BARU-baru ini saya bertemu dengan Datuk Aripin Said. Beliau beritahu, seorang pengkritik sastera yang terkemuka tertanya-tanya mengapakah saya bertukar daripada kesusasteraan kepada politik. Adakah saya kecewa dalam sastera?

Dalam bicara ini, saya ingin menyatakan kandungan dalam sastera dan politik. Dalam sastera, kita mengingati kandungan karya Shahnon Ahmad, A Samad Said, Latiff Mohidin, Baha Zain, Mohd Affandi Hassan, Nahmar Jamil dan banyak lagi. Kandungan itu adalah rekaan, dan sandarannya ialah segala yang berlaku di sekelilingnya.

Kata Lim Teck Leong (pensyarah pendidikan), novel, cerpen dan karya fiksyen lain ialah karya bohong, kerana di dalamnya termuat kejadian tidak berlaku. Baginya a story-teller is a liar. Saya pernah menyanggahnya dengan mengatakan karya fiksyen tidak berbohong, kerana orang yang membacanya telah tahu akan ciri-cirinya. Ini ialah soal perbezaan antara cerita dengan berita. Cerita (iaitu elemen sastera) memang boleh menyampaikan kejadian tidak berlaku, tetapi berita hendaklah memuatkan kejadian yang betul-betul berlaku.

Aripin beritahu pengkritik berkenaan mahu saya berbalik ke lapangan sastera. Jawapan saya: Itu ialah pilihan. Saya menyenangi politik kerana kandungannya berada dan berlegar dalam masyarakat. Dalam hal tertentu, bahan politik jauh lebih segar daripada bahan sastera.

Namun, kita hendaklah tahu menghayatinya.

Perhatikan pergolakan di sekitar Datuk Dr Hassan Ali ketika ini. Beliau ialah watak dinamik yang sedang menghadapi cabaran besar, dan kita sentiasa dalam keadaan penuh suspens.

Sejumlah orang menganggap Hassan ialah satu gangguan, manakala yang lain melihatnya sebagai wira. Hassan konsisten dengan caranya, tetapi tidak disenangi sejumlah tokoh DAP. Itu tidak aneh. Hal yang aneh ialah tokoh Pas memaparkan rasa tidak senang kepadanya. Keadaan Hassan ini ditanggapi oleh Nasharudin Mat Isa (mantan pemimpin Pas) sebagai satu keanehan.

Tentulah ada persoalan lain yang berkaitan. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diketahui sebagai tokoh yang menghalang berlakunya kerjasama erat antara Pas dan Umno. Di samping Nik Aziz ialah Datuk Husam Musa, yang dikaitkan oleh pembicara politik sebagai teman akrab Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhatikan, Anwar dapat masuk dalam Pas, walaupun dia bukan ahli Pas, sedangkan Hassan dan Nasharuddin yang ada di dalam Pas terasa-rasa diketepikan.

Sejumlah pemikir Melayu berasa bimbang akan keadaan demikian. Mereka menubuhkan gerakan third force untuk menjaga pihak-pihak yang bertentangan dalam politik Melayu. Nama saja orang Melayu dalam satu-satu parti, mereka sebenarnya berbeza-beza fahaman, keperluan atau kepentingan.

Sejumlah orang sastera tidak tahu tentang ini, malah tidak berminat untuk ambil tahu. Jika orang sastera mula memasuki dunia politik, saya fikir kadar perhatian mereka terhadap sastera tidak akan dikurangkan. Kedua-dua bidang dapat dicintai serentak.

Politik ialah seni yang tidak terfikirkan oleh sejumlah orang sastera. Sesetengah orang sastera akan hanya menerima politik pembangkang. Itu saya dengari sejah 20 tahun lalu.

Hal itu demikian kerana menjadi pembangkang nampak hebat. Namun, fikiran rasional dan logik menyimpulkan pembangkang adalah kumpulan politik, kerajaan pun kumpulan politik. Kedua-duanya ada tugas.

Pembicara politik yang bersikap objektif akan mencari kesegaran antara kedua-duanya. Namun ada yang terperangkap untuk memuji satu, membenci yang satu lagi. Jika mereka di sebelah kerajaan, mereka tidak dapat menikmati kata-kata sarkastik daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Aziz, Mohammad Sabu dan lain-lain.

Sebaliknya pun demikian. Jika di sebelah pembangkang, mereka tidak dapat menikmati gaya syarahan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan tidak juga dapat merasai kebagusan bahasa sindiran Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Saya tidak dapat menyatakan banyak hal yang menarik dalam arena politik kita kepada Aripin Said, kerana masa tidak mengizinkan. Namun sempat saya nyatakan kepadanya bahawa jika seseorang mahu mencari kecerdikan politik, memilih akhbar Sinar Harian adalah tepat.

Saya merasai demikian kerana aneka fikiran dan perasaan daripada pihak yang berpendirian berbeza ada dalam akhbar ini. Peluang untuk menilai political animals adalah luas, dan Sinar Harian sentiasa menambahkan keluasannya.