JIKA orang bertanya, apakah peristiwa penting PRU12, jawapannya ialah seorang calon yang menang letak jawatan untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika ditanya apakah peristiwa penting PRU13 pula, jawapannya sama, seseorang meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Anwar. Itu ialah pola yang memungkinkan perulangan lagi.

Barangkali, oleh sebab wujudnya pola yang demikian, budayawan Datuk Paduka Rosli Saludin menelefon saya.

Beliau bertanya tentang makna di sebalik peristiwa-peristiwa itu. Pertanyaan itu diikuti dengan andaian mungkin makna itu  hanya difahami oleh Anwar.

Terlalu banyak peristiwa di sekitar kita yang membawa makna beranjak-anjak.

Pada masa lepas kita menyebutkan keadaan demikian sebagai taksa (ambiguous). Istilah taksa akronim kepada ‘tidak satu’, iaitu makna peristiwa itu lebih dari satu.

Anjakan makna berbeza daripada taksa, kerana dalam anjakan makna, fikiran tidak berpijak di satu tempat. Peristiwa itu, dalam konteks anjakan makna, mungkin Anwar sendiri pun tidak faham.

Marilah kita lihat peristiwa itu di bawah kata kunci ‘kesepian’.  Dalam tulisan yang lalu, telah saya nyatakan bahawa kesepian memberikan kesan yang kuat terhadap jiwa manusia, dan kesan itu menyebabkan manusia bertindak.

Teori Sepi Tinggi bukanlah teori yang bersifat main-main, kerana tidak sedikit manusia sengsara  diganggu kesepian.

Anwar pernah mengatakan beliau akan menjadi pensyarah universiti, tetapi itu tidak ditunaikan. Adakah beliau berbohong? Saya kira tidak. Makna frasa ‘pensyarah universiti’ itu boleh beranjak-anjak.

Sebuah buku Kassim Ahmad berjudul Universiti Kedua tidak mengekalkan tapak makna universiti di satu tempat. Dengan kata lain, makna cenderung untuk tidak mantap, apatah lagi apabila diucapkan oleh ahli politik yang banyak bercakap.

Pada masa lepas, suasana dibisingkan oleh janji bahawa kerajaan Malaysia akan beralih pemimpin pada 16 September. Itu ialah harapan. Dalam politik, makna harapan boleh saja dipindahkan ke tapak kepastian.

Bukan sedikit jumlah rakyat Malaysia yang percaya perkara itu benar-benar akan berlaku. Harapan bertolak dari kiri, manakala kepastian pula bertolak dari kanan, lalu bercantum untuk satu masa yang singkat. Kini tiada lagi percakapan tentang 16 September.

Untuk menyatakan pengaruh kesepian dalam hidup manusia, eloklah saya kemukakan baris-baris sajak Rejab F.I yang memenangi Hadiah Sastera 1971. Judulnya “Kesepian”:

Bila penularan putus asa meremuk dada menghiris sukma
kesepian ialah ombak derita taufan kecewa
perjalanannya di puncak atau kembara di pantai
akhirnya mayat tersadai.

Tanpa huraian pun, makna kesepian dapat difahami. Bahagian di atas menandakan Rejab F.I berupaya menghasilkan sajak bertahap psikologi. Kesepian ialah gejala yang memungkinkan tindakan dan peristiwa tidak teramalkan.

Peristiwa pilihan raya di Kajang yang sedang kita bincangkan kini memang tidak teramalkan. Tidak mungkinkan hal ini bertolak daripada kesepian?

Jika kita bersandarkan maklumat yang diperoleh daripada media, kita dapat menyimpulkan keadaan di Selangor biasa-biasa saja.  Terdapat tulisan yang mengatakan Tan Sri Khalid Ibrahim berupaya mentadbir negeri berkenaan.

Apabila muncul berita Anwar akan ambil tempat Khalid, sekali lagi kita perlu memikirkan anjakan makna.  Dalam hal ini Anwar menyebutkan kata-kata yang membawa makna ‘menang dulu, kemudian barulah fikir hal itu’.

Pilihan raya memungkinkan kemenangan dan kekalahan. Cuma, jika menang, wajarkah Anwar ambil tempat Khalid dalam keadaan Khalid dipujinya sebagai menteri besar yang baik? Untuk memahami hal ini, kita perlu meninjau hal-hal lepas. Adakah Anwar konsisten?

Sekarang kita tumpukan pada kesepian. Nama Anwar sering disebut-sebut dalam jangka masa puluhan tahun. Setelah pilihan raya 2013 selesai, nama beliau kurang disebut.

Penyanyi lagu puisi Zubir Ali pernah mengatakan, jika seseorang yang popular itu berasa dirinya sudah kurang popular, dia akan bertindak sesuatu. Tidakkah kata-kata Zubir dapat dijadikan sandaran?

Orang yang popular memiliki suasana psikologi yang berbeza daripada orang biasa. Saya menyarankan, kempen pilihan raya ialah penawar kesepian. Jadi, pilihan raya kecil yang akan dilaksanakan di Kajang dapat difahami dalam konteks tersebut. Buatlah apa-apa demi menolak kesepian.