APABILA saya mengemukakan Teori Sepi Tinggi (Sinar Harian, 11 November 2014), muncul beberapa reaksi di Facebook. Wan Ali Wan Husin mengatakan lebih tinggi kesepian, akan lebih tinggilah keindahan.

Asmir Kasbon pula menyebutkan selagi ada pertentangan, selagi itulah demokrasi berlangsung. Asmir membawa saranan bahawa konflik yang terhasil daripada kebosanan (akibat sepi) akan memaknakan demokrasi.

Saya akan bertolak daripada luahan pandangan mereka berdua, anggota kumpulan “Pusat Pemikir Gaya Baru”. Manusia di dunia ini tidak habis-habis berkonflik dan kita terlupa bahawa di belakang konflik ialah kesepian.

Penyair Latiff Mohidin menghasilkan  sajak Sungai Mekong berasaskan rasa sepi. Ini rangkap awalnya: Sungai Mekong kupilih namamu/ kerana aku begitu sepi/kan kubenamkan dadaku ke dasarmu/ kaki kananku ke bulan/ kaki kiriku ke matari.

Sesiapa yang tidak berpengalaman diseksa kesepian, tidak akan berasakan ini semua. Namun, seelok-eloknya kita bertanya kepada diri, “Adakah aku pernah diseksa kesepian?” Latiff Mohidin, secara kreatif mahu membenamkan dadanya ke dasar Sungai Mekong hanya kerana terlalu sepi. Rejab F.I. pula membuat tafsiran tentang kesepian dengan kata-kata ini: Kesepian adalah ombak derita taufan kecewa/ perjalanannya di puncak atau kembara di pantai/ di mana akhirnya mayat tersadai.

Alangkah dahsyatnya kesepian pada tanggapan Rejab. Seterusnya, Suhaimi Haji Muhammad melukiskan watak Adam yang sepi kerana keseorangan: Sepanjang malam ia tercengang/ dari hatinya mengalir sungai duka/ bagaimana akan kutempuh rimba kegelapan/tubuh seorang.

Dari sisi lain, dramatis Sharif Shaary berulang kali menyebutkan kesepian selaku punca segala huru-hara. Ketika muda, Sharif menggunakan nama samaran ‘Pencinta Sunyi’. Tujuan saya melukiskan gambaran kesepian ialah untuk memperkukuh Teori Sepi Tinggi.

Oleh sebab medan bicara ini ialah medan politik-sosial, ingin saya kemukakan tanggapan, bahawa kekecohan yang berlaku dalam masyarakat kita akhir-akhir ini ialah hasil serangan kesepian.

Dalam masyarakat kita, banyak sekali isu yang dipertajam. Isu DNA pada coklat misalnya,  heboh sekali, tetapi apakah yang diperoleh hasil siasatan? Yang agak baru ialah isu ‘pegang anjing’, dan kini kecelaruan jantina. Kesemua ini ialah isu untuk menentang kesepian.

Penceramah-penceramah agama kini menggunakan kaedah berjenaka dalam usaha dakwah mereka. Kita tidak menafikan ajaran agama adalah baik dan bermanfaat, tetapi kita sedar bahawa terlalu banyak contoh atau cerita rekaan yang bersifat jenaka, untuk menentang kesepian.

Saya sendiri menyukai sebahagian cerita rekaan penceramah agama, misalnya yang mengaitkan wanita dengan kain. Penceramah yang terkenal itu meminta kita semua bersimpati kepada wanita, kerana dalam hal kain sahaja pun, wanita menanggung beban. Katanya, pagi-pagi wanita basuh kain, kemudian jemur kain, lalu kutip kain, diikuti gosok kain, seterusnya lipat kain, dan pada larut malam, ke mana kain?

Isi ceramah itu bagus, iaitu simpati kepada wanita yang melakukan kerja sepanjang hari. Namun, hal kehilangan kain pada larut malam agak seksis. Itu disebut untuk menimbulkan keseronokan dan menentang kesepian.

Sejumlah kita melayani Facebook (dan media sosial lain) berjam-jam. Faedah intelektual memang ada, namun sebahagian besar ialah untuk menghalau kesepian. Oleh itu, apabila kita memasuki arena politik, tidakkah kita melihat kebisingan yang politikal itu ialah wadah untuk  melawan kesepian?

Berkali-kali saya sebutkan, Ketua Pembangkang bukannya orang lain. Semua kita tahu, beliau mantan Timbalan Perdana Menteri, dan mantan Timbalan Presiden Umno. Mengapakah beliau menentang kerajaan seakan-akan beliau selama-lamanya musuh kerajaan? Bukankah lumpur tuduhan yang dilemparkan ke pihak kerajaan sebahagiannya berbalik pada dirinya? Itu dari sudut beliau.

Dari sudut pihak kerajaan pun demikian juga. Kecaman dan cemuhan yang dikenakan kepada ketua pembangkang dilakukan bersungguh-sungguh, seolah-olah sejumlah tokoh kerajaan tidak pernah berada di bawah pentadbiran tokoh itu. Saya mahu menegaskan di sini, manusia mencari konflik, antara lain adalah kerana mahu menentang kesepian.


* Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.