APAKAH makna kajang? Kajang ialah daun mengkuang atau daun nipah yang dianyam. Kegunaan kajang ialah untuk dijadikan atap atau pelindung. Siapakah yang akan melindungi siapa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang akhir bulan ini?

Untuk membicarakan hal ini secara kreatif, eloklah diturunkan pantun tradisi kita:

Kajang tuan kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang tuan dagang bertempat,
Dagang saya terbuang lalu.


Kajang dalam pantun di atas berima dengan dagang. Dagang ialah orang yang merantau. Pantun ini menekankan, dagang yang hebat memang dagang bertempat.

Maksudnya, jika seseorang pandai berbahasa, iaitu tahu mengambil hati orang, dia akan mendapat tempat. Demikianlah ajaran secara tidak langsung daripada pantun itu.

Dagang yang terbuang lalu ialah perantau yang tidak menguasai komunikasi  interpersonal. Dia akan diketepikan, dan hidupnya tidak terjamin di rantau orang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi calon dalam PRK Kajang itu. Lee Chin Cheh akan digantikan oleh wakil rakyat baharu, sama ada dari PKR atau sebaliknya. Pihak PKR kenalah memikirkan sesiapa yang lebih baik daripada YB yang kemas dan sihat itu.

Barisan Nasional telah mengetengahkan tokoh MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Beliau ialah dagang yang sedang menyesuaikan diri dengan pengundi Kajang.

Seperti diketahui umum, MCA kini berimej baharu, dan mungkin imej ini akan meningkatkan sokongan rakyat. Dalam PKR pula, selain Rafizi Ramli yang sedia dikenali kerana kepetahannya, terdapat beberapa tokoh muda yang berkeupayaan dalam hal dagang bertempat.

Bagi pemikir politik Malaysia, peristiwa peletakan jawatan Lee Chin Cheh terus terngiang-ngiang di telinga akal. Kupasan tentang peletakan jawatan itu tidak menuju pada satu makna. Keadaan ini  membenarkan teori anjakan makna. Pada masa lepas, makna peletakan jawatan itu ialah Anwar akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Itu pun tidak pasti, kerana kita tahu, Khalid tidak pernah mengatakan beliau akan meninggalkan jawatan menteri besar dalam masa terdekat.

Sesetengah pembicara memberikan alasan Anwar memerlukan kebisingan untuk mengubat kesepian. Teori Sepi Tinggi ini ialah satu daripada kandungan Teori Anjakan Makna.

Maksudnya, dalam menanti pelbagai kemungkinan yang terjadi kepadanya, Anwar perlu aktif. Apabila Lee Chin Cheh meletak jawatan, suasana akan menjadi riuh-randah. Anwar mengambil tempat itu untuk berceramah garang.  Kesepian pun hilang.

Ada lagi alasan lain, misalnya hal kemajuan Selangor yang dianggap Anwar tidak cukup. Jika Anwar menjadi menteri besar, menurut anggapan tersebut, pemerintahan atau pentadbiran Selangor akan lebih gemilang.

Sekarang, kajang berlipat dan kajang mengkuang layu telah bercampur aduk. Pertandingan antara Chew Mei Fun dengan sesiapa saja hanyalah pertandingan biasa, iaitu sekadar memilih seorang wakil rakyat biasa.

Peristiwa peletakan jawatan Lee Chin Cheh terlihat hanyalah seumpama drama bertema hambar, dengan watak yang tidak terlatih di Aswara. 

Dalam keadaan begini, adalah baik jika pihak PKR meletakkan anak muda seperti Rozan Azen Mat Rasip sebagai calon. Jika menang tokoh muda ini, PKR akan terlihat masih ada masa depan.

Sekiranya Rafizi Ramli atau Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang masuk, walaupun berpotensi, PKR akan terlihat berada dalam suasana lama, iaitu melangsungkan kritikan keras dan mungkin demonstrasi yang selalu bermatlamat penonjolan.

Jika Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding, akan berulang stail puluhan tahun dulu, iaitu PKR terus dengan imej Parti Keluarga Rangkulan.

Pantun ‘Kajang tuan kajang berlipat’ ialah pantun tradisi, iaitu pantun yang dihasilkan masyarakat Melayu silam. Hukum Anjakan Makna mengizinkan kita melihat makna terkini.

Watak yang dikatakan ‘dagang bertempat’ sejauh ini tidak lain daripada Anwar dengan kepetahannya dan Chew Mei Fun dengan kemesraannya. Mereka mahir berkomunikasi dengan cara masing-masing.

Oleh itu, jika salah seorang daripada mereka terbatal, maka penggantinya hendaklah ‘dagang bertempat’  juga, bukan ‘dagang terbuang lalu’. 

Anwar terpaksa membatalkan hasrat bertanding. Kita tidak dapat meramalkan keputusan pilihan raya, tetapi kita tahu rakyat sudah masak dalam memahami persoalan ini.