ADAKAH pembaca sekalian sedar, bahawa dalam bulan Mac ini, terdapat deretan isu K? Isu K pertama digantikan dengan isu K lain, dan diikuti lagi isu K yang lain lagi.

Isu  K pertama ialah kalimah ALLAH. Isu ini berlangsung lama sebelum ini, dan dalam Mac 2014, idea yang dominan tentangnya ialah - kalimah ALLAH hanya untuk orang Islam.  Penekanan ini merujuk pada keadaan dan suasana di Semenanjung, bukan keseluruhan Malaysia.

K yang kedua ialah Kassim Ahmad. Beliau berucap pada majlis ulang tahun ke-80nya, iaitu majlis yang dianjurkan oleh teman-temannya.

Ucapan itu dikecam sebahagian orang yang tidak hadir. Oleh sebab mereka tidak hadir, mereka menyangka Tun Dr Mahathir Mohamad yang merasmikan majlis itu sealiran dengan Kassim. Sebenarnya, Mahathir berbeza sekali berbanding dengan Kassim.

Isu Kassim kemudiannya digantikan dengan K yang ketiga, iaitu Kajang. Tentulah heboh jadinya apabila wakil rakyat Kajang meletakkan jawatan, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebutkan beliau akan jadi calon di situ.

Isu K ketiga ini bertukar arah apabila Anwar terhalang bertanding, dan gantinya tidak lain daripada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Keputusan Pilihan Raya Kecil Kajang telah kita ketahui, dan banyaklah ulasan tentangnya.

Banyak sekali peristiwa sejarah yang kita lupakan begitu saja, kerana tidak dibantu oleh kaedah ingatan secara mneumonics. Dengan menyebutkan K untuk kalimah ALLAH, K untuk Kassim dan K untuk Kajang, kita dapat mengingati bahawa kesemua perkara itu berlaku dalam masa yang kira-kira sama, iaitu Mac 2014. Seperti disebutkan di atas, K yang pertama itu berlarutan agak lama, tetapi berakhir dalam bulan Mac ini.

Kesemua K di atas kemudiannya menjadi kecil kerana kemunculan K keempat. K yang terakhir ini ialah kapal terbang.   Tragedi kehilangan kapal terbang MH370 amat menyedihkan. Akibat daripadanya, banyak negara memberikan pertolongan untuk mencarinya. Sejak kehilangannya sejak 8 Mac lalu, bicara berterusan setiap hari.

Kita semua tentu bersetuju kehilangan kapal terbang ialah isu K yang amat memilukan. Isu-isu K yang lain berada pada tahap sederhana, kerana kita telah terbiasa dengan kehebohan-kehebohan demikian.

Dalam hal kalimah ALLAH, apabila kita bersetuju bahawa di Semenanjung hanya orang Islam berhak menyebutkannya dengan selesa, maka perkara ini boleh ditutup.

Lagipun, amalan sejak beratus-ratus tahun dulu memang begitu. Memang betul di tempat-tempat lain ALLAH disebut oleh orang bukan Islam, tetapi dalam hal ini elok benar kita pertimbangkan segi-segi sosial dan politik. Kita tidak perlu pergi terlalu jauh, kerana kita sudah lama selesa dengan keadaan sedia ada. Semua pihak perlu cermat dalam melayani isu agama.

Isu Kassim muncul kerana adanya anggapan bahawa Kassim membawa ajaran yang menyeleweng. Di Malaysia, jika mahu, kita berpeluang mempelajari agama ke tahap tinggi.

Dengan ilmu, kita berupaya melayani isu secara lembut. Besar sekali jumlah guru agama yang boleh diharap. Oleh itu, tidaklah wajar kita terperanjat dengan satu dua ayat Kassim. Kassim sebenarnya tokoh pembicara sosial. Beliau telah menghasilkan tulisan yang mencapai tahap gemilang sejak dahulu.

Biarpun begitu, sama seperti Mohamad Sabu, Abdul Hadi Awang, Anwar dan lain-lain, kita elok mendengar seluruh percakapan, tetapi kita terima yang bagus, dan kita tolak yang bercanggah dengan kepercayaan dan pegangan kita.

Kita tidak perlu banyak berbahas, apatah lagi jika kita nampak perbahasan akan menuju ke arah kegelapan. Kadang-kadang perkara yang kita bahaskan itu bertahap berita angin.

Kata Ziad K Abdelnour, rumours are carried by haters, spread by fools and accepted by idiots. Kita akan merugikan banyak masa jika kita berbahas tentang perkara yang tidak sah. Lagipun, seperti kata Greg King, Dont argue with those who will drag you down to their level and beat you with experience. Seelok-eloknya kita berazam mencari kebenaran, jangan  mencari permusuhan.

Kehilangan kapal terbang MH370 ialah tragedi besar.  Sama-samalah kita mendoakan keselamatan semua penumpang dan anak kapal.