ISU politik terkini mudah difahami oleh sesiapa yang berpegang pada Teori Anjakan Makna. Teori ini agak lambat berkembang kerana pembinanya ialah orang Melayu, rakyat Malaysia. Namun, adalah diyakini, perkembangan politik akan sentiasa membantu menyebarkannya.

Mengapakah Dyana Sofya Mohd Daud mewakili DAP menentang Barisan Nasional? Gadis ini datang daripada keluarga Umno. Ibunya berdiri di belakang tindakannya. Bagi ibunya, jika Marina Mahathir boleh beranjak untuk berlainan daripada Tun Dr Mahathir, puterinya juga boleh.

Calon DAP disokong Pas, kerana biarpun DAP membantah hudud, Pas telah memutuskan untuk beranjak ke arah DAP dalam hal pilihan raya sekular. Saya sebenarnya rasa terpanggil membicarakan perkara ini mengikuti rentak bicara dalam arus perdana.

Dyana telah pun dengan tegas dan berani mengakui beliau membantah cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud. Kita dapati, biarpun beliau berpakaian tidak sesuai dengan Pas, sokongan masih diberikan oleh Pas atas dasar kerjasama politik sekular. Tudung kepala ialah hal peribadi, demikian pegangan Dyana yang tampaknya sehaluan dengan Sisters in Islam. Sebagai anak muda progresif, Dyana bersuara yakin, menyamai suara anak muda dekad 1970an yang dipimpin Hishamuddin Rais.

Pas mengkritik Dyana secara terbuka. Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan, meminta Dyana memahami batas ketika bercakap tentang hudud. Orang Islam, menurut Ahmad Yakob, jangan menunjukkan tanda bahawa dirinya menolak perintah ALLAH. (The Star, 23 Mei). Anjakan makna berlaku di sini, iaitu teguran dikenakan kepada Dyana, namun Pas tetap menyokong DAP dalam pilihan raya kecil tersebut. Inilah Ironi dan juga paradoks.

Dyana bersuara selaku tokoh pejuang kesamaan. Tentulah ada alasan beliau berbuat demikian. Saya yakin, pada masa lalu beliau telah memperoleh faedah yang besar hasil perjuangan Umno, namun beliau tetap berasa berhak menolak dasar yang dibuat Umno, kerana demokrasi mengizinkannya.

Dalam demokrasi, seseorang boleh memilih untuk membalas budi, atau sebaliknya. Dyana memilih aliran politik Lim Kit Siang dan mengetepikan pihak yang membantu kebangkitan dirinya. Silapnya di mana?

Oleh sebab ibunya orang kuat Umno, Dyana pasti memahami dasar Umno. Di sana sini orang mengkritik Umno, namun sesiapa yang memahami makna organisasi, Umno sebenarnya tidak buruk, samalah juga dengan Pas, PKR dan DAP sendiri.

Hasil kempen pembangkang, ada antara orang ramai yang memikirkan Umno perlu ditentang kerana para pemimpinnya terlalu mementingkan diri. Bagi mereka ini, parti yang akan menggantikan Umno pasti baik. Mereka memejam mata daripada memerhatikan kekecohan kerana kepentingan dalam mana-mana parti politik. Sebagai contoh, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menghadapi masalah percakaran antara pemimpin-pemimpin di bawahnya. Itu ialah kebiasaan political animals.

Mengikut Teori Anjakan Makna, politik ialah aplikasi aneka helah. Pergolakan dalam PKR masa baru-baru ini adalah biasa, sama saja dengan pergolakan dalam Umno akhir dekad 1980an yang mengetepikan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pemilihan Dyana untuk mewakili DAP dapat dijadikan pedoman oleh Umno pula. Bukan kecil jumlah anak muda Umno yang berbakat dalam politik. Jika anak-anak muda itu terpilih, parti akan terlihat segar dan moden. Anak muda tidak akan melangsungkan idea-idea yang ketinggalan zaman. Lagipun, anak-anak muda Umno selalunya berada dalam daerah kesetiaan, tidak derhaka.

Untuk fokus bicara ini saya memilih Dyana bukan kerana saya terlalu menyenangi beliau. Saya sebenarnya menyenangi pemilihan anak muda secara keseluruhannya. Selain itu, saya sejajar dengan Marina Mahathir yang mengatakan ‘Let’s don’t take I am endorsing DAP.’ (The Star, 22 Mei). Kita semua telah sedia tahu parti yang baik buat Malaysia.

MCA menentang hudud, sama dan selari dengan DAP sendiri. Namun, berbeza daripada MCA yang akan menentang hudud melalui wakil bukan Islam, DAP berhasrat menghantar orang Islam sendiri bagi melaksanakan perlawanan. Demikianlah DAP berpolitik cerdik dalam konteks anjakan makna. Berkenaan hukum hudud, DAP mahu Pas berbahas dengan Dyana Sofya di Parlimen. Adakah PKR juga di sebelah Dyana? Siapa tahu!