KERAJAAN melalui Kementerian Pendidikan akan melaksanakan dasar Memartabartkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar ini amat baik untuk kita rakyat Malaysia, terutama dalam hal menentukan kecemerlangan masa depan. Kita perlu membicarakan strategi bagi menjayakannya.

Untuk mencapai hasrat ini, ada beberapa perkara yang patut kita fikirkan. Dalam bicara ringkas ini saya akan memberikan tumpuan terhadap bahasa Melayu, manakala bahasa Inggeris akan saya sentuh sepintas lalu sahaja.

Dalam pengajaran bahasa Melayu, Prof Datuk Isahak Haron sering menekankan bahawa pemilihan bahan amat penting. Bahan yang menarik akan menyebabkan minat pelajar meningkat. Bahan itu juga akan menyebabkan pelajar memperoleh pelbagai ilmu dan maklumat tambahan. Misalnya, pelajar elok membaca makalah tentang keselamatan jalan raya, kesihatan, masalah perniagaan, ancaman haiwan yang berbahaya dan banyak lagi. Menurut Isahak, bahan yang pelbagai itu boleh digunakan untuk mengajarkan pemahaman, penulisan karangan, tatabahasa, surat kiriman, dan beberapa segi kebahasaan yang lain. Karangan pula berjenis-jenis, misalnya karangan deskriptif, informatif dan kreatif.

Prof Abdullah Hassan memberikan pandangan bahawa dalam pengajaran tatabahasa, pelajar jangan didera dengan gesaan memahami konsep-konsep. Pengajaran tatabahasa penting, tetapi guru hendaklah berhati-hati agar murid tidak berasa bosan disebabkan oleh kaedah yang kering. Satu hal lagi, Abdullah mengatakan istilah Sifat Kata hendaklah dikembalikan untuk pemerian tatabahasa. Pada masa lepas Sifat Kata diajarkan bersama-sama Sifat Nama, tetapi sekarang istilah Adjektif digunakan untuk menyatakan kedua-dua konsep itu.  

Bagi Abdullah, penggunaan istilah Adjektif tidak wajar, kerana istilah itu asing apabila dideretkan dengan Kata Nama, Kata Kerja dan Kata Sendi. Oleh itu, bagi Abdullah, istilah-istilah Sifat Nama dan Sifat Kata hendaklah digunakan kembali bagi menggantikan Adjektif.

Perkataan 'tinggi' misalnya, tergolong dalam Sifat Nama, dan juga dalam Sifat Kata. Perkataan ‘tinggi’ dalam ayat “Pokok itu tinggi” ialah Sifat Nama, tetapi dalam ayat “Burung itu terbang tinggi”, perkataan ‘tinggi’ masuk dalam golongan  Sifat Kata.

Bahan Sastera yang dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu hendaklah diajarkan secara kreatif. Kini setelah sudah mendekati 15 tahun usia Komsas, adakah pelajar dapat menikmati karya sastera dengan secukupnya? Kaedah kreatif dalam pengajaran sastera, termasuklah kaedah berdeklamasi, kaedah memahami perwatakan melalui nada dialog dalam cerpen dan novel, dan kaedah pengajaran bahan drama dengan memberatkan lakonan dalam kelas.

Memanglah diakui bahawa guru Bahasa Melayu telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Namun, untuk menjayakan agenda memarbatkan bahasa Melayu, segi-segi yang disebutkan di atas hendaklah diberi perhatian yang secukupnya.

Timbul soalan, mengapakah peningkatan martabat bahasa Melayu difikirkan bersekali dengan pengukuhan bahasa Inggeris? Jawapan untuk itu tidak lain daripada tuntutan realiti di Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mahir berbahasa Inggeris kerana tuntutan pekerjaan. Prof Abdullah mendapati bahasa Cina penting untuk bidang peniagaan, tetapi kita di Malaysia tidak mendorong semua pelajar mempelajari bahasa tersebut di sekolah kebangsaan.

Bahasa Inggeris juga penting bagi rakyat Malaysia, kerana sejumlah mereka akan menghadapi forum antarabangsa. Mereka akan yakin dan aktif di mana-mana di seluruh dunia apabila mereka mahir berbahasa Inggeris. Terdapat rakyat di beberapa negara yang dikatakan sentiasa berbangga dalam bahasa mereka sendiri, tetapi sesiapa yang pernah bersama-sama mereka dalam aneka program, akan mendapati bahawa rakyat Jepun, Thailand, Indonesia dan beberapa negara lain, dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris.

Pada tahap ini, tidak perlu lagi kita berhujah mengatakan terdapat negara yang tidak memberikan tumpuan terhadap bahasa Inggeris.

Elok kita ambil sikap bahawa  belajar itu baik.  Untuk menjadikan pelajar kita berbahasa Inggeris dengan sempurna, terdapat usaha pihak kementerian membawa masuk penutur jati bahasa Inggeris. Sebenarnya itu tidak perlu. Prof Abdullah pernah mengatakan, kita tidak perlu bergantung pada tunjuk ajar orang luar. Ertinya, guru Bahasa Inggeris tidak perlu didatangkan  dari Australia atau Amerika. Jika diberi kursus tambahan, guru Bahasa Inggeris yang sedia ada di negara kita dapat melaksanakan tugas mereka.