SAYA seperti sesiapa saja rakyat Malaysia, berasa terganggu oleh kehebohan agama di negara kita akhir-akhir ini. Walau bagaimanapun, semua kita berharap agar kehebohan ini hanyalah sementara.

Jika kita memikirkan peristiwa-peristiwa yang mewujudkan kehebohan, kita akan mendapati sebenarnya semua itu dapat dihindarkan. Dalam Islam, tiada paksaan untuk pemilihan agama. Ertinya, tiada sesiapa berhak memaksa seseorang agar menganut  agama Islam. Selain itu, Islam merestui hubungan baik antara agama.

Masalah yang timbul ialah apabila sesetengah pihak sengaja bermain api bagi tujuan tertentu. Sesetengah tujuan dapat kita fahami dengan mudah, manakala tujuan lain tersembunyi. Dalam hal ini, jalan mudah tidak diterima, kerana ada jalan berliku yang dijangka membawa kejayaan bagi sesetengah mereka. Demi mencapai tujuan tersembunyi, mereka tidak memilih jalan lurus.

Kita sedang memerhatikan kehebohan agama. Antaranya ialah peristiwa menjalarnya ajaran Syiah. Ada yang menyebut Syiah hanyalah mazhab kelima dalam Islam, iaitu tambahan kepada empat mazhab yang sering disebut. Keterbalikannya, Syiah dianggap terkeluar oleh pihak lain.

Di antara dua tanggapan tersebut, muncullah hujah-hujah panjang lebar, malah sejumlah buku ditulis, dan laris di pasaran.

Sasterawan SM Zakir beri pandangan dalam perbincangan kecil. Katanya, semua yang dibahaskan ini akan tiba pada penyelesaian jika setiap yang mengambil berat terhadap agamanya berbalik kepada ajaran asal. Setiap orang Islam di Malaysia tahu bersolat di rumah dan di surau.

Jadi masing-masing baliklah hampar sejadah dan bersolat dengan khusyuk, serta laksanakan segala yang wajib.

Pada kata-kata SM Zakir mungkin ada secebis sindiran.  Namun, jika kita mahu mencari kebenaran religius, kita tidak boleh menumpukan perhatian terhadap perbahasan bernada bengis.  Ketidaksetujuan terhadap pengaruh ajaran Syiah memang logik, namun kita perlu berusaha memahami punca hadirnya pengaruh itu terlebih dahulu.

Bagi sesiapa yang rajin membaca perkembangan Islam, kehadiran pengaruh Syiah adalah biasa. Kenyataan ini bukanlah untuk menyokong aliran Syiah di Malaysia, tetapi bagi menggalakkan pencarian kebenaran. Sejumlah rakyat Malaysia kagum pada pencapaian Ayatollah Khomeini, demikian jugalah umat Islam di mana-mana kagum kepada Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Tokoh-tokoh anti-Barat ini dilahirkan di Iran, walaupun ada yang mengatakan Sayyid Jamaluddin dilahirkan di Afghanistan. Perkara penting tentang tokoh-tokoh ini ialah kedua-duanya disenangi oleh orang Sunni dan Syiah.

SM Zakir mungkin orang kecil untuk dibawa ke persoalan begini.  Namun beliau amat tahu tentang subjek yang dibicarakan ini, dan beliau menyarankan agar persoalan fahaman di tahap teologi jangan  dibawa ke perbalahan. Adalah memadai kita tahu bahawa Jamaluddin al-Afghani ialah tokoh Islam yang hebat, jangan diperbahaskan tentang beliau sebagai orang Sunni atau Syiah. Beliau ialah guru kepada Syeikh Muhammad Abduh yang juga cukup hebat dalam perjuangan mempertahankan Islam.    

Makalah ini bermaksud mencadangkan agar umat Islam di Malaysia tidak mencari sengketa. Jalan ke arah konflik agama dapat dielakkan melalui dialog yang matang dan tidak berselindung. Serangan bertalu-talu terhadap pihak bertentangan akan melanjutkan kehebohan.

Di Malaysia, kehebohan yang satu lagi ialah perkara kalimah ALLAH yang bangun kembali setelah diam beberapa bulan. Kita perhatikan, bahawa dalam kalangan orang Islam sendiri, pendirian tentang hal ini adalah mengikut kumpulan. Orang Islam di luar Umno tidak begitu lantang bersuara tentang subjek ini. Selain itu, Datuk Seri Idris Haron beri pandangan bahawa isu kalimah ALLAH didalangi pembangkang.
 
Pada pengamatan beliau, isu ini dibangkitkan oleh pihak yang mahu berkuasa. (Berita Harian, 6 Januari 2014).  Tan Sri Muhammad Mohd Taib pula berpandangan; isu kalimah ALLAH ialah tanda Umno berlagak mahu menonjol  bahawa parti itu Islamik. (Suara Keadilan, 7 Januari 2014)

Kita dapati, kehebohan yang bersifat agama ini pun, politik juga. Idris dan Muhammad mewakili kumpulan-kumpulan.