JIKA kita mengikuti ceramah politik oleh seseorang tokoh parti, kita selalunya akan mendengar hujah tentang kebaikan parti sendiri, dan keburukan parti lawan. Telinga kita sentiasa bersedia untuk itu. Jika beberapa parti pembangkang bersepakat untuk menentang parti kerajaan, kita akan mendapati dasar parti sendiri akan dikorbankan demi ‘lawan tetap lawan’. Hal ini sedang dibuktikan oleh suasana terkini, iaitu Pas yang amat berbeza daripada DAP dari segi dasar, dapat bersama-sama berpakat.

Mengapakah hal ini berlaku? Itulah strategi.

Andai kata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berusaha menarik Pas dan DAP ke persatuan yang dinamakan Pakatan Rakyat, kita akan sering mendengar pihak Pas mengkritik DAP, begitu jugalah pihak DAP. Dalam konteks ini, perkara utama yang dipertentangkan ialah penubuhan Negara Islam. Pihak DAP akan berkeras bahawa Malaysia ialah negara sekular.

Strategi ialah keupayaan merancang dan melaksanakan tindakan untuk berhadapan dengan musuh. Strategi tiada kaitan dengan kebenaran atau kesalahan. Apa-apa saja boleh dilakukan untuk  menentukan kemenangan. Cuma, jika tindakan itu tidak diizinkan oleh undang-undang, maka tunggulah padahnya. Namun, terdapat juga tokoh yang sengaja melanggar undang-undang untuk menaikkan namanya. Ini juga strategi.

Apabila pihak pemerintah melarang melalui undang-undang agar demonstrasi tidak diadakan di kawasan A, hakikatnya pihak yang mahu berdemonstrasi masih boleh memilih kawasan B, atau C dan lain-lain. Namun, ketua pihak tersebut masih memilih kawasan A, kerana apabila tindakan diambil, namanya akan disebut-sebut. Itu ialah strategi bagi menaikkan nama tokoh.

Bagi sesiapa yang tahu tentang strategi, apa-apa yang berlaku dalam politik tidak akan menghairankan sangat. Sampai sekarang, rakyat Malaysia tidak begitu faham mengapakah wakil rakyat Kajang ditukar, daripada ahli Pakatan Rakyat kepada ahli Pakatan Rakyat yang lain. Bagi kebanyakan orang, Pilihan Raya Kecil Kajang itu hanyalah tindakan untuk menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerja dan berbelanja. Orang ramai tidak dapat melihat bahawa itu ialah strategi untuk memperlihatkan bahawa Presiden PKR masih ada pengaruh politik.

Orang ramai juga hairan mengapakah DAP meletakkan calon Melayu di Teluk Intan. Sesiapa yang berfikir sejenak akan mendapat tahu bahawa itu ialah strategi DAP untuk mengatakan mereka ialah parti pelbagai kaum. Di samping itu, apakah pula strategi calon itu sendiri? Jawabnya mudah, iaitu Dyana Sofya tidak dipilih oleh parti yang akrab dengan keluarganya untuk menjadi calon, maka beliau mestilah mendapatkan ‘kedudukan’ melalui mana-mana parti, biarpun DAP.

Dalam parti politik, ada bahagian strategi. Oleh sebab dari sejak belajar di MCKK lagi Rafizi Ramli amat meminati Anwar, maka tidak hairanlah beliau menjadi pengarah strategi PKR. Dapat dikatakan, Rafizi ialah pengarah strategi yang paling aktif. Kerajinannya membuat checking di segala sektor untuk mendapatkan kesalahan atau kesilapan pihak kerajaan, menyebabkan beliau menjadi orang harapan Anwar.

Pembongkaran kesalahan pihak musuh ialah strategi politik. Kewaspadaan amat perlu ditingkatkan, kerana ada kemungkinan kesalahan pihak musuh melarat menjadi kesalahan parti sendiri.

Hal ini kerap berlaku, iaitu ketika pihak lawan dituduh dalam hal penipuan undi, tuduhan itu berbalik kepada parti sendiri.

Dalam pemerhatian Marwilis Haji Yusuf, PKR menggunakan strategi memperlekeh apa saja yang diusahakan oleh pihak kerajaan. Tindakan kerajaan, misalnya memperkenalkan GST bermaksud membawa kebaikan, diperlihatkan dan dipaparkan oleh pembangkang keadaan sebaliknya.

Kerajaan menggunakan strategi penjelasan. Maka isu GST berlaga di medan politik. Hasilnya (bersama-sama hasil ‘perlagaan’ yang lain) akan kita lihat melalui keputusan pilihan raya akan datang.

Datuk Seri Najib dikenali melalui agenda janji ditepati. Manifesto di Teluk Intan (misalnya penubuhan cawangan UPSI) perlu ditunaikan.

Lebih dari itu, beberapa perkara yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum 2013, misalnya dalam hal kesempurnaan BRIM, perlu dilaksanakan hingga memuaskan hati rakyat.
Menunaikan janji juga satu strategi.