POLIGAMI (daripada huraian antropologi) terdiri daripada tiga jenis, iaitu poligini (beristeri lebih daripada seorang), poliandri (bersuami lebih daripada seorang) dan group marriage (kumpulan A berkahwin dengan kumpulan B, dan boleh bertukar-tukar pasangan).

Istilah untuk seorang suami hanya memiliki seorang isteri ialah monogami. P Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang mengatakan perkahwinan begini adalah banyak, manakala jenis poligini (suami beristeri dua atau tiga atau empat) adalah sikit-sikit, jarang-jarang dan kadang-kadang.

P Ramlee tidak berbicara tentang poliandri dan group marriage, kerana itu tidak berada dalam budaya kita.

Sekarang kita berikan tumpuan terhadap mono dan poli, tanpa mengaitkannya dengan hal perkahwinan.

Dalam politik kita, terdapat seorang tokoh yang monomahu. Istilah daripada Teori Anjakan Makna  ini membawa erti impian yang hanya satu. Impian watak ini ialah mahu menjadi perdana menteri.

Seorang mantan  pegawai Mara (Mohd Nor Abdullah) memberikan pandangan bahawa impian itu tidak salah. Hujahnya, “Bukankah semasa kita kecil, kita pernah ditanya, kita mahu menjadi apa? Kita pun jawab, ada yang mahu menjadi cikgu, askar dan ada juga yang mahu
jadi konduktor bas. Jadi, apakah salahnya jika tokoh itu mahu menjadi perdana menteri?”

Saya bersetuju. Saya katakan kepadanya saya juga ada impian, dan impian itu Alhamdulillah tercapai.

Tokoh yang dimaksudkan ini pernah menyebutkan impian kedua, iaitu mahu menjadi pensyarah universiti, tetapi mungkin universiti tidak menerimanya. Namun, ada kemungkinan lain, iaitu beliau tidak mempunyai impian yang kedua itu. Penyebutan impian kedua itu hanyalah taktik.

Dalam usaha mencapai impian, kaedah adalah bersifat poli, iaitu politaktik.

Monogini berpasangan satu, dan monomahu berkemahuan satu.  Sama ada beristeri satu, bersuami satu atau berkemahuan satu, taktiknya banyak. Istilah politaktik ini perlu difahami semua, bukan hanya oleh ahli politik.

Misalnya, orang yang lulus universiti janganlah hanya bersandar pada pengisian borang untuk memperoleh pekerjaan. Kerap berlaku pengisian borang ialah usaha yang boring.

Pencarian pekerjaan sebenarnya politaktik. Taktik-taktiknya ialah berkawan dengan pekerja di syarikat atau kementerian tertentu untuk mendapat informasi, berkunjung ke rumah ketua jabatan yang akrab dengan bapa sendiri, membantu orang secara sukarela hingga orang tahu tentang kemahiran  kita, dan banyak lagi.

Saya tidak mengatakan pengisian borang akan boring selama-lama. Saya bermaksud mencadangkan agar kita semua mencari peluang melalui sejumlah taktik, jangan hanya satu, terutama jika yang satu itu klise.

Tokoh yang mahu menjadi perdana menteri itu kaya dengan taktik. Beliau menguasai politaktik. Beliau meminta isterinya meletak jawatan dalam tahun 2008, dan enam tahun kemudian beliau  meminta wakil rakyat lain meletak jawatan.

Apabila pilihan raya kecil diadakan, beliau melaksanakan taktik kedua, iaitu memaparkan kebolehan pidatonya. Kedua-dua pilihan raya kecil itu dimenangi oleh pihaknya.

Itu ialah taktik yang berulang. Rakyat yang kagum dengan pidatonya tidak berasakan bahawa semua itu ialah aktiviti buang masa.  Sebahagian rakyat gemar berada dalam ayunan buaian pidatonya.

Taktik lain ialah beliau mengakrabkan diri dengan golongan Bersih.

Jauh sebelum itu beliau mengakrabkan Pas dengan DAP, satu usaha yang sebenarnya rumit.

Lebih jauh dari itu, beliau berjaya menghimpunkan pelajar dalam jumlah yang amat besar untuk demonstrasi atas tema kemiskinan rakyat. Beliau juga menjadi pemimpin pertubuhan NGO, dan kemudian berjaya beralih ke tempat kedua dalam hierarki kepimpinan negara.

Segala yang dilaksanakan tokoh ini ialah aplikasi politaktik.   Adakah kita berupaya melaksanakan taktik-taktik yang banyak itu?

Modal utama tokoh yang sedang kita bincangkan ini ialah kemahiran pidato.

Kemahiran pidato terletak pada stail dan bahasa badan. Perhatikan beliau beraksi. Jika tangan mahu diangkat, angkat betul-betul, jika mata mahu dijegil, jegil sampai terbeliak, jika mulut hendak dimuncung, muncunglah seinci.

Suara hendaklah diterbitkan mengikut intonasi, jangan diterbitkan seperti bunyi kumbang di dalam botol, berdengung entah apa.

Para rival watak ini perlu mempelajari politaktik. Memang kita sedar, ada senjata lain bagi pihak rival, maka itulah sebabnya beliau ini gagal menjadi perdana menteri.