PENGURUSAN kemarahan (anger management) ialah satu cabang psikologi yang amat diperlukan oleh setiap anggota masyarakat. Pekerjaan di segala tempat (firma, ladang, kedai dan lain-lain) akan tergendala, dan hasil atau pendapatan merosot oleh sebab kemarahan.

Kemarahan yang berlebih-lebihan akan menyebabkan cakap terlalu kasar terlepas dari mulut, dan akibatnya kemarahan berbalas kemarahan, berterusan.

Dalam kalangan orang politik, rakyat biasa yang menyokong pembangkang tiba-tiba menggelar pemerintah sebagai penyamun, perompak dan pelbagai gelaran lagi, dan penyokong kerajaan pula menggelar pembangkang sebagai keanak-anakan, pemutar belit dan banyak lagi.

Gelaran-gelaran itu ialah hasil hasutan. Kita tahu, seperti yang diulang-ulang oleh seorang tokoh sosialis tegar, hasutan ada di mana-mana, dan tidak semestinya sama maksud dengan kandungan Akta Hasutan.

Kemarahan tahun 1974 telah menyebabkan berlakunya penangkapan sejumlah aktivis muda, dan kemudian aktivis-aktivis itu menjadi pemimpin beberapa parti politik. Ada antara mereka menjadi orang kuat kerajaan, dan dalam masa tertentu, mereka berhenti memikirkan strategi untuk menimbulkan kemarahan kepada kerajaan.

Kemarahan diuruskan semula agar memuncak apabila seorang pemimpin bertukar menjadi pembangkang. Sejumlah rakyat terikut-ikut, melaksanakan demonstrasi, kerana ‘tunjuk perasaan marah’ berupaya menjadikan mereka hidup aktif. Seorang sasterawan negara mengatakan, demonstrasi ialah kegiatan untuk melegakan perasaan malap dan malas kumpulan tertentu.

Psikologi kumpulan ialah psikologi yang boleh diagak. Pidato ditujukan kepada satu-satu kumpulan amat berkesan, kerana apabila tepukan bergemuruh, sejumlah besar hadirin akan terangsang untuk bertindak. Sesekali berlaku tindakan ganas, misalnya ada antara watak dalam kumpulan itu melompat ke atas bumbung kereta entah milik siapa, dan menghentak-hentakkan kaki ke bumbung kereta itu. Itu akan dianggap perbuatan atau tindakan biasa dalam keadaan marah. Dalam hal yang beginilah kemarahan perlu diuruskan.

Dalam media sosial, kita kerap menemukan maki-hamun oleh para peluah perasaan. Sesiapa saja termungkin untuk masuk ke barisan peluah perasaan, kerana sebelum itu mereka telah merelakan diri untuk berada di pihak tertentu dalam kumpulan parti politik.

Jika mereka sempat merenung suasana dan gejala politik secara cermat, mereka akan cepat mengetahui bahawa mereka ialah alat. Namun, seperti yang telah disentuh, mereka yang sedar pun mungkin akan rela menjadi alat. Mereka mahu menggunakan masa dan tenaga untuk bergiat bagi menghilangkan kebosanan.

Dalam bicara ini, saya ingin menyatakan konsep, dan konsep ini bolehlah dibahaskan.

Kemarahan ialah hujung lain bagi kesayangan. Kedua-duanya ialah perasaan. Oleh itu, tidak hairanlah orang yang menyayangi Perdana Menteri akan memarahi Ketua Pembangkang, dan sebaliknya. Hal ini boleh terjadi di mana-mana saja, asalkan hasutan diulang-ulang. Di negara kita, sejumlah pembangkang ialah orang kerajaan pada masa lalu, sama-sama berjuang berganding bahu, kemudian terpisah oleh peristiwa biasa dalam politik.

Kemarahan berlaku kerana kelompok manusia terlupa akan sifat rasa marah itu sendiri. Rasa marah sebenarnya muncul dalam diri seseorang apabila haknya dirampas atau dinafikan.

Makna hak itu luas. Misalnya, ketua mempunyai hak untuk memberikan arahan kepada anak buah. Jika arahan ketua tidak dipatuhi, ketua berasakan haknya sebagai ketua telah dinafikan. Ibu bapa memarahi anak, guru memarahi murid, dan lain-lain seumpamanya, adalah akibat keadaan demikian.

Marah menjadi memuncak, antara lain, dalam kes suami mendapati isterinya diambil orang, sama ada diambil sekejap atau diambil terus.

Jika rakyat bersimpati kepada pemimpin tertentu, perasaan simpatilah yang perlu dilayani, bukan marah. Namun, lantaran hadirnya hasutan, perasaan simpati tidak dapat dikenali lagi, lalu bertukar menjadi marah. Selalunya, pihak pembangkang lebih aktif membangkitkan rasa marah akibat simpati, berbanding dengan pihak kerajaan.

Bagi meredakan kemarahan, pihak yang berwajib eloklah mula memikirkan tindakan proaktif, misalnya menganjurkan bengkel pengurusan kemarahan.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya