LANGKAH Kajang” yang dikatakan anjuran Rafizi Ramli sudah lama  tertampan pada tembok ketidakfahaman. Langkah Kajang tidak dapat difahami dengan mudah bukan kerana sofistikasinya, tetapi kerana ketiadaan matlamat yang jitu, dan agak mentah, hanya sesuai dengan gagasan anak muda julung berkeris. Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad, dari UM mengatakan, Langkah Kajang hanyalah tindakan suka-suka. (Berita Harian, 2 Ogos)

Dalam politik, sesuatu yang keanak-anakan akan diterima baik jika  hasilnya luar biasa. “Langkah Kajang” akan dikatakan bagus jika tindakan itu berjaya menggantikan Menteri Besar Selangor. Jadi, sesuatu yang tidak logik dan keanak-anakan dalam politik janganlah diperkecil. Orang politik elit di Kuala Lumpur, misalnya, boleh turun ke kampung tertentu bercakap menggunakan dialek kampung totok, dan menyebutkan hal yang amat kecil dan tersorok, kerana mereka mahu kelihatan keanak-anakan untuk mendapatkan undi, padahal orang kampung tidak sedaif itu. Itu ialah logika politik.

Kini, muncul pandangan daripada tokoh Pas, bahawa menteri besar  yang tidak bersalah tidak perlu diganti. Itu betul. Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin sederhana, tetapi beliau lebih baik daripada orang yang dicadangkan menggantikannya. Hal ini jelas dan mudah dikesan. Logiknya, rakyat Selangor telah membuat keputusan pada tahun 2013, jadi biarlah keputusan dibuat semula setelah tamat jangka masa lima tahun. Selepas itu, calon menteri besar baharu Selangor boleh dicadangkan, sama ada Rafizi Ramli, Azmin Ali, Datuk Seri Noh Omar atau Datuk Suhaimi Shahdan.

Logika yang dikehendaki oleh PKR, misalnya, bukanlah logika biasa. Janji dalam politik tidak perlu selari dengan pemahaman rakyat, dan rakyat sekadar dikehendaki menerima janji dan perencanaan.

Khalid kian memahami politik, biarpun beliau tokoh ekonomi. Beliau tidak segarang Khalid Samad atau Noh Omar, namun tahap  pemikirannya menyamai tokoh politik negara yang hebat dan mantap. Hal ini menyukarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan impian anehnya. Secara terang-terang Anwar mengemukakan calon Menteri Besar Selangor yang dikatakan paling layak, iaitu isterinya sendiri.

Saya harap, konsep logika politik yang sesekali tidak logik ini kian difahami umum. Di luar bidang politik, sampai hatikah kita mengatakan isteri kita terbaik? Abdul Hadi dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak merestuinya.

Gaya Anwar lain sekali. Dalam wawancara tentang Langkah Kajang,  Suara Keadilan, 8 Julai, beliau menyebutkan ayat “Saya tidak peduli.” Menurut Ilmu Komunikasi, seseorang pemimpin demokrasi tidak wajar mengetengahkan I language dalam konteks berkenaan. Dengan kata lain, jangan sebut “Saya tidak peduli” dalam konteks penegasan parti, tetapi sebutlah “PKR tidak peduli.” Secara umum, I language bertujuan menunjukkan kuasa. Walau bagaimanapun, kita memerlukan ruang yang luas bagi membicarakan I language yang dipertentangkan dengan you language, seperti yang dimaksudkan oleh Julia T. Wood dalam bukunya Communication Mosaics.

Setakat ini, elok disimpulkan bahawa sikap “Saya tidak peduli” oleh Anwar itulah yang akhirnya tiba pada perancangan untuk mengetepikan Khalid.

Dalam politik, seseorang tokoh boleh muncul dengan cepat. Kini,  telah timbul tokoh baharu yang namanya Dr Zuhdi Marzuki. Beliau telah mengemukakan huraian politik yang logik, namun amat tidak disukai pelbagai pihak. Adakah beliau bersalah setelah beliau mengagak bahawa Khalid dapat terus menjadi menteri besar hasil sokongan Umno? Bukankah itu biasa saja?

Dr Zuhdi dikatakan bertuah dari segi politik, kerana beliau tersenarai dalam barisan Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa, sebagai pembicara yang mengikut hukum akal logik. Kita tidak pasti, adakah kini Pas masih mahu terus berbaik-baik dengan DAP. Jika masih demikian, maka itu ialah tindakan tidak logik dalam konteks hasrat menubuhkan Negara Islam.

* Datuk Rahman Shaari ialah Penerima Sea Write Award dari Kerajaan Thailand (2007), dan Penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau merupakan mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.