Sudah seminggu kita berada dalam tahun 2014. Dalam masa seminggu ini, kita mendengar dan membaca ucapan selamat tahun baharu, disertai pertanyaan tentang azam baharu. Sudah menjadi klise, jawapan untuk soalan itu  ialah “Azam tahun lepas belum dicapai.”

Azam tahun ini ialah untuk mencapai azam tahun lepas.   Adakah ini benar?

Saya fikir, perkataan azam selalu disebut oleh orang yang tidak berazam. Saya bersetuju dengan pandangan Dr Muhaya Mohamad (Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014), bahawa azam yang tidak dicapai ialah azam pada minda sedar. Dr Muhaya dengan Teori Reset ciptaannya, dapat menyatakan perihal azam yang dicapai dan tidak dicapai dengan baik sekali.

Minda bawah sedar, atau nama baharunya minda segar, adalah lebih penting daripada minda sedar. Selama ini saya menggunakan konsep anjakan makna (meaning shift), dan saya sering menyebutkan kesilapan yang berlaku dalam kalangan kita ialah kerana makna terlalu dianjak ke arah dan tempat negatif. Untuk berazam, makna hendaklah dianjak ke tempat positif.

Terpulanglah kepada pembaca, sama ada akan mengambil dan mencuba Teori Reset, atau Teori Anjakan Makna, dalam usaha mencapai azam tahun 2014. Untuk seseorang, dan juga kumpulan kecil, saya boleh menyatakan contoh. Sebuah penerbit buku yang kecil misalnya, boleh menggandakan saiznya dengan azam baharu yang bersifat betul-betul azam.

Tumpukan perhatian terhadap manuskrip buku yang bagus, yang diagak akan diterima di pasaran, dapatkan kepercayaan penulis, dan usahakan penerbitan dan penjualan dengan sebaik-baik mungkin. Azam ini elok digenggam oleh penerbit yang sejauh ini amat terkebawah jika dibandingkan dengan Alaf 21.

Tahap Alaf 21 ialah tahap yang dicapai oleh tokoh yang mengaplikasikan konsep azam pada minda bawah sedar. Demikianlah jika  pemikiran Dr Muhaya diaplikasi. Namun, sebenarnya, masih ada corak dan isi pemikiran lain yang perlu dikaji, iaitu corak dan isi pemikiran Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Menurut Teori Anjakan Makna, orang yang berazam sentiasa berjaya, kerana kejayaan adalah subjektif. Orang yang gagal, jika dia faham akan punca kegagalannya, dia berjaya. Apakah kejayaannya? Jawabnya: kejayaan memahami kegagalan. Itu ialah kejayaan besar. Dalam bidang penerbitan, seorang pengusaha yang gagal menjual buku dalam jumlah besar, jika dia membuat kajian, dia akan faham bahawa dia berbuat silap di sana sini. Pemahaman tentang kesilapan itu ialah satu aset.

Jadi, penerbit berpengalaman, tetapi masih di tahap bawah, eloklah memahami konsep ini, dan serapkan ajaran Dr Muhaya, bahawa yang penting ialah keazaman di minda bawah sedar. Laksanakan usaha dengan berpandukan hati murni, dan kesungguhan. Patuhi peraturan dalam pekerjaan. Seterusnya, dapatkan rahsia Hussamuddin jika ada peluang.

Dalam menyambut tahun baharu, di Kuala Lumpur, muncul demonstrasi yang namanya Turun. Demonstrasi sering berlaku di  dunia, dan Malaysia ditempiasi kegemaran demikian. Pihak pemerintah hendaklah berazam untuk memahami alasan orang berdemonstrasi. Walaupun dikesali demonstrasi berlaku, kita anjak  dan lihat segi kejayaan pihak pemerintah. Pemerintah sudah tahu mengawal demonstrasi agar tidak membesar. Berazamlah lagi untuk mengawal harga barang. Jika azam itu berjaya, demonstrasi Turun tidak akan berulang. Azam itu juga hendaklah di tahap minda bawah sedar, jangan hanya di tahap minda sedar.

Kita sedia maklum, ada pihak menggunakan kata-kata tertentu untuk menimbulkan rangsangan bagi satu-satu pergerakan.  Perkataan-perkataan Bersih, Turun dan Guling mungkin sudah dan sedang menghantui pihak kerajaan, tetapi jika kata-kata itu dapat diimbangi dengan slogan lain yang mantap, makna dalam kalangan rakyat akan beranjak ke arah positif. Perkataan dan rangkai kata  seperti 1Malaysia, transformasi, rakyat didahulukan, Brim, dan beberapa lagi, telah melanjutkan semangat

Penerapan Nilai Islam, Memandang ke Timur, Bersih Cekap Amanah, kemudian Islam Hadhari dan beberapa lagi.

Saya sebutkan slogan pembangkang dan kerajaan yang muncul dari masa ke masa untuk memantapkan konsep azam di minda bawah sedar. Apakah pula slogan kita selaku rakyat?