SEMINAR dua hari di Yayasan Kepimpinan Perdana yang memperkatakan sumbangan pemikiran Dr Kassim Ahmad telah selesai. Sebelum seminar berlangsung, saya berasakan sambutan adalah terlalu kecil.

Saya ketika itu berfikir zaman Kassim telah berlalu, dan anak-anak muda tidak tahu tentangnya. Orang yang berusia pula, saya fikir, berada dalam keadaan skeptikal terhadap Kassim, kerana pandangan keagamaannya yang kontroversial. Namun, ternyata sambutannya baik sekali.

Seminar ini dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohammad. Mahathir berterus terang mengatakan beliau pernah terlibat berusaha mengalahkan Kassim dalam pilihan raya. Ini dikaitkan dengan sajak Sidang Ruh karya Kassim.

Katanya, lama dulu, beliau menggunakan baris akhir sajak itu bagi menjatuhkan Kassim  dalam politik. Ini bukan soal kebenaran, tetapi soal strategi. Walaupun demikian, Mahathir yakin bahawa Kassim berilmu.

Kata-kata Mahathir itu mengingatkan saya terhadap peristiwa lain di tempat sama. Pada  2010, Mahathir melancarkan buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda karya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ketika berucap, Mahathir mengatakan, ada orang berpesan kepadanya agar jangan terlibat dengan Asri. Namun, Mahathir tidak menghiraukan pesanan itu kerana beliau menyukai ilmu.

Buku lain karya Asri ialah Hadis Palsu: Kesan Terhadap Pemikiran Umat (Karya Bestari, 2007). Judul itu menunjukkan kemunculan hadis palsu bawa masalah dalam masyarakat Islam.

Sesiapa mengikuti blog hikmatun.wordpress.com tentu tahu tentang pemikiran dan sikap Asri terhadap kitab Ihya Ulumiddin karangan Imam al_Ghazali.  

Dalam tulisan lalu, saya menyatakan Kassim memilih jalan lurus. Frasa itu telah menjadi judul bukunya. Saya mengenali Kassim sejak dekad 1970an dan tahu beliau amat tegas dengan pendapatnya. 

Sesetengah orang mengetepikan Kassim, kerana sikapnya terhadap  kumpulan orang Islam yang kuat menghukum. Bagi Kassim, dalam hal agama manusia mestilah terbuka memberikan pandangan.

Setelah mendengar pandangan pelbagai, orang Islam hendaklah membuat pertimbangan dan memilih yang terbaik.

Saya membandingkan kata-kata Mahathir terhadap Asri dan Kassim, kerana ada makna yang jauh mahu saya bawa. Asri dan Kassim bertentangan, kerana Asri pengkaji dan pejuang Hadis sedangkan  Kassim bersikap kritis terhadap Hadis.

Saya tidak mahu mengatakan sesuatu yang negatif terhadap tokoh-tokoh berilmu. Walaupun usia Asri jauh di belakang Kassim, keluasan pembacaan Asri tidak kalah berbanding Kassim.

Itu adalah baik bagi sarjana. Orang lain yang berada di belakang mereka dari segi pembacaan hendaklah bersikap terbuka.

Anggaplah pandangan mereka laksana barangan di pasaran. Mereka boleh memilih dan menggunakannya setelah ditimbangkan dari segi ilmu, bukan dari segi cita rasa.

Mahathir tidak membicarakan Jalan Yang Lurus secara khusus.  Namun, beliau meminta hadirin bersikap terbuka. Kata Mahathir, sikap melabelkan orang adalah amat buruk.

Dalam politik sering terjadi, apabila seseorang atau sesuatu kumpulan kekurangan idea, mereka akan melabelkan pihak lawan.

Raja Ahmad Aminullah yang menjadi ahli panel bicara pemikiran Kassim, mengatakan Mahathir berjiwa besar, kerana mengaku beliau telah berusaha menjatuhkan Kassim dengan cara menggunakan baris akhir sajak Sidang Ruh.  Astora Jabat mempertahankan sebahagian besar hujah Kassim.

Dalam majlis itu terdapat acara persembahan puisi. Abd Ghafar Ibrahim dan Sharif Shaary ialah dua tokoh veteran yang  menyampaikan dua buah sajak Kassim secara berlainan. Mereka memestamukan (mestamu ialah akronim bagi melodi sajak tanpa alat muzik) sajak-sajak Dua Catatan dan Pembunuhan Dajjal. 

Penyanyi alternatif Abot menyampaikan lagu yang dicipta berdasarkan sajak Penyairmu karya Kassim. Abot kemudiannya bersama-sama Jim Rahman menyampaikan sajak Dialog dengan kaedah  dekon.

Deklamator lain ialah Didi Ares, Siti Mastura Mohaamd Saleh dan
Anis Farhana Mohd Shabri. Nik Abdd Aziz Nik Hassan bertindak sebagai pengerusi.

Para sarjana yang membentangkan kertas kerja ialah Prof Zakaria Ali, Prof Chandra Muzaffar dan Dr M Syafie Anwar. Mereka masing-masing menghuraikan sumbangan Kassim dalam bidang sastera, politik, agama dan falsafah.

Seminar pemikiran elok diteruskan.