TULISAN saya “Kajang tuan kajang berlipat” (Sinar Harian, 11 Mac 2014), secara tidak langsung dijawab oleh Budiman Mohd Zohdi dengan judul “Kajang saya mengkuang layu” (Utusan Malaysia, 13 Mac 2014).  Saya katakan jawapan itu sekadar secara tidak langsung, kerana Budiman tidak menyebutkan perkaitan antara “Kajang tuan kajang berlipat” dengan “Kajang saya mengkuang layu”.

Budiman dalam tulisan itu antara lain menyebutkan  permohonan maaf oleh Rafizi Ramli, kerana peletakan jawatan Chin Cheh tanpa alasan. Tindakan itu pasti merugikan masa dan wang untuk Pilihan Raya Kecil Dun Kajang. Baris “Kajang saya mengkuang layu”  memang  membawa maksud negatif.   

Walau sehebat mana pun retorik tentang perjuangan, politik sering dibaluti makna berlapis-lapis. Suara garang di pentas boleh ditanggapi sebagai tanda kehadiran unfulfilled wishes. Hal ini pasti dapat diterangkan dengan baik oleh Datuk Jaafar A Rahim yang menghasilkan buku Kritikan Psikoanalitik Klasik. Saya yakin, ada faedah besar jika kajian tentang tingkah laku political animals disandarkan pada ilmu psikoanalisis.  

Rafizi amat sedar tentang politik begini. Beliau terlebih dulu memohon maaf kepada pengundi Kajang kerana terpaksa mengundi dua kali. Dalam keadaan biasa, tanggungjawab mengundi hanya sekali dalam masa kira-kira lima tahun. Corak kejadian di Kajang menyamai corak di Permatang Pauh pada 2008. Pelakon drama politik di pihak PKR adalah sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail. Pada masa itu tiada permohonan kemaafan.

Siapakah ‘saya’ dalam “Kajang saya mengkuang layu”. Jawapan mudah ialah pengundi di Kajang. Mereka sudah ada wakil rakyat yang gagah, tetapi terpaksa mengundi lagi. Secara simboliknya, keadaan layu di Kajang adalah bersebabkan pengulangan pilihan raya yang tidak perlu.

Sekarang apakah yang sesuai difikirkan oleh pengundi di Kajang bagi membuat pilihan? Saya fikir, pilihlah calon yang tidak akan meletakkan jawatan dalam masa setahun. Itu ialah jawapan gurauan, tetapi harapnya mengandung anjakan.

Membuat pertimbangan teliti antara Datin Paduka Chew Mei Fun dengan Wan Azizah tidaklah terlalu mudah. Pertimbangkan Mei Fun yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sebelum itu beliau pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan Petaling Jaya Utara. Pengundi elok mengambil tahu tentang dedikasinya dalam melaksanakan tugas pada masa lepas.

Wan Azizah pula pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh berkali-kali. Beliau pernah meletak jawatan untuk memberi peluang kepada suaminya, Anwar. Kini, apabila Anwar tidak dapat bertanding, Wan Azizah dipilih untuk mengambil tempat itu. Pada masa lalu Anwar mengambil tempat Wan Azizah di Permatang Pauh. Mereka ialah suami isteri yang diizinkan rakyat untuk bertukar-tukar – satu yang aneh – tetapi politik ialah bidang serba kemungkinan. Mewakili perkara itu, saya cipta serangkap pantun:

Perah-perah baju dibasuh,
    Baju kemeja berlengan panjang;
Dulu kuserah Permatang Pauh,
    Kini kucuba mengambil Kajang.

Menilai kebaikan hati dan kecekapan seseorang tidaklah mudah.  Rakyat terpaksa percaya akan janji yang ditabur. Janji untuk menjamin kebersihan dan mengatasi kesesakan di Kajang boleh dibuat oleh sesiapa saja, tetapi nilai janji  hendaklah  ditimbangkan oleh rakyat. Selalunya, selepas pilihan raya berlangsung, wakil rakyat yang terpilih tidak terus berbakti. Apabila pilihan raya seterusnya akan diadakan, cepat-cepatlah pihak parti politik menyediakan manifesto. Oleh itu, jika Kajang dilihat ada masalah, alasan sebenarnya ialah kelambatan perkhidmatan cekap pada masa lalu.  Mengapakah tiada perancangan yang muluk-muluk untuk kemajuan Kajang sebelum ini?

Manifesto dan pidato akan ditanggapi para pengundi. Walau bagaimanapun, sejumlah pengundi telah pun membuat keputusan tegar, bahawa mereka sudah memilih seseorang atau sesuatu parti politik.  Alasan untuk itu mungkin kukuh mungkin tidak. Sejumlah pengundi  membuat keputusan berlandaskan muatan emosi dalam diri. Terdapat pula sejumlah pengundi yang masih tidak membuat keputusan, dan mereka ini digelar pengundi atas pagar. Pihak yang bertanding perlu mendekati golongan terakhir ini.