KAWAN-kawan Dr Kassim Ahmad, bersama-sama peminat pemikiran beliau, sedang merancang satu majlis menyambut ulang tahun beliau yang ke-80. Kassim ialah tokoh sosialis dalam dekad 1960-an dan awal 1970-an. Kemudian beliau bertukar arah. Pernah orang menyangka Kassim akan mencari kesenangan melalui pertukaran arah, terutama apabila beliau menyertai Umno.

Sesiapa yang tahu tentang Kassim tidak akan mempermudah peribadi hebat ini. Beliau bukanlah orangnya yang sentiasa mencari jalan mudah untuk mencapai kemewahan. Kassim ialah tokoh yang yakin pada kebenaran dicari dan didapatkannya. Beliau tidak mudah percaya apatah lagi tunduk pada suara di sekelilingnya, baik pembangkang, mahupun pihak pemerintah. Beliau membicarakan peristiwa di dalam negara mahupun di dunia, dan bersikap kritis terhadap sebarang hujah.  

Sejumlah besar pandangan beliau dalam jangka masa kira-kira 40 tahun ini bersandarkan ajaran Islam. Sejumlah pembaca, baik yang cenderung ke arah kerajaan atau pembangkang, berasa curiga berhadapan dengan bicara keagamaan Kassim, kerana mereka terperanjat dengan terbitnya buku Kassim tentang Hadis dalam tahun 1986 dulu.  Kandungan buku tersebut dianggap terlalu berani oleh sejumlah  sarjana, tetapi bagi sarjana yang lain, buku itu mencabar kewibawaan ulama, dan Kassim kemudiannya menghadapi masalah besar.

Memang terdapat beberapa ahli falsafah di Malaysia, dan Kassim ialah salah seorang daripada mereka. Saya selalunya berasa rumit mahu menyatakan makna falsafah kepada pelajar, kerana selalunya orang dengan mudah menyebutkan falsafah. Saya ingin menyarankan kepada pelajar dan sesiapa yang mahu memahami makna falsafah agar membaca keseluruhan tulisan Kassim. Nilai falsafah terletak pada sudut pandangan dan cara pandangan dikemukakan. Dalam menyatakan kebenaran, ahli falsafah akan memuitiskan kaedah penyampaiannya.  Oleh itu, kita akan dapat mengutip sejumlah aforisme daripada ajaran ahli falsafah.

Dari keseluruhan kegiatan penulisan dan ceramahnya, kita menemukan tema kehidupannya. Dia mencari jalan lurus. Frasa jalan yang lurus kerap ditulisnya, kerana beliau yakin, jalan lurus ialah jalan terbaik untuk dipilih. Dengan kata lain, beliau sudah melihat sejumlah manusia memilih jalan-jalan tidak lurus.    

Setakat bicara ini ditulis, telah tersebar berita bahawa majlis memperingati usia 80 Kassim akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Tarikhnya ialah 15 dan 16 Februari 2014.  Apabila hal ini saya nyatakan kepada Rozan Azen Mat Rasip dari PKR, beliau cepat menjawab, “Bukankah usia 80 tahun Pak Kassim jatuh pada 9 September, 2013?” Tampaknya, Rozan amat tahu tentang Kassim.

Memang betul Kassim dilahirkan pada 9 September 1933. Namun, idea untuk menyambut ulang tahun beliau ke-80 telah terlambat difikirkan oleh kawan-kawan dan peminat-peminat beliau. Jadi sambutan diadakan terlewat 5 bulan 6 hari.  

Pihak penganjur memutuskan kelewatan tidak mengapa, kerana perkara utama ialah idea dan pemikiran falsafah beliau dapat disampaikan, dan dinilai oleh sejumlah pembicara. Masyarakat Malaysia perlu didedahkan dengan pemikiran kritis, bukan dibekukan oleh klise-klise yang membantut kebangkitan. Majlis pada 15 Februari, dan bersambung pada 16 Februari, akan diisi dengan kupasan-kupasan pemikiran Kassim oleh sarjana dan aktivis masyarakat, termasuk ahli politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang. Antara pembicara, ada yang didatangkan dari Indonesia.  

Pihak penganjur, diwakili Prof Dr Chandra Muzaffar dan Nik Abdul Aziz Nik Hassan, meminta saya menguruskan malam persembahan puisi Kassim. Saya terus memikirkan nama-nama penyanyi alternatif, dramatis dan deklamator untuk menjayakannya. Saya yakin persembahan sajak-sajak Kassim dengan gaya artistik akan dapat dilaksanakan oleh mereka. Sajak-sajak Kassim yang deklamatori ialah “Katakanlah”,  “Pergilah Kau”, “Nyanyi”, “Permintaan”, “Dialog” dan beberapa lagi.

Perlu dicatatkan, mengikut Prof Dr Chandra, majlis meraikan dan menilai pemikiran Kassim akan dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohammad.

Tentulah hadirin tertanya-tanya apakah akan dikatakan oleh Tun Mahathir tentang Kassim? Selain tokoh politik, Tun  Mahathir juga pemikir. Berkemungkinan, peristiwa ini akan dianggap umum sebagai peristiwa besar.