KAWAN saya ialah penyokong kuat parti politik. Dia mahu memastikan partinya menang. Bagi saya, dia sama dengan penyokong pasukan bola sepak. Saya tidak bersetuju apabila dia mengatakan dirinya banyak berbakti kepada masyarakat.

Dengan kata lain, saya tidak dapat menerima bahawa penyokong parti politik ialah sukarelawan masyarakat.

Saya yakin, agak banyak kegiatan kawan saya itu yang tidak dibayar. Setiap kali ada pilihan raya kecil kebelakangan ini, dia secara sukarela membantu parti yang disokongnya. Dia ialah sukarelawan parti, bukan sukarelawan masyarakat.

Apabila seseorang menjadi penyokong kuat sesuatu parti politik, dia akan mengatakan parti lawan ialah ‘penindas’, ‘penipu’, ‘pemutar belit’, ‘penyangak’ malah ada lagi gelaran yang lebih buruk. Pemimpin parti yang disokongnya akan dipuji melambung dengan gelaran ‘pejuang’, ‘pembela rakyat’, dan beberapa gelaran lain yang sedap didengari.

Peristiwa lucu sering terjadi, iaitu apabila tokoh parti A berpindah ke parti B. Oleh sebab berpindah, dengan serta-merta dia disanjung oleh parti B. Dia digelar ‘pejuang’ parti B, manakala pihak parti A menggelar dia ‘pembelot’. Satu-satu ilmu yang saya dapat daripada Rafizi Ramli ialah ‘bertukar kedudukan bertukar fungsi.’ Ini bermakna, apabila dia menjadi ‘pembelot’ parti A, maka dia akan menjadi ‘pejuang’ parti B. Rafizi dan Khairy Jamaluddin amat memahami perkara ini.

Pembelot yang betul-betul pembelot ialah orang yang merugikan  bangsa dan negara. Pejuang yang betul-betul pejuang pula ialah orang yang berusaha memajukan bangsa dan negara. Mereka tidak memikirkan keburukan parti lawan, sebaliknya memikirkan bakti yang dapat dihulurkan kepada manusia di dalam negaranya.

Jika seseorang secara diam-diam berusaha mendamaikan Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, misalnya, dapatlah kita katakan dia pejuang tulen. Hubungan baik tokoh-tokoh akan menyebabkan rakyat lega. Beberapa teman saya mengatakan usaha ini adalah usaha yang tertampan kepada tembok kemustahilan. Dia lupa akan pesanan seorang ahli falsafah, ‘hanya yang mustahil saja yang mustahil’. Anwar yang tidak menyenangi kerajaan dalam dekad 1970-an, ialah tokoh Umno dalam dekad 1980-an dan 1990-an. Itu  ialah bukti bahawa ‘hanya yang mustahil saja yang mustahil’.  

Pada masa ini, krisis ekonomi berlaku. Harga barang meningkat.  Memang baik sesiapa yang berusaha menyelesaikannya, tetapi tidaklah baik kumpulan yang hanya mencari kesalahan. Usaha untuk membahagiakan rakyat hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan bersama-sama pembangkang. Inilah yang dimaksudkan oleh Kassim Ahmad bahawa ‘kedua-dua belah tangan hendaklah berfungsi’. Ketika kita memandu kereta, stereng dipegang dengan kedua-dua belah tangan.  Dalam usaha membantu rakyat, kerajaan ialah tangan kanan, manakala pembangkang ialah tangan kiri. Kedua-duanya berjasa.

Ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan penubuhan kerajaan perpaduan, perkara inilah yang tergambar jelas. Konflik akan berkurangan, tumpuan kepada kemajuan bertambahan, dan rakyat akan lebih berbahagia.

Orang yang mahu berjasa tidak memikirkan kaedah untuk bergaduh.  Dalam politik, pergaduhan mudah dimunculkan. Perhatikan beberapa bulan yang lalu, bukankah isu bendera dan lagu kebangsaan pun boleh menyebabkan konflik? Peristiwa dakwat kekal amat melucukan. Perhatikan: Tiada dakwat kekal dicari dakwat kekal, ada dakwat kekal  dihentam dakwat kekal.

Bagi saya itu lucu, bagi orang lain, entahlah. Dalam hal dakwat kekal, kita seelok-eloknya berfikir untuk membaiki pengurusannya, atau membatalkan penggunaannya.

Jangan  berfikir tentang cara menimbulkan dan melangsungkan krisis.  

Isu kalimah ALLAH pun demikian. Kita telah lama berada dalam suasana toleransi agama. Menurut teori, aksi akan menghasilkan reaksi. Mengapakah isu kalimah ALLAH muncul di tengah tengah masyarakat  Malaysia yang harmonis? Dalam hal ini, kita boleh terus berada dalam keadaan damai jika hal-hal agama dilaksanakan secara yang sedia ada, jangan timbulkan masalah secara tidak semena-mena.

Kerajaan dan pembangkang yang baik bukan saja berpidato tentang  bakti kepada rakyat, tetapi yang lebih penting ialah melaksanakannya. Jika pembangkang ikhlas mahu berbakti kepada rakyat, mereka hendaklah membantu kerajaan dalam perkara yang diyakini baik. Slogan ‘lawan tetap lawan’ itu hanyalah berkenaan yang disahkan perkara buruk saja.