ADA limau manis, dan ada limau masam. Jika dari manis ke masam ialah satu continuum, maka ada limau sederhana. Limau sederhana itu ada yang hampir manis dan ada yang hampir masam. Dalam pilihan raya, yang manis bagi pembangkang, selalunya masam bagi kerajaan, demikian juga sebaliknya.

Perkara paling menarik dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, Kedah, ialah kedua-dua pihak menyanjungi  mantan menteri besar, iaitu Tan Sri Azizan Abd Razak.  Sebarang percakapan yang menyinggung keluarga Azizan akan dijadikan modal politik. Pujian atau sanjungan terhadap tokoh itu juga modal politik.

Keputusannya Pas menang, dan Umno memperoleh jumlah undi yang boleh dibanggakan. Memang wakil rakyat Sungai Limau kini ialah orang Pas, tetapi orang Umno tidak berasa kecil.

Dalam keadaan begini, politik mesra rakyat amat diraikan.  Maksud saya, rakyat Sungai Limau menghargai kedua-dua parti kesayangan orang Melayu Islam itu. Alangkah baiknya jika kemenangan Pas tidak terlalu dibezakan daripada kemenangan Umno, dan kita namakan saja kemenangan rakyat. Anggapan ini sesuai dengan jiwa dan perwatakan Azizan yang pro rakyat dan kurang politicking.

Kita sedar keputusan pilihan raya ke-13 menunjukkan Umno kuat, manakala Pas tidak sekuat DAP. Dalam perkiraan semua pihak yang selalu tenang tenteram, jika pembangkang menang, mereka akan membawa konflik tertentu. Konflik akan berlaku bukanlah akibat daripada kurang baiknya DAP, tetapi kerana pertentangan hala tuju antara parti itu dengan hala tuju Pas.

DAP ialah parti yang bagus terutama untuk satu kaum, dan kurang menjanjikan keharmonian bagi keseluruhan. Jika dibandingkan dengan MCA yang berpengalaman dalam kerajaan, DAP belum teruji untuk bersikap sporting dalam hal-hal berkaitan dengan asas pembinaan negara. Corak pemikiran tokoh-tokoh DAP kelihatannya terpisah daripada sejarah negara. Itu tidak menghairankan, kerana DAP hadir sebagai lanjutan PAP yang terkenal sebagai parti bermatlamat tertentu.

Pas ialah parti yang berdasarkan agama orang setempat. Oleh itu Pas seiring dengan Umno, dan dari segi sejarah, Pas ialah turunan daripada Umno. Oleh itu, alangkah baiknya jika rakyat Malaysia dapat melihat kaitan sejarah antara PAP dengan DAP, dan bandingkan kaitan sejarah Umno dan Pas. Ketika diadakan pilihan raya, maka berlawanlah, tetapi apabila pilihan raya selesai, rasailah kemesraan adik-beradik atau anak beranak antara  ahli-ahli kedua-dua parti. Sikap begini bukan saja menjamin kebahagiaan orang Melayu, malah seluruh rakyat Malaysia.

Memang kita akui politik adalah bidang bercabang-cabang. Tidak seperti lapangan sastera yang bertolak daripada imaginasi, politik bertolak dari  kepentingan manusia dalam kehidupan nyata. Kehidupan nyata menuntut penjagaan kebajikan diri dan keluarga, dan berkaitan hal ini, agak besar pembicara politik yang mengatakan: politik ialah jalan untuk peningkatan ekonomi.

Dalam lapangan sastera, segi ekonominya tidak tinggi, kecuali sastera popular bertuah, yang laris dan menjanjikan royalti agak besar. 

Bagi orang Melayu yang kuat beragama, politik dianggap terlalu berguna bagi menjamin kedudukan agama Islam agar tidak dipermudah orang. Sesetengahnya betul-betul ingin menjaga agama, dan Azizan ialah salah seorang tokoh yang dikenali bersikap begitu. Di Kelantan dan di Terengganu juga ada yang bersikap demikian.  Mereka ini tidak memandang rendah kepada parti lawan, kerana mereka tahu perjuangan Umno dan Pas dalam banyak hal adalah sama, cuma dibezakan oleh pendekatan masing-masing. Itulah mesej Azizan apabila beliau mengatakan Pas bagus, Umno juga baik.

Saya berpandangan, sikap tokoh Pas di Sungai Limau ialah sikap manis. Jika ada beberapa kejadian yang mencemarkan pilihan raya kecil baru-baru ini, kita tidak perlu terlalu gundah gulana. Dalam kebun limau, anggaplah biasa saja jika ada limau masam. Limau masam itu tidak akan merosakkan imej keseluruhan limau, jika limau manis jauh lebih banyak.

Kebanyakan pengundi, malah kebanyakan penghuni di Sungai Limau, dapat kita ibaratkan sebagai limau manis yang memartabatkan kebun demokrasi. Beberapa orang yang masih menganggap Pas dan Umno bermusuhan ialah limau masam yang elok diketepikan.