BUNYI guruh cuaca pun mendung/ awan mendung tidak berarak/ tinggi sungguh Khalid disanjung/ lepas disanjung mengapa ditolak?

Sejumlah rakyat tidak memahami alasan Pakatan Rakyat menggesa Menteri Besar Selangor meletak jawatan, dan menyarankan agar Datuk Seri Dr Wan Azizah menduduki kerusi panas itu. Rafizi Ramli pula memperlihatkan ciri-ciri ketua umum, iaitu membuat gesaan agar Adun PKR menarik diri jika dicalonkan menjadi menteri besar. Rafizi kemudiannya ditempelak oleh tokoh PKR Selangor, Shuhaimi Shafie. (Berita Harian, 30 Ogos 2014)

Arahan Rafizi itu, secara terlindung memuatkan hasrat Rafizi sendiri. Bukanlah pakar strategi jika beliau tidak melihat arah masa depannya. Rafizi pasti berfikir, jika orang yang berbakat besar menjadi MB, tentulah anak muda terpaksa menunggu lama.

Usaha untuk menaikkan isteri sendiri ke kedudukan tinggi dikatakan nepotisme, dan sokongan terhadap usaha itu ialah kronisme. Kita dapati, berlaku kecelaruan. Untuk masa depan, anak-anak muda hendaklah diajarkan agar memegang kukuh semangat nasionalisme dan patriotisme, dan menolak nepotisme dan kronisme dalam kerja-kerja kemasyarakatan, apatah lagi berkaitan pemerintahan.

Ketika ini, pemimpin yang sederhana berasakan kerja MB tidak sukar, hanya beri arahan. Namun, tidaklah elok kita katakan semua orang boleh menjadi MB, walaupun doktor gigi telah memegang jawatan itu. Oleh sebab doktor gigi boleh, tidak hairanlah doktor mata berasa berupaya.

Saya membawa bicara ini ke arah yang tidak begitu serius, sesuai dengan perkembangan politik kini yang kelihatan main-main. Sejumlah pembicara politik yang saya temui mengatakan perancangan untuk menolak MB yang pernah disanjung adalah main-main. Saya yakin, pemimpin-pemimpin politik yang berkaitan sedang dan telah ketawa berdekah-dekah ketika berada jauh dari pengikut masing-masing. Apa tidaknya, Menteri besar dipuji melambung, kemudian disuruh meletak jawatan.

Jika di universiti, hal di atas dapat dibandingkan dengan pujian oleh penilai tesis calon sarjana. Tesis yang diusahakan oleh calon itu dikatakan baik dan cemerlang. Kaedah kajian dikatakan betul, aplikasi teori amat sesuai, isi tesis lebih daripada cukup, dan hujah-hujah dikatakan bernas, tetapi kesimpulannya tesis itu ditolak dan calon gagal! Saya fikir, sesiapapun, bukan Tan Sri Khalid Ibrahim saja, berasa pelik mendengar keputusan penilai tesis itu.

Di sana sini orang bertanya tentang perkembangan politik Selangor dengan nada gurauan. Jawapan daripada saya tentulah bersifat gurauan juga. Melalui media sosial, kita mendapat pelbagai reaksi yang lucu malah berlebih-lebihan. Terlalu banyak pihak yang bergembira memperkatakan krisis politik Selangor. Mereka mengatakan beberapa tokoh Pakatan Rakyat menjadi penyambung kelucuan filem-filem komedi P Ramlee.

Maksud kata-kata itu ialah betapa lucunya apabila pihak Pas tidak mencadangkan tokoh Pas sendiri untuk jawatan Menteri Besar Selangor, padahal mereka layak. Jika wanita diizinkan menjadi MB, Dr Halimah Ali boleh dikemukakan oleh Pas. Tentulah Halimah antara yang hebat dalam kalangan wakil rakyat Selangor.

Alangkah lucunya suami mempengaruhi orang lain menaikkan isteri ke jawatan besar. Khalid pula tidak berasa kecewa walaupun beliau telah dipecat dari parti kesayangannya. Jika difikir-fikirkan lagi, alangkah lucu seorang wakil rakyat bebas menjadi menteri besar, dikelilingi wakil-wakil rakyat daripada pelbagai parti.

Perjalanan pentadbiran Selangor berlangsung seperti biasa, walaupun orang luar melihat kerusi MB hangat. Jika para pengkaji politik mahu memahami makna realpolitik, peristiwa di Selangor pada masa ini elok benar dijadikan bahan penyelidikan.

Pihak istana memberi masa sehingga 3 September untuk Pakatan Rakyat menghantarkan nama-nama calon menteri besar. Dalam hal September, Azmi Anshar berjenaka, “Don’t remind or mention the month of September to Anwar.” (New Straits Time, 30 Ogos, 2014). Maksudnya, kita tentulah teringatkan hal-hal di sekitar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bulan September. September 1998, Anwar dipecat daripada Umno. Pada September 2008, Anwar mengatakan Pakatan Rakyat akan mengambil alih pemerintahan Malaysia, namun tidak berlaku.

Kita tunggu perkembangan setelah 3 September tahun ini.

* Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007). Beliau menerima anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.