MENURUT Teori Anjakan Makna, fikiran dan pemikiran seseorang boleh berubah haluan.

Dalam bidang penulisan, seseorang penulis yang terbiasa menghasilkan karya popular, boleh berubah menjadi sasterawan, iaitu dia menghasilkan karya yang bernilai estetika tinggi.

Keterbalikannya pun boleh berlaku, iaitu penulis karya sastera hebat berubah haluan, lalu menghasilkan karya popular. Itu terpulanglah pada pegangan mereka.

Berdasarkan hakikat di atas, dalam politik, tidak hairanlah beberapa orang tokoh Umno keluar parti, lalu menyertai pembangkang, sama ada Pas, PKR bahkan DAP.

Keterbalikannya pun demikian, misalnya orang kuat PKR menyertai Umno. Mereka berubah kerana alasan yang diketahui oleh mereka sahaja.

Para pengikut mereka, sama ada yang intelektual atau pun yang sekadar tukang sorak, akan memutuskan bahawa tokoh-tokoh itu keluar dari parti asal kerana alasan yang diceritakan mereka, misalnya mereka berkata, “Kami tidak percaya lagi kepada perjuangan parti lama kami.” Itu akan berlaku terus menerus.

Lompatan  dari PKR ke Umno, atau sebaliknya, adalah perkara kecil.  Itu dapat disamakan dengan perubahan dari perniagaan majalah ke perniagaan buku. Atau penjual sate bertukar kecenderungan, lalu menjadi penjual tomyam. Alasan memang boleh direka-reka.   

Dalam politik kita, pejuang Islam pernah bertukar menjadi pejuang nasionalisme, kemudian bertukar lagi menjadi pejuang keadilan sejagat.

Jika ditinjau, beliau itu sebenarnya mahu meningkatkan diri dalam arena politik, tidak kira politik Islam, politik nasionalis atau pun politik keadilan keseluruhan. Oleh sebab beliau hebat dalam pidato, maka beliau memperoleh sokongan yang agak  luar biasa. Ideologi baginya  tidak penting, dan tidak kukuh di hati.

Ideologi dalam politik ialah idea, pemikiran dan pegangan  yang dapat mempengaruhi pengikut untuk berada dalam prosedur yang ditentukan. Dalam bidang sosial, ideologi tetap ada.

Beza antara  pejuang ideologi sosial dengan pejuang ideologi politik, ialah pejuang  ideologi sosial tidak menghendaki orang lain mengundi kumpulannya. Kassim Ahmad sekarang ialah penganjur satu ideologi  sosial yang kukuh, dan beliau sendiri kuat mempertahankannya.

Tidak besar jumlah rakyat Malaysia yang berpegang kukuh pada ideologi. Sejauh kita ketahui, Tun Dr Mahathir berideologi nasionalisme, Datuk Nik Aziz Nik Mat berideologi Islam, Hishamuddin Rais berideologi sosialisme (atau atas sedikit daripada sosialisme), Dr Syed Husin Ali juga berideologi sosialisme (mungkin bawah sedikit), Latiff Mohidin berideologi anak alam, dan  Lim Kit Siang berideologi  sosialisme Malaysian Malaysia (satu adaptasi).

Selaku rakyat biasa yang kritis, kita berpeluang mengikuti pemikiran kesemua mereka. Mungkin kita kurang percaya bahawa seseorang betul-betul memegang kuat ideologinya, kerana dalam pemikiran anjakan makna, manusia mungkin berlakon. Shakespeare mengatakan, dunia ini pentas untuk manusia berlakon.

Walau bagaimanapun, kita elok percaya pada pemaparan diri mereka yang terlibat, di samping berwaspada akan kemungkinan helah lakonan.

Baru-baru ini beberapa akhbar memuatkan kisah seorang anak Malaysia yang kukuh dengan ideologi. Nama watak Malaysia yang berasal dari Jelebu itu ialah Siti Aisyah Abdul Wahab.

Namanya dan peristiwa di sekitarnya menjadi bualan di sana sini, tetapi saya tidak akan menambahkan fakta tentang kedudukannya yang kurang pasti.

Saya berhasrat untuk mengatakan bahawa ideologi memang boleh terkurung kukuh di dalam minda. Akhbar New Sunday Times 1 Disember 2013 menyebutkan bahawa Aishah dipengaruhi ideologi Maoist.

Ketua Polis Negara dalam perkara ini menyebut, Aishah hanyalah sekadar “purely adopted a leftist ideology”.  Maksud  beliau, Aishah bukanlah pejuang komunis yang mahu melaksanakan perlawanan untuk memenangkan ideologinya di Malaysia.

Hishamuddin Rais telah mengiringi kakak Aishah iaitu Kamar Mahtum Abdul Wahab dalam usaha wanita itu menemui adiknya. Memanglah beliau amat layak mengambil tugas itu, kerana kehadiran dan pergerakan ideologi di Barat amat dikuasainya.

Saya tidak mengetahui sejauh mana Hishamuddin ada maklumat  tentang Aishah.  

Kita menunggu maklumat daripada orang yang tahu, walaupun kita tidak perlu terikut-ikut dengan ideologi yang tidak sesuai dengan Malaysia.