dalam parti yang sama.

Bicara ini bertujuan menyarankan diskusi tentang persepsi. Menurut Teori Anjakan Makna, pujian dan kecaman boleh bertukar tempat. Perhatikan sederet ahli politik yang beralih rasa dan bertukar parti.

Apabila seseorang meninggalkan parti A dan memasuki parti B, namanya yang harum dalam kalangan ahli-ahli parti A segera bertukar menjadi busuk.

Adakah munasabah, orang baik tiba-tiba menjadi buruk, jahat, malah dikatakan tidak beriman dan pelbagai label lagi, hanya kerana bertukar parti politik? Ternyata, ahli-ahli politik sentiasa berenang di dalam kolam persepsi.

Di luar bidang politik, seorang tokoh yang berada dalam barisan pemikir Malaysia, pernah ditohmah sebagai pembicara buku yang tidak membaca buku yang dikupasnya. “Dia hanya membaca blurb, tidak membaca teks,” kata seorang kawannya. Kata-kata itu mungkin gurauan, tetapi sesetengah orang percaya.   

Saya kemukakan persepsi negatif orang terhadap tokoh pemikir itu, kerana contoh tersebut mudah difahami. Tokoh yang begitu  tekun telah dianggap pengulas buku yang tidak membaca buku. Jika gurauan pun boleh membawa persepsi begitu terhadap seseorang, apatah lagi usaha bersungguh-sungguh oleh pihak musuh.  

Dalam sesetengah hal, kita dapat menanggapi bahawa tokoh-tokoh politik, baik di pihak kerajaan, mahupun di pihak pembangkang, sering menerima bahana daripada pembinaan persepsi negatif oleh pihak lawan masing-masing.

Mereka yang berada dalam barisan parti politik itu sendiri telah lama faham, tetapi pengikut yang besar jumlahnya sanggup berteriak atas jalan raya, atau di tengah-tengah kota, hanya kerana mempercayai persepsi.

Kisah-kisah boleh dikarang, dan apabila dipercayai ramai, maka timbullah persepsi. Kita tahu terdapat kisah yang dikarang tentang Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Ibrahim Ali, Khairy Jamaluddin, Rafizi Ramli dan berpuluh-puluh lagi.

Saya tidak bermaksud mengatakan gambaran tentang mereka semuanya salah, tetapi mahu mengatakan bahawa dalam sesetengah hal, mereka diburukkan oleh pihak lawan melalui pembinaan persepsi negatif.

Apa-apa yang betul-betul berlaku di sekitar tokoh politik, memanglah wajar dikemukakan kepada rakyat, kerana rakyat perlu tahu tentang pemimpin atau calon pemimpin mereka. Namun, pembinaan persepsi negatif yang berasaskan fitnah, akan menimbulkan bencana.

Syukur, Malaysia memiliki sistem dan perlaksanaan undang-undang yang baik dan berwibawa, walaupun ada juga usaha membina persepsi negatif terhadapnya.

Pernyataan bahawa institusi undang-undang dipengaruhi pihak luar misalnya, ialah pelaksanaan kebebasan bersuara yang melampau. Dalam hal ini, Azman Husin melalui cerpennya Tarikh Melayu ada menyebutkan kebebasan bersuara akan menuju ke arah anarki. (Mingguan Malaysia, 20 April 2014).

Pembinaan persepsi tidak akan berhenti selagi ada pihak lawan dalam satu-satu arena. Dalam arena politik, orang tidak pernah bosan membina persepsi, iaitu gambaran baik untuk diri sendiri, dan gambaran buruk untuk pihak lawan.