KEBANYAKAN peminat politik telah membuat kesimpulan, dan mereka berada dalam kesimpulan itu. Ada yang menyimpulkan bahawa di negara kita terdapat pemimpin yang berjuang bermati-matian demi kepentingan dan kemajuan rakyat, dan pemimpin itu berhadapan dengan pemimpin tamak haloba serta penuh penipuan.

Ada yang beranggapan bahawa pemimpin yang disukainya amat beriman, dan tokoh berkenaan berhadapan dengan pemimpin munafik dan kafir.
 
Anggapan lain oleh peminat ialah bahawa pemimpin yang digemarinya bagus kerana bapanya bagus.

Mereka berfikir secara mudah, iaitu anak pasti bagus seperti bapanya. Peminat politik lain pula menganggap perjuangan yang hebat ialah perjuangan anak dan isteri yang membela suaminya yang dikatakan teraniaya.  

Seterusnya, ada pula berpegang pada prinsip Islam tulen dan menolak kepura-puraan walaupun dikemukakan oleh Umno atau Pas.  

Jangan lupa, ada pula yang berpegangan pada sosialisme. Ketika Hishamuddin Rais membicarakan Negara Kebajikan, dia mengaplikasi pendekatan sosialisme tulen. (Lihat bukunya Tipu Pilihanraya Turun ke Jalan Raya, halaman 71-75).
 
Apabila kita berusaha mendapatkan kepelbagaian yang lebih, kita akan menemukan jenis lain lagi.

Terdapat tokoh sasterawan, yang memilih untuk menganggotai parti yang jumlah kaumnya kecil, kerana mungkin pejuang kaum sendiri dianggap karut.

Hal begini dapat difahami melalui imaginasi penyair, kerana ruang imaginasi itu luas. Penyair yang terlalu imaginatif selalu mengkhayalkan bahawa tindakannya betul. Ini samalah dengan khayalannya bahawa karyanya diminati khalayak.
 
Sebagai pendukung demokrasi, kita mestilah menghormati jalan politik yang dipilih oleh Sasterawan Negara, A Samad Said dan juga tokoh sosialis Hishamuddin Rais. Ada dua alasan untuk kita menghormati mereka, dan menghormati orang lain seperti mereka. Pertama, jawapannya ada di dalam soalan ini: Apakah makna demokrasi jika pilihan seseorang kita cemuhi? Kedua, kita tahu mereka berdua bukanlah manusia yang membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

Setelah kita hormati mereka, janganlah pula mereka tidak menghormati kita. Itulah harapan setiap orang yang memahami politik moden.

Sejumlah besar orang Pas mempunyai arah tuju bagi membangunkan sebuah Negara Islam.

Sejumlah daripada itu mempunyai pegangan bahawa Negara Islam mestilah ditandai kehadiran hukum hudud.

Tujuan itu hendaklah dihormati oleh setiap rakyat Malaysia, biarpun dia dalam DAP. Soal mahu menyetujui atau menyokong hasrat Pas adalah hal lain. Jika enggan menyokong, nyatakan keengganan melalui peti undi, tidak perlu bergaduh di pasar atau di jalan raya.

Pendukung Umno ada arahnya. Oleh sebab Umno bersama-sama MCA, MIC dan lain-lain telah lama memerintah negara, usaha utama pihak pembangkang ialah membina persepsi bahawa kumpulan ini asyik mencari habuan politik dengan cara memanipulasikan segala segi kehidupan.

Misalnya, apabila tokoh-tokoh Umno mengatakan mereka telah melaksanakan prinsip Negara Kebajikan, maka Hishamuddin Rais secara sinis, malah sarkastik dan jenaka, menyebutkan ‘hampeh’. Pengakuan Umno itu, menurut Hishamuddin, samalah dengan pengakuan George Bush bahawa dia menyerang Iraq adalah untuk membawa demokrasi dan keamanan. Usaha Hishamuddin membina persepsi ialah hasil kepandaian pidatonya, dan biarkan dia. Kita tidak semestinya mengguna pakai huraian Hishamuddin, tetapi kita izinkan dia bersuara.

Dalam politik, antara lain kita berikhtiar mencari pemimpin yang baik. Tidaklah berguna, bahkan buruk sekali jika kita sibuk menyebutkan bahawa tokoh ini keturunan Siam, Bugis, Turki, India dan lain-lain.

Wujudnya sesudu dua darah asing, yang Nusantara atau yang lain, bukan penanda buruk atau baiknya seseorang. Dalam hal ini, tafsiran Melayu oleh Usman Awang (daripada buku Kekasih, halaman 62) bukanlah sekadar gurauan:
  
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Aceh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistan, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah Mu’allaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu).
                       
Umno ialah parti Melayu, dan sesiapa yang tertakrif Melayu akan berkelayakan menjadi ahli dan seterusnya menjadi ketua Umno. Jika antara golongan yang sudah tertakrif Melayu ini dipermain atau dipermudah, kita akan memasuki kotak masalah lain pula. Saya kira, elok kita fahami politik secara relaks dan  terbuka.